fbpx

Mercedes-AMG C63 S E Performance hadir dengan 680 PS dari enjin hibrid empat silinder!

mercedes-amg c63 amg s e performance 06

SEJAK pengenalannya, Mercedes-AMG C63 memang terkenal dengan enjin V8 yang berkuasa. Ia bermula dengan model generasi W204 yang menggunakan enjin naturally-aspirated 6.2-liter V8, diikuti dengan W205 yang tampil beberapa tahun kemudian dengan enjin 4.0-liter twin-turbo V8.

Bagaimanapun, untuk model generasi W206, C63 tidak lagi mempunyai nadi lapan silinder. Sebaliknya, pesaing kepada BMW M3 itu kini mendapat trenkuasa plug-in hybrid (PHEV) dengan enjin 2.0-liter turbo empat silinder yang turut digunakan pada SL43 dan C43.

Ya, ia 50 peratus lebih kecil berbanding enjin terdahulu namun ini tidak bermakna ia boleh dipandang rendah. Ini kerana enjin itu dilengkapi dengan pengecas turbo elektrik yang memberikan kuasa sebanyak 476 PS dan 545 Nm, sekaligus menjadikan ia enjin empat silinder paling berkuasa.

Tidak cukup dengan itu, C63 juga mempunyai unit pacuan elektrik pada gandar belakang yang terdiri daripada sebuah motor elektrik, bateri berkapasiti 6.1 kWh, transmisi dua kelajuan dan LSD elektrik. Motor elektrik itu menjana 150 kW (204 PS), membolehkan sedan itu memecut sehingga 125 km/j dan bergerak sejauh 13 km dengan kuasa elektrik sahaja.

Angka tersebut tidaklah mengagumkan namun harus diingat bahawa model ini dibangunkan untuk prestasi dan bukannya kecekapan. Gabungan enjin dan motor elektrik itu menghasilkan output keseluruhan berjumlah 680 PS dan 1,020 Nm – jauh lebih tinggi berbanding model generasi sebelum ini.

Dengan transmisi AMG Speedshift MCT sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic+, C63 hanya memerlukan 3.4 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j. Dalam versi standard, ia boleh mencapai kelajuan maksimum 250 km/j namun dengan AMG Driver’s Package, angka itu boleh mencecah 280 km/j.

Dengan adanya LSD elektrik, pembahagian tork pada sistem 4Matic+ boleh diubah-ubah mengikut mod pemanduan. Apa yang menarik, ia juga mempunyai sistem klac yang menggerakan aci pemacu, yang kemudiannya akan menggerakkan roda depan. Ini bermakna, keempat-empat tayar sentiasa bergerak walaupun dalam mod pemanduan EV.

Namun, sistem 4Matic+ juga mempunyai mod Drift yang akan memisahkan klac dengan aci pemacu untuk menyalurkan 100 peratus kuasa ke roda belakang, membolehkan pemandu melakukan aksi drift dengan mudah.

Selain itu, C63 juga mendapat kawalan stereng empat roda dan sistem brek komposit AMG Performance dengan angkup enam piston pada gandar depan. Sistem suspensi pula terdiri daripada spring keluli pada bahagian depan dan belakang, serta peredam adaptif.

Harga masih belum diumumkan namun model ini dikatakan akan memasuki pasaran global bermula tahun depan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved