KLIMS2026: Hyundai Stargazer 2026 debut, tempahan dibuka, harga dari RM99,xxx

Hyundai Stargazer 2026

Hyundai Motor Malaysia mengumumkan pembukaan tempahan bagi model MPV yang dinanti-nantikan, iaitu Hyundai Stargazer.

Versi yang dipamerkan ini merupakan model facelift Stargazer Cartenz yang telah pun diperkenalkan di pasaran Indonesia pada tahun lalu.

Model ini dijangka akan dilancarkan tidak lama lagi, dengan harga jualan seperti berikut:

  • Stargazer Style 7-tempat duduk – RM99,xxx
  • Prime 7-tempat duduk – RM109,xxx
  • X 6-tempat duduk – RM121,xxx

Spesifikasi enjin

MPV tiga baris tempat duduk ini dikuasakan oleh enjin 4-silinder 1.5 liter yang mampu menjana 113 hp @ 6,300 rpm dan 144 Nm @ 4,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi kotak gear IVT (Intelligent Variable Transmission).

Terdapat empat mod pemanduan iaitu Eco, Normal, Sport dan Smart.

Dimensi

Stargazer membawakan ukuran sepanjang 4,575 mm, lebar 1,780 mm, tinggi 1,695 mm dengan jarak antara roda 2,780 mm.

Varian X pula mempunyai ukuran dimensi sedikit panjang, iaitu sekitar 4,610 mm, lebar 1,820 mm, dan tinggi 1,740 mm.

Radius putaran adalah sekecil 5.4 meter.

Ruang kargo pula sebesar 185 liter dan boleh mencapai kapasiti sehingga 1,892 liter.

Varian asas Stargazer dilengkapi dengan rim bersaiz 16 inci dan 17 inci untuk dua varian tertinggi.

Kelengkapan

Versi facelift menampilkan beberapa perubahan seperti reka bentuk lampu utama yang lebih berpetak, lampu DRL, jeriji yang direka semula, bampar depan dan belakang baharu, serta rekaan lampu belakang yang disemak semula.

Varian X mendapat kit badan yang lebih sporti.

Kelengkapan ruang kabin pula adalah berdasarkan varian seperti berikut:

Style 

  • skrin paparan LCD 4.2 inci
  • skrin infohibur 8-inci
  • sistem audio 4-pembesar suara
  • tempat duduk balutan fabrik

Prime (tambahan kepada ciri di atas)

  • skrin kluster digital 10.25 inci
  • skrin infohibur 10.25 inci
  • upholsteri kombinasi fabrik dan leatherette
  • meja lipat baris kedua
  • brek parkir elektronik (EPB) dengan fungsi Auto Hold

X (tambahan kepada ciri di atas)

  • tempat duduk kapten baris kedua
  • upholsteri balutan leatherette

Keselamatan

Secara standard, Stargazer dilengkapi dengan dua beg udara, atau sehingga 6 beg udara untuk varian Prime dan X.

Hyundai Stargazer varian Prime dan X turut dilengkapi dengan pakej Hyundai SmartSense merangkumi 13 fungsi termasuklah:

  • Bantuan Suluhan Tinggi (HBA)
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCA)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Amaran Tumpuan Pemandu (DAW)
  • Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan (LVDA)
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Trafik Lintasan Belakang (RCCA)
  • Bantuan Keluar Selamat (SEA)

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved