fbpx

Tamiya Wild One kini dengan kit sebenar yang boleh anda pandu

tamiya wild one 01

Syarikat Little Car Company (LCC) telah mencipta nama dengan menawarkan kereta-kereta replika seperti Bugatti Type 35 dan Aston Martin DB5 yang boleh dipandu.

Tetapi untuk projek terkini, mereka telah menghasilkan versi XXL untuk Wild One, iaitu antara kereta kawalan radio (RC) paling ikonik dari Tamiya.

Kereta kawalan radio (RC) Tamiya Wild One dalam skala 1/10. Imej oleh: Yotuube

Kereta asal Tamiya Wild One (dengan kod set 58050) mula dijual pada 1985, dan menjadi antara kit buggy RC paling popular seperti Frog dan Hornet. Malah kit ini pernah dijual semula pada 2012, membawakan kit gaya 1980-an kepada peminat RC generasi baharu.

Kini Tamiya dan LCC bekerjasama untuk merealisasikan projek Wild One Max. Ianya dikuasakan oleh bateri seperti kereta asal berskala 1/10, dan anda juga boleh membinanya di rumah.

Tetapi dengan panjang hampir 3.5meter dan berat hampir 250kg, anda pastinya memerlukan ‘ruang permainan’ yang agak besar untuk kit ini.

Wild One Max dibina menggunakan casis spaceframe besi dengan suspensi coil-over, brek Brembo, dan tayar off-road 15-inci.

Bateri 2kWh memberikan jarak pemanduan sehingga 25 batu (40km) dengan kuasa dihantar ke roda belakang, serta kelajuan sehingga 48km/j.

Ya, ia mungkin kedengaran seperti tidak sebegitu berkuasa, tetapi kita bercakap mengenai jentera yang lebih ringan dari Caterham Seven dan Perodua Kancil, serta tidak mempunyai cermin depan dan pintu. Jadi, pada kelajuan 40km/j cukup laju untuk anda pandu buggy ini.

Dan mungkin ada yang akan membandingkan Max dan mempersoalkan kenapa Ariel Nomad yang hampir serupa mempunyai 230hp lebih kuasa. Realitinya, Wild One Max ini lebih kepada mainan bersaiz besar dan bukan jentera Baja serius.

Jika anda masih mahukan lebih kuasa, Little Car Company berkata mereka sedang mempersiapkan penawaran bateri dan motor yang lebih berkuasa serta memberikan lebih jarak pemanduan.

Naik taraf lain yang sedang dipertimbangkan termasuklah harness (tali pinggan keledar) perlumbaan, serta brek dan suspensi lebih serius, ditambah dengan Tarmac Pack yang akan memberikan tayar jalanan dan mudguard.

Tetapi pilihan paling menggiurkan di sini ialah Road Legal Pack. Ini akan merangkumi lampu brek, lampu isyarat sisi, cermin dan beberapa komponen lain yang akan menjadikan Wild One Max anda mematuhi piawaian European Quadricycle Legislation dan US Neighborhood Electric Vehicle Legistlation.

Dalam erti kata lain, Road Legal Pack ini akan membolehkan anda memandu kit Tamiya sebenar ini di jalan raya secara sah!

Kit ini akan berharga kira-kira USD8,250 (RM36,745) dan anda boleh mula menempahnya dengan bayaran pendahuluan USD72 (RM320). Inilah masanya untuk merealisasikan impian anda sewaktu kanak-kanak semasa bermain dengan kereta RC Tamiya ini.

Untuk maklumat lanjut, anda juga boleh terus ke pautan ini.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved