Perodua lancar aplikasi sewa kenderaan UCar-e di tiga universiti tempatan
Perodua memperkenalkan aplikasi perkhidmatan sewa kenderaan UCar-e yang direka khas untuk keperluan pelajar dan kakitangan universiti.
Untuk itu, Perodua menjalin kerjasama dengan tiga universiti tempatan iaitu:
- Universiti Utara Malaysia (UUM)
- Universiti Putra Malaysia (UPM)
- Universiti Teknologi Malaysia (Malaysia-Japan International Institute of Technology)
Ia merupakan inisiatif terbaharu Perodua di bawah konsep Mobiliti sebagai Gaya Hidup yang menekankan penyelesaian mobiliti lebih berasaskan perkhidmatan.
Majlis pelancaran tersebut dibuat di Inasis Perodua, UUM dan turut dihadiri oleh Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, serta Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed selaku Naib Canselor UUM.
50 unit permulaan

Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, sebanyak 50 unit kenderaan Perodua akan disediakan untuk permulaan kepada universiti terlibat.
“Kenderaan ini boleh digunakan oleh pelajar-pelajar dan kakitangan di mana mereka boleh membuat tempahan, mengakses dan menggunakan kenderaan tersebut untuk bergerak daripada hostel ke dewan kuliah dalam kawasan universiti.”
Jelasnya lagi, aplikasi UCar-e membolehkan pengguna mengesan kenderaan yang diletakkan di tapak parkir yang telah ditetapkan dalam kampus.
Pengguna juga akan diberikan panduan spesifik berkenaan zon parkir yang boleh digunakan untuk memulangkan kenderaan selepas pemanduan.
Dalam pada itu, Perodua juga akan bekerjasama rapat dengan wakil universiti untuk melantik pelajar-pelajar menguruskan kenderaan sewa termasuklah:
- memastikan kenderaan kekal bersih
- bekalan petrol di tahap sepatutnya
- memastikan kenderaan sentiasa terjaga
Sebagai pulangan, pelajar terbabit akan menerima bayaran dalam bentuk komisen.
“Dengan melantik pelajar sebagai ejen pengurusan kenderaan, ia memberi peluang kepada mereka untuk mengasah bakat keusahawanan dalam diri, selain memberi pendedahan kepada generasi muda,” ujarnya lagi.
Perkhidmatan UCar-e ini dijangka bermula pada Jun 2026 dan dilaksanakan secara berperingkat bergantung kepada kesediaan pihak universiti.
Usaha Perodua kembang perniagaan automotif

Beliau berkata, pengenalan UCar-e adalah sebahagian daripada usaha Perodua untuk mengembangkan perniagaan automotifnya menerusi perkhidmatan mobiliti inovatif.
Ia adalah selaras dengan tingkah laku pengguna serta pilihan gaya hidup yang semakin berubah.
“Kami sedar golongan muda kini lebih berminat untuk merasai pelbagai pengalaman pemanduan berbanding memiliki kenderaan sendiri disebabkan oleh isu-isu seperti kos penyelenggaraan, tapak parkir yang terhad serta kesesakan trafik dan ini membuatkan mereka mencari alternatif penyelesaian mobiliti,” katanya.
Dato’ Sri Zainal juga meluahkan keyakinannya bahawa UCar-e boleh membantu mengatasi isu-isu berkenaan di samping membuka jalan untuk peluasan perkhidmatan berkaitan mobiliti di masa hadapan di bawah ekosistem perniagaan Perodua yang semakin berkembang.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.