Iveco & PETRONAS Lubricants International lanjut kerjasama strategik hingga 2032
Pengeluar kenderaan komersial terkemuka Eropah Iveco memperbaharui kerjasama strategik bersama PETRONAS Lubricants International (PLI) untuk tempoh lima tahun lagi sehingga 2032.
Melalui pembaharuan ini, PLI dan Iveco akan terus membekal dan membangunkan rangkaian pelincir lengkap untuk kenderaan komersial termasuklah minyak enjin, bendalir brek dan transmisi serta bendalir penyejuk.
Semua formulasi ini direka khusus bagi memenuhi tuntutan operasi armada kenderaan Iveco di seluruh Eropah.
Kerjasama lebih 50 tahun
Kerjasama yang terjalin selama lebih 50 tahun terbukti menerusi kejayaan rangkaian produk Iveco Urania dan Iveco Tutela, pelincir rasmi yang disyorkan oleh Iveco.
Inovasi terkini ialah Urania Next 0W-16, iaitu minyak enjin SAE 0W-16 yang pertama dibangunkan khusus untuk aplikasi tugas berat.
Formulasi baharu ini menawarkan penjimatan bahan api yang lebih baik, pelepasan CO2 lebih rendah serta selang servis lebih panjang.
Ia juga sedia untuk Euro 7, menyokong kecekapan dan prestasi emisi enjin generasi baharu Iveco yang terkini.
Fokus kepada pengedar dan pelanggan
Perjanjian baharu ini turut memberi fokus kepada rangkaian pengedar Iveco.
Selain menyediakan produk berteknologi tinggi, PLI akan melaksanakan inisiatif khusus untuk meningkatkan penglibatan pengedar dan memperkukuh kesedaran pelanggan terhadap pelincir rasmi Iveco.
PLI kekal komited menyokong Iveco dengan produk dan penyelesaian berprestasi tinggi yang mampu memberikan nilai jangka panjang kepada rangkaian dan pelanggan global.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.
