fbpx

Toyota Noah dan Voxy – platform TNGA-C, pilihan enjin 2.0 Dynamic Force dan 1.8 hibrid, dari RM97k di Jepun

toyota voxy 05

DI negara ini, apabila bercakap tentang MPV, Toyota Alphard dan Vellfire pastinya menjadi antara nama pertama yang terlintas di fikiran dek kerana lambakannya di jalan raya. Namun, tahukah anda bahawa Toyota juga menawarkan versi yang lebih kecil?

Dikenali sebagai Noah dan Voxy, kedua-dua model yang diklasifikasikan sebagai minivan ini telah dijual sejak 2001 lagi dan kini ia memasuki generasi keempat dengan rekaan yang lebih premium serta aspek keselesaan yang ditambahbaik.

Noah dan Voxy dibangunkan berasaskan platform TNGA (GA-C) dan boleh didapati dengan tujuh atau lapan tempat duduk, bergantung kepada varian yang dipilih. Apa yang menarik, Toyota turut menawarkan versi Welcab yang direka khas untuk mereka yang menggunakan kerusi roda.

Untuk enjin pula, pelanggan boleh memilih sama ada enjin petrol atau hibrid. Versi petrol menggunakan enjin Dynamic Force M20-FKS 2.0-liter yang dipadankan dengan transmisi Direct Shift-CVT 10-kelajuan. Ia boleh didapati dalam versi pacuan roda hadapan atau empat roda.

Sementara itu, versi hibrid pula menampilkan enjin petrol 2ZR-FE 1.8-liter empat silinder dan sebuah motor elektrik. Versi ini didatangkan standard dengan pacuan roda hadapan, namun pelanggan juga boleh mendapatkan versi pacuan semua roda E-Four yang dilengkapi dengan fungsi pengagihan tork antara gandar hadapan dan belakang.

Dengan mengambil kira penawaran konfigurasi tempat duduk, enjin, sistem pacuan, serta varian Welcab yang boleh didapati dalam pelbagai versi, jumlah keseluruhan varian yang ditawarkan untuk Noah dan Voxy sebenarnya melebihi 70!

Jadi apakah perbezaan antara Noah dan Voxy? Percaya atau tidak, hanya aspek reka bentuk yang memisahkan kedua-dua model ini. Menurut Toyota, penggayaan Noah lebih ringkas namun terperinci, dengan gril yang didatangkan dalam warna yang sama dengan warna badan.

Voxy pula direka sebagai versi yang lebih berani dan unik. Ini boleh dilihat menerusi bahagian hadapannya yang menampilkan rekaan lampu yang lebih tajam dan langsing, serta bukaan gril yang lebih besar yang diberikan kemasan hitam untuk menimbulkan efek kontras.

Bergantung kepada varian, papan pemuka Noah dan Voxy menempatkan sebuah skrin sistem infohibur berukuran lapan inci atau 10.5 inci, kedua-duanya dengan sokongan Connected Navigation.

Dari segi praktikaliti, kedua-dua model ini didatangkan standard dengan pintu gelongsor kuasa dan pemijak sisi yang terkeluar secara automatik apabila pintu dibuka. Bukan itu sahaja, pemegang tangan sepanjang 460mm turut dipasang pada tiang-B bagi memudahkan penumpang keluar dan masuk.

Selain itu, penggunaan platform GA-C bermakna ukuran antara tiang-C kiri dan kanan bertambah sebanyak 75mm kepada 1,295mm, manakala ukuran tinggi kabin kini mencecah 1,405mm, menghasilkan ruang yang lebih luas dan terbuka.

Toyota Safety Sense disertakan secara standard pada Noah dan Voxy. Ia merangkumi pelbagai ciri, antaranya termasuklah Pre-Collision Safety System, Proactive Driving Assist, Lane Change Assist dan Front Cross-Traffic Alert.

Turut disertakan adalah Toyota Teammate yang membawakan ciri Advanced Drive untuk sokongan dalam kesesakan lalu lintas, serta Advanced Park.

Harga Noah bermula dari 2,670,000 yen (RM97,118) sehingga 3,890,000 yen (RM141,494) manakala Voxy pula dijual pada harga bermula 3,090,000 yen (RM112,395) sehingga 3,960,000 yen (RM144,040).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved