fbpx

Geely RADAR – Trak pikap elektrik pesaing Tesla Cybertruck?

geely radar 06

BAGI mereka yang masih belum tahu, Geely mempunyai sub-jenama baharu yang mengkhususkan dalam segmen trak pikap iaitu RADAR. Model pertama di bawah jenama ini merupakan sebuah trak pikap elektrik yang dijadualkan untuk pelancaran pada bulan hadapan.

Sedikit maklumat mengenai RADAR, ia mula menjadi sebutan pada November tahun lalu dan pada bulan berikutnya, khabar angin mengenai kewujudan jenama itu menjadi lebih kukuh apabila Geely dilaporkan telah memfailkan paten untuk sebuah trak pikap elektrik. Kemudian pada Mei lalu, nama RADAR buat pertama kalinya tertiris dalam talian.

Menurut laporan, RADAR dioperasikan oleh dua buah syarikat yang bernaung di bawah Hangzhou Geely Automobile Research and Development iaitu Geely Pickup Truck Auto Parts (Shandong) dan Geely Pickup Truck Auto Sales (Shandong). Hangzhou Geely Automobile Research and Development pula dimiliki sepenuhnya oleh Zhejiang Geely Holding Group.

Berdasarkan pembentangan rasmi yang dibuat baru-baru ini, RADAR akan diposisikan sebagai jenama trak pikap EV untuk mereka yang gemarkan aktiviti lasak dan gaya hidup ‘outdoor’.

Apa yang menarik, setiap huruf dalam nama RADAR membawa maksud tersendiri. R untuk Rational, A untuk Alone, D untuk Discovery, A untuk Accompany dan R untuk Romantic.

Pengenalan jenama ini dilihat sebagai langkah Geely untuk mengambil kesempatan ke atas populariti trak pikap yang semakin meningkat di China. Ini berikut pembatalan larangan ke atas kenderaan itu yang diumumkan oleh beberapa bandar seperti Hebei, Liaoning, Yunnan dan Xinjiang.

Berbalik kepada trak pikap tersebut, gambar yang tertiris pada pembentangan tersebut menunjukkan ia mempunyai lampu seakan Geely Hao Yue, dengan jalur LED bersambung sehingga ke gril ala Volkswagen. Rekaan bampar hadapan pula tidak ubah seperti Bo Yue (X70).

Setakat ini, masih tiada perincian teknikal mengenai trak pikap berkenaan namun menurut Ash Sutcliffe, pengurus perhubungan awam luar Geely, saiznya hampir sama dengan Toyota Hilux. Ini bermakna ia mempunyai ukuran panjang kira-kira 5.3 meter dan tapak roda 3.1 meter.

Gambar intipan ruang dalamannya pula mendedahkan elemen-elemen seperti tuil gear X70 CKD, tombol rotari (berkemungkinan untuk pacuan atau mod pemanduan), serta skrin untuk sistem infohibur dan kluster instrumen.

Media di China juga menjangkakan yang trak pikap itu dibina menggunakan platform SEA milik Geely dan juga teknologi hibrid Leishen Hi-X, walaupun ia sebuah trak pikap elektrik. Mungkinkah ini boleh jadi pesaing dan alternatif untuk Tesla Cybertruck?

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved