fbpx

Ferrari Daytona SP3 model paling berkuasa pernah dihasilkan – 828hp, 0-100 dalam 2.86saat

ferrari daytona sp3 2021 02

FERRARI telah menambah rangkaian Icona mereka dengan model terbaharu – Daytona SP3. Ianya model terkini dalam siri Icona yang membawakan rekaan klasik untuk era moden.

Ferrari Daytona dilancarkan di Litar Mugello baru-baru ini dan ‘menyertai’ Monza SP1 dan SP2. Daytona ini juga dikatakan model Ferrari dengan aerodinamik paling efisyen pernah dihasilkan.

Dengan enjin lebih berkuasa, pastinya ia lebih panas. Maka sebab itulah Daytona SP3 ini mempunyai banyak ruang dan sirip aliran udara dan Ferrari mengambil peluang ini untuk menjadikan aerodinamik sebagai satu elemen penting.

Bahagian paling ketara dalam rekaan kereta ini ialah belakangnya, dimana Ferrari memberikan beberapa bar melintang sepanjang lebar bampar.

Lampu belakang juga dibentuk pada bar-bar ini, yang terletak betul-betul di bawah spoiler. Kemudian sepasang ekzos terkeluar dari diffuser belakang yang agresif.

Rekaan luaran memberi pengaruh besar ke bahagian dalam, dengan cermin depan ‘membaluti’ kabin. Tempat duduk direka tetap dan melekat pada casis, jadi untuk pelarasan anda hanya tolak atau tarik set pedal kaki (pelarasan sama pada LaFerrari).

Menggunakan prinsip Human-Machine Interface, lebih 80 peratus kawalan kenderaan terletak pada stereng, memastikan tangan pemandu tidak perlu beralih terlalu banyak.

Nadi kepada Daytona SP3 ini ialah enjin 6.5-liter V12 naturally-aspirated dari 812 Competizione. Enjin ini telah ditala dengan komponen baharu dan lebih ringan, serta menggunakan Diamond Like Carbon.

Hasilnya ialah 828hp dan 697Nm tork, menjadikan SP3 ini Ferrari paling berkuasa pernah dihasilkan. Enjin ini mampu ‘menjerit’ hingga 9,500rpm dan dipadankan dengan kotak gear automatik 7-kelajuan.

Dari segi prestasi, Ferrari Daytona SP3 mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam 2.86 saat dan 200km/j boleh dicapai dalam masa 7.4 saat.

Oh ya, walaupun enjin ini cukup berkuasa, dengan perubahan pada manifold, Ferrari berkata ianya 30 peratus lebih bersih dari segi emisi berbanding 812 Competizione.

Tiada perincian harga dan berapa unit didedahkan setakat ini. Tapi kami rasa, pasti semua unit sudah mempunyai pemilik. Tidak didedahkan juga bila penghantaran akan mula dibuat.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved