fbpx

Walaupun bukan Type-R, Honda Civic Si tetap padu, versi 2022 dikemaskini lebih mantap

honda civic si 2022 02

SEJAK bertahun lamanya, Si merupakan varian Honda Civic paling sporti yang dijual di pasaran Amerika Syarikat, sehinggalah kedatangan Type-R pada 2017. Sejak itu, ia hanya dianggap sebagai model perantara antara Civic standard dan Type-R.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna Civic Si telah kehilangan sentuhannya sebagai model yang menawarkan keseronokan memandu dalam pakej yang lebih mampu milik.

Untuk 2022, ia kembali dengan rekaan lebih segak, enjin yang lebih responsif serta casis lebih mantap.

Dibangunkan berasaskan Civic sedan generasi ke-11, Civic Si baharu mungkin tampak seperti versi standard namun jika diperhatikan dengan lebih teliti, ia mempunyai gril yang lebih besar dan juga lip pada bahagian bampar. Bahagian belakang pula menampilkan spoiler but dan muncung ekzos berkembar.

Melengkapkan penampilannya adalah lampu LED hadapan dan belakang, rim aloi 18-inci berwarna hitam matte dan trim hitam glos pada cermin sisi, bingkai tingkap dan spoiler. Warna Blazing Orange Pearl ini juga merupakan satu ciri eksklusif untuk varian Si.

Susun atur ruang kabin dikekalkan namun suasananya telah dipertingkatkan menerusi kehadiran tempat duduk sport yang menawarkan sokongan peha dan bahu tambahan, set pedal sport, dan jahitan kontras merah pada stereng. Terdapat juga perehat tangan dan tombol gear, serta trim merah pada kemasan honeycomb pada papan pemuka.

Civic Si baharu kekal dengan enjin 1.5-liter i-VTEC Turbo 4-silinder seperti model terdahulu, namun kuasanya telah dikurangkan dari 205hp kepada 200hp. Biarpun begitu, tork puncak sebanyak 260Nm kini boleh dinikmati 300rpm lebih awal pada 1,800 hingga 5,000rpm.

Menurut Honda, enjin berkenaan dilengkapi dengan flywheel yang 26 peratus lebih ringan berbanding sebelum ini bagi mendapatkan pecutan yang lebih responsif. Bukan itu sahaja, gabungan sistem ekzos baharu dan sistem Active Sound Control pula menghasilkan bunyi yang lebih mengasyikkan.

Seperti biasa, transmisi manual 6-kelajuan adalah satu-satunya pilihan yang ditawarkan untuk model ini. Bagaimanapun kali ini ia mempunyai lontaran yang lebih pendek sebanyak 10 peratus dan sistem pemadanan rev daripada Civic Type R yang mempunyai masa tindak balas 430 milisaat dalam mod Sport.

Dari segi casis, Honda mendakwa ini merupakan Civic Si paling tegar pernah dihasilkan. Ini disumbangkan oleh kadar gegelung (spring rate) yang lebih tinggi sebanyak lapan peratus di hadapan dan 54 peratus di belakang, serta peredam baharu yang ditala khusus untuk model ini.

Selain itu, sedan ini juga menggunakan tapak topang MacPherson yang diperkukuhkan serta beberapa lagi komponen yang diambil daripada Civic Type R seperti bushing hadapan dan belakang, upper arm dan juga lower B-arm. Sistem brek pula merangkumi cakera lebih besar yang berukuran 12.3 inci di hadapan dan 11.1 inci di belakang.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved