fbpx

Lakaran Honda Motocompo XL moden kini lebih besar, tapi kekalkan elemen rekaan asal

honda motocompo xl lakaran 02

MASIH ingatkah anda akan Honda Motocompo yang diperkenalkan pada awal 1980an? Hingga ke hari ini, ia merupakan antara model paling unik pernah dihasilkan Honda kerana skuter kecil molek berbentuk kotak itu boleh dilipat dan disimpan di dalam ruang but kereta.

Selepas kira-kira 53,000 unit terjual, pengeluaran Motocompo dihentikan oleh Honda pada 1983.

Walaupun sudah hampir 40 tahun ia dikeluarkan dari pasaran, masih ada yang berharap agar Honda mengeluarkan semula skuter itu demi nostalgia. Katakan Honda bersetuju dengan idea ini, anda rasa bagaimana agaknya rupa Motocompo versi moden?

Ada kemungkinan yang ia akan kelihatan seperti apa yang diimaginasikan oleh artis 3D bernama Allan Williams ini.

Dikenali sebagai Motocompo XL, ia mungkin jauh lebih besar jika dibandingkan dengan Motocompo namun ia masih mengekalkan DNA yang sama dengan versi yang asal iaitu badan yang berbentuk petak serta rekaan yang minimalis.

Cuma, ia mungkin tidak lagi sesuai digelar sebagai skuter kerana jika diperhatikan, reka bentuknya lebih mirip kepada motosikal jenis café racer.

Ini boleh dilihat dengan jelas menerusi kedudukan pelananya yang diposisikan betul-betul di atas tempat meletak kaki. Bukan itu sahaja, bar hendal atau pemegang yang berada pada ketinggian yang sama juga merupakan satu ciri tipikal café racer.

Seperti yang diperkatakan, Motocompo XL direka dengan pendekatan minimalis. Bahagian hadapan menampilkan lampu utama berbentuk segi empat, manakala di belakang pula anda akan menjumpai jalur lampu brek yang mengelilingi keseluruhan bahagian ekornya.

Ruang kokpitnya juga ringkas dan kemas dengan sebuah skrin dan tiga butang. Selain itu, rim cakera pada bahagian hadapan dan belakang memberikan sedikit sentuhan futuristik.

Warna merah pula mengingatkan penulis kepada motosikal gaya cyberpunk yang ditunggang oleh Shotaro Kaneda dari siri manga popular, AKIRA.

Setakat ini tiada maklumat mengenai trenkuasa motosikal ini namun melihat kepada rekaan badannya, Williams jelas membayangkan Motocompo XL sebagai sebuah motosikal elektrik.

Apa-apa pun, rekaan ini hanya sebuah lakaran 3D dan ia berkemungkinan besar akan kekal sebagai lakaran melainkan Honda atau mana-mana pengeluar motosikal lain berminat untuk menjadikannya satu realiti.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved