BYD Dolphin Surf 2026 Eropah dengan 5 atau 4 tempat duduk
BYD memperkenalkan Dolphin Surf 2026 untuk pasaran Eropah atau dikenali sebagai Seagull di China.
Apa yang menarik di antara ciri baharu ialah pilihan lima tempat duduk selain sistem maklumat hibur baharu serta beberapa ciri tambahan pada bahagian dalaman.
Model elektrik kompak ini menggunakan platform e-Platform 3.0 dan bateri Blade dengan pilihan kapasiti 30 kWj untuk Active serta 43.2 kWj untuk Boost dan Comfort.
BYD Dolphin Surf Kini Dengan Lima Tempat Duduk

Dolphin Surf 2026 membawakan pilihan lima tempat duduk dengan tiga tempat duduk di baris kedua.
Setiap penumpang belakang dilengkapi penyandar kepala boleh laras.
Versi empat dan lima tempat duduk akan ditawarkan secara serentak bergantung kepada keperluan pasaran dan corak jualan tempatan.
Sebagai perbandingan, dimensi Dolphin Surf setara dengan Proton Iriz dan satu yang menarik apabila didatangkan bersama tiga atau dua tempat duduk di belakang.
Dari segi muatan, Dolphin Surf mempunyai ruang but berkapasiti 308 liter.

Skrin 12.8 Inci Dengan Google Built-in
Versi Comfort kini menerima skrin sistem maklumat hibur berukuran 12.8 inci, yang menurut BYD terbesar dalam segmen hatchback elektrik kompak.
Sistem itu turut dilengkapi Google Built-in, termasuk Google Assistant, Google Navigation dan Google Play Store untuk akses kepada pelbagai aplikasi.
Panel instrumen digital Comfort pula meningkat daripada 7 inci kepada 8.8 inci.

Kabin Dengan Ciri Baharu
Pemilih gear kini dialihkan daripada suis putar pada bahagian hadapan papan pemuka kepada tuil pada lajur stereng.
Tuil sebelah kiri digunakan untuk mengawal lampu isyarat, lampu utama dan pengelap cermin hadapan.
Stereng baharu turut diperkenalkan dan dilengkapi fungsi pemanas pada Boost dan Comfort. Boost juga menerima tempat duduk dengan fungsi pemanas.

Semua varian dilengkapi sistem kawalan suhu.
Dari segi kemasan, Active dan Boost kini menggunakan balutan fabrik, manakala Comfort mengekalkan kemasan kulit vegan.
Antara perubahan lain ialah penutup ruang but sebagai kelengkapan standard serta dua port USB Type-C di bahagian hadapan.
Warna dan Roda Baharu

Dolphin Surf 2026 mendapat pilihan warna baharu Skiing White, selain Lime Green, Obsidian Black dan Ice Blue.
Varian Active kini menggunakan roda aloi 16 inci seperti Boost dan Comfort, menggantikan roda keluli 15 inci.
Bahagian kabin pula boleh didapati dengan kemasan biru selain pilihan hitam dan kelabu.
Prestasi dan Jarak Gerak

Sistem bateri Blade dan motor elektrik dikekalkan tanpa perubahan.
Active menggunakan bateri 30 kWj bersama motor 88 PS, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 11.1 saat dan jarak gabungan 220 km.
Boost menggunakan bateri 43.2 kWj bersama motor 88 PS. Pecutan 0-100 km/j mengambil masa 12.1 saat, manakala jarak gabungan mencapai 322 km.
Comfort turut menggunakan bateri 43.2 kWj, tetapi dipadankan dengan motor 156 PS dan 220 Nm.
Varian ini mampu mencapai 0-100 km/j dalam 9.1 saat dengan jarak gabungan 310 km.
Pengecasan

Dolphin Surf menyokong pengecasan DC sehingga 65 kW untuk Active dan 85 kW bagi Boost serta Comfort.
Boost dan Comfort boleh dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam 31 minit.
Pengecasan AC tiga fasa 11 kW pula menjadi kelengkapan standard untuk semua varian.
Masa pengecasan 0 hingga 100 peratus ialah kira-kira 3.5 jam untuk Active dan lebih 4.5 jam untuk Boost serta Comfort.
Ciri Keselamatan

Struktur badan berasaskan e-Platform 3.0 menggunakan 75 peratus keluli berkekuatan tinggi.
Bateri Blade pula direka untuk melepasi ujian tusukan paku yang menjadi salah satu penilaian keselamatan bateri.
Kesemua varian dilengkapi beg udara hadapan, beg udara sisi dan beg udara tirai.

Sistem bantuan pemanduan ADAS turut menjadi kelengkapan standard.
Di antaranya kawalan jelajah pintar, brek kecemasan automatik, bantuan keluar lorong dan kawalan lampu tinggi pintar.
Turut disediakan sistem pemantauan tekanan tayar, fungsi panggilan kecemasan dan kunci keselamatan kanak-kanak.
BYD Dolphin Surf 2026 akan diperkenalkan secara berperingkat ke rangkaian pengedar BYD di Eropah pada separuh kedua 2026.
Spesifikasi dan strategi jualan disesuaikan mengikut keperluan pasaran tempatan.



































