fbpx

Canoo tawar trak pikap EV dengan pelbagai fungsi pintar

canoo ev 07

SEBUAH startup baharu kenderaan elektrik (EV), Canoo baru-baru ini mendedahkan perincian trak pikap mereka dengan janaan elektrik sepenuhnya.

Trak pikap ini dibina di atas pelantar pelbagai-guna milik syarikat itu dan padat dengan ciri-ciri unik dan komponen yang memanfaatkan sepenuhnya segenap ruang.

Menggunakan nama rasmi “Canoo pickup truck”, kenderaan ini menampilkan pelantar yang rata, dan sistem stereng serta brek by-wire. Hasilnya, pembinaan trak pikap ini agak kompak dan menurut Canoo, akan membolehkannya dikemudi dengan mudah.

Dalam satu kenyataan, pengerusi Canoo, Tony Aquila berkata: “Kami sangat berminat membina kenderaan yang mampu mengubah hidup seseorang.

“Trak pikap kami ialah sekuat trak pikap paling teguh di luar sana dan direka untuk menjadi jauh lebih produktif. Ianya bekerja untuk anda.”

“Kami menghasilkan aksesori untuk mereka yang menggunakan trak semasa bekerja, hujung minggu, beriadah. Apa sahaja, kami hasilkannya kerana ianya pelantar anda, untuk berkhidmat untuk anda.”

Canoo dilengkapi dengan banyak ciri yang memudahkan pemandunya untuk pelbagai aktiviti. Antaranya adalah katil yang boleh ditarik keluar, dengan saiz sehingga lapan kaki panjang.

Di bahagian sisi pula, pemijak tepi boleh dibuka untuk memudahkan akses ke ruang kargo belakang. Tetapi pemijak ini juga mempunyai ruang simpanan tambahan untuk barangan seperti minuman sejuk atau peranti elektronik.

Kemudian kedua-dua sisi boleh ditarik menjadi meja serba guna, lengkap dengan soket kuasa untuk membolehkan anda membuat kerja. Menurut Canoo, sumber kuasa ini boleh digunakan sepanjang hari dengan hanya menggunakan sekitar 10 peratus sahaja dari keseluruhan bekalan kuasa kenderaan.

Lampu brek tambahan di belakang cab juga berfungsi sebagai lampu untuk menerangi ruang kargo di waktu malam, selain lampu perimeter di sekeliling kenderaan untuk pencahayaan tambahan.

Disebabkan trak pikap ini merupakan sebuah EV dan tidak mempunyai enjin, ruang di depan menempatkan alat perubatan kecemasan. Sebagai tambahan, terdapat juga meja yang ditarik keluar serta soket kuasa di sini.

Baik, kini untuk spesifikasi teknikal. Canoo pickup truck akan didapati dengan pilihan motor tunggal di belakang, atau dwi-motor. Dengan pilihan dwi-motor, ia akan mempunyai 600hp dan 746Nm tork, dengan kemampuan kargo sehingga 816kg.

Kapasiti bateri belum didedahkan, tetapi ia kini menjanjikan jarak pemanduan melebihi 320km dengan setiap caj. Pengeluaran dijangka bermula tidak lama lagi tetapi penghantaran kepada pelanggan akan mula dilakukan tahun depan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved