fbpx

DeLorean Alpha5 konsep jentera terkini Back to the Future

delorean alpha5 06

DELOREAN DMC-12 merupakan antara kereta paling ikonik di Hollywood terima kasih kepada trilogi Back to the Future. Kini, setelah 40 tahun sejak pengeluarannya dihentikan, ia membuat kemunculan semula dalam bentuk kenderaan elektrik (EV) bergaya yang dikenali sebagai Alpha5.

Buat masa ini, Alpha5 masih sebuah kereta konsep namun menurut DeLorean, ia akan memasuki fasa pengeluaran pada 2024. Ia tidak akan menjadi satu-satunya model DeLorean kerana syarikat itu mengesahkan yang ia juga sedang membangunkan sebuah coupe dengan enjin V8, sedan elektrik dan juga SUV berkuasa hidrogen.

Berbalik kepada Alpha5, ia mempunyai beberapa persamaan dengan DMC-12 namun dua yang paling utama adalah ia direka oleh studio rekaan yang sama iaitu Italdesign dan mempunyai pintu yang dibuka ke atas atau jenis ‘gullwing’.

Selebihnya, ia agak jauh berbeza jika dibandingkan dengan model asal. Seperti yang boleh dilihat, kereta grand tourer elektrik ini mempunyai bentuk yang lebih aerodinamik dan bukannya berkotak seperti sebelum ini. Ini membolehkannya mencapai tahap pekali seretan yang rendah iaitu 0.23 Cd.

Selain itu, ia juga mempunyai dimensi yang lebih besar berbanding DMC-12, dengan ukuran panjang 4,995mm, lebar 2,044mm dan tinggi 1,370mm. Untuk gambaran yang lebih jelas, ia sedikit lebih panjang, lebar dan rendah berbanding Porsche Taycan.

Menjengah ke ruang kabin, Alpha5 hadir dengan empat kerusi individu (2+2), dengan konsol tengah yang tinggi memisahkan tempat duduk kiri dan kanan dari hadapan hingga ke belakang. Tiada lagi gugusan butang dan tombol pada konsol tengah kerana semuanya telah diambil oleh sebuah paparan kecil dan juga panel instrumen digital.

Mengenai aspek teknikal pula, DeLorean hanya mendedahkan maklumat mengenai varian Base Performance Model yang dikuasakan oleh bateri berkapasiti 100kWj yang menawarkan jarak pemanduan sejauh 483km dengan satu cas penuh.

Jumlah kuasa dan tork tidak diberitahu namun syarikat itu berkata ia mampu memecut dari 0 hingga 96km/j dalam hanya 2.99 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250km/j. Apa yang menarik, kereta ini hanya memerlukan 4.35 saat untuk mencapai kelajuan 88bsj (142km/j) iaitu kelajuan yang diperlukan oleh DMC-12 untuk merentas masa dalam filem itu.

Menurut laporan, hanya 88 unit Alpha5 akan dihasilkan, dengan harga sekitar $200,000 (RM875,800) seunit.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved