Nissan Z GT4 bakal terjah litar lumba pada 2023

NISSAN dan anak syarikatnya Nissan Motorsports & Customizing (NMC) baru-baru ini memperkenalkan Nissan Z GT4, sebuah kereta lumba spesifikasi GT4 yang berasaskan model Z serba baharu.

Menurut Nissan, pembangunan Z GT4 dikendalikan sepenuhnya oleh NISMO Racing Division yang bernaung di bawah NMC. Divisyen itu telah menaik taraf enjin VR30DDTT, mengoptimumkan casis dan suspensi serta menambah baik aerodinamik mengikut peraturan yang ditetapkan.

Apa yang menarik, syarikat itu menyifatkan Z GT4 sebagai sebuah kereta lumba yang sesuai untuk peminat dan juga pemandu profesional yang hardcore.

Angka-angka berkaitan prestasi masih belum didedahkan, namun anda boleh menjangkakan yang ia jauh berbeza dengan versi standard. Sebagai perbandingan, Z mempunyai 400 hp dan 475 Nm yang disalurkan ke roda belakang. Nissan mendakwa ia memecut 15 peratus lebih pantas dari model generasi terdahulu.

Tambah Nissan lagi, Z GT4 dibangunkan di fasiliti kejuruteraan Nismo (berkemungkinan besar di ibu pejabatnya di Yokohama, Jepun). Selain menjalani ujian di litar-litar ujian, kereta lumba itu juga telah dimasukkan ke dalam beberapa siri perlumbaan termasuk Fuji 24 Hour, Super Taikyu dan pelbagai lagi.

“Sukan permotoran adalah ekspresi semangat dan kepakaran kami yang tidak tertandingi. Nissan Z terus mengekalkan posisinya sebagai sebuah kereta sport yang mengagumkan pemandu dengan dinamik pemanduan dan trenkuasa yang fleksibel,” kata COO Nissan, Ashwani Gupta.

Spesifikasi terperinci Z GT4 akan diumumkan pada acara SEMA 2022 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat pada November ini. Pelanggan akan mula mendapat kereta masing-masing bermula separuh pertama tahun depan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *