fbpx

Kunci Bugatti Veyron Pur Blanc – Rahsia kelajuan 400km/j

kunci pur blanc bugatti

KEHEBATAN Bugatti Veyron 16.4 Super Sport sememangnya tidak perlu diperkatakan lagi kerana semua tahu ia merupakan salah satu daripada beberapa hypercar yang mampu mencapai kelajuan melebihi 400km/j dengan mudah.

Diperkenalkan buat pertama kali pada 2010, Super Sport dikuasakan oleh enjin 8.0-liter W16 quad turbo yang telah diberikan beberapa naik taraf termasuk pengecas turbo dan intercooler yang lebih besar. Hasilnya adalah kuasa keseluruhan yang mencecah 1,200hp dan 1,500Nm.

Bukan itu sahaja, bagi memastikan ia mampu mengawal kuasa yang lebih tinggi itu, Bugatti turut menggunakan kerangka monocoque gentian karbon baharu, serta mempertingkatkan casis dan aerodinamik jentera ini.

Atas kertas, Super Sport mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam hanya 2.46 saat dan mencapai 200km/j dalam 6.7 saat, 0.6 saat lebih pantas berbanding Veyron ‘standard’.

Kelajuan maksimumnya pula adalah 431.072km/j, menurut laman web Bugatti dan Guinness World Book of Records.

Walaupun rekod ini sudah dipecahkan oleh Koenigsegg Agera RS (447 km/j) dan Chiron Super Sport 300+ (490.484 km/j), angka ini masih lagi mengagumkan untuk sebuah kereta yang berusia hampir 12 tahun.

Namun, tahukah anda bahawa setiap versi Veyron termasuk Super Sport hanya boleh dipandu pada kelajuan melebihi 375 km/j dalam mod Top Speed?

Lebih menarik lagi, mod ini hanya boleh diaktifkan dengan memasukkan sebatang anak kunci khas pada konsol tengah.

Apa yang anda lihat ini adalah anak kunci Top Speed untuk satu-satunya Veyron Super Sport edisi Pur Blanc yang dihasilkan oleh Bugatti.

‘Pur Blanc’ bermaksud ‘pure white’ atau putih suci dalam bahasa Perancis namun begitu, bahagian belakangnya didatangkan dalam warna hitam, memberikannya penampilan yang tidak ubah seperti Storm Trooper.

Apa yang istimewa mengenai kunci ini adalah ia dihasilkan khas oleh Itay Malkin Jewelry. Seperti yang boleh dilihat, bahagian badannya disaluti dengan berlian hitam 10 karat, manakala rantainya juga diperbuat daripada bahan mewah yang sama, cuma ia lebih berat iaitu 150 karat.

Harga kunci ini tidak diketahui namun untuk memberikan gambaran, seorang Youtuber yang dikenali sebagai TheStradman pernah mendedahkan beliau perlu membayar hampir USD10,000 (RM41,550) untuk menggantikan kunci biasa bagi Veyron miliknya.

Oleh itu, jangan terkejut jika sebatang kunci Top Speed yang dihiasi dengan berlian seperti ini sama mahal dengan sebuah rumah banglo mewah di Malaysia.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved