fbpx

Tiada lagi model Toyota GR selepas ini?

toyota gr corolla circuit edition 04

TIDAK lama dulu Toyota dilihat sebagai satu jenama yang agak membosankan, tiada produk menarik dalam penawaran mereka.

Kemudian GT86 hadir pada 2013, dan pengenalan Supra pada 2019 benar-benar menjadikan Toyota satu jenama yang lebih megujakan. Kemuncaknya adalah versi GR untuk Yaris dan Corolla, tetapi nampaknya kemuncak ini akan menghala ke suatu pengakhiran.

Itulah halnya yang dinyatakan oleh ketua jurutera GR86, seperti dilaporkan oleh beberapa media antarabangsa.

Yasunori Suezawa dilaporkan berkata tiada lagi model GR tambahan yang dirancang selepas ini. Di Malaysia, kita ada GR Supra dan GR Yaris. Belum pasti lagi mengenai GR Corolla dan GR86 untuk Malaysia, tetapi nampaknya itu sahajalah model GR yang akan ditawarkan.

Bagi anda yang mengimpikan GR Camry, bertabahlah.

Tetapi, terdapat sedikit kekaburan dalam jenama GR ini. Suezawa berkata akan ada model GR Sport baharu, antaranya untuk C-HR, Corolla dan Yaris Cross. Jika dilihat sebelum ini, pada 2021, kita juga ada mendapat Vios GR Sport, yang dibangunkan khas untuk rantau Asia Tenggara.

Selain itu, terdapat juga persoalan sama ada perkembangan ini hanya terhad untuk model sedia ada atau semua model yang akan datang.

Apa pun, jika tiada lagi model GR selepas ini, nampaknya sekarang masa paling sesuai untuk meminati Toyota berprestasi tinggi, kerana memang boleh tahan juga produk-produk mereka.

Ya betul, GR86 dikongsi dengan Subaru, dan Supra pula diasaskan dari BMW Z4. Tetapi GR Yaris dan GR Corolla adalah Toyota sepenuhnya, dan kedua-dua model ini terbukti mantap dan mampu mengukir senyuman kepada pemandunya.

Penulis sendiri pernah memandu GR Yaris di Litar Antarabangsa Sepang dan boleh dikatakan ia akan menjadi sesi pandu uji yang tak akan dilupakan.

Nasihat kami, jika anda berkemampuan membeli model-model GR ini, lakukannya kerana anda pasti tak menyesal.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved