Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) hari ini merasmikan pembukaan pusat baik pulih badan dan cat pertamanya di Glenmarie, Shah Alam.
Fasiliti Hab Badan & Cat EON ini menyediakan perkhidmatan untuk pelanggan jenama di bawah kendalian EON termasuk Proton, Mitsubishi, Audi dan smart.
Proton e.MAS pula bakal menyertai portfolio berkenaan tidak lama lagi.
Perkhidmatan yang ditawarkan
Dengan keluasan 41,508 kaki persegi, fasiliti ini merupakan antara pusat seumpamanya yang terbesar di negara ini.
Ia menawarkan perkhidmatan termasuklah pembaikan akibat kemalangan, pemulihan badan kenderaan, pengecatan semula serta kerja berkaitan.
Semua kerja ini bertujuan mengembalikan kenderaan kepada keadaan optimum dengan mengekalkan aspek keselamatan, kualiti dan kemasan.
Selain itu, ia dilengkapi dengan 39 ruang kerja, tiga bilik bancuhan cat, empat kebuk semburan cat serta teknologi pembaikan moden.
Pusat berkenaan turut menerima tuntutan pembaikan kemalangan daripada semua syarikat insurans di Malaysia.
Ini sekali gus memudahkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan pembaikan dan pemulihan kenderaan.
Teroka lokasi baharu
EON turut meninjau peluang memperluas rangkaian Hab Badan & Cat dengan tumpuan kepada lokasi strategik yang sudah mempunyai kehadiran pelbagai jenama di bawah kendaliannya.
Akkbar Danial selaku Ketua Pegawai Eksekutif EON berkata, “Di EON, kami percaya setiap interaksi sepanjang tempoh pemilikan kenderaan ialah peluang untuk memberikan nilai, membina kepercayaan dan mencipta pengalaman bermakna.
“Hab Badan & Cat baharu ini membolehkan kami merealisasikan perkara tersebut,” katanya.
Beliau menambah, pusat itu mematuhi sepenuhnya prosedur dan proses EON bagi memastikan pelanggan menerima perkhidmatan selepas jualan yang berkualiti tinggi dan menyeluruh.
