Lima perkara anda perlu tahu tentang Aurus Senat Limousine, kereta terbaharu milik YDPA
Tahukah anda, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim kini merupakan pemilik terbaharu Aurus Senat Limousine yang dihadiahkan oleh Persekutuan Rusia.
Ia merupakan satu perkara yang unik disebabkan sedan mewah ini jarang dimiliki di luar Rusia dan tidak dieskport secara meluas ke pasaran antarabangsa.
Aurus Senat juga digunakan sebagai kenderaan rasmi kepimpinan tertinggi Rusia terutama Presidennya Vladimir Putin dalam acara rasmi negara.
Berikut kami kongsikan beberapa perkara menarik tentang sedan mewah buatan Rusia ini.
Tiga dimensi panjang berbeza
Aurus Senat Limousine merupakan sedan yang paling panjang ditawarkan, dengan ukuran dimensi sepanjang 6,620 mm.
Selain versi Limousine, terdapat dua lagi varian yang disediakan.
Versi standard memiliki ukuran sepanjang 5,632 mm dengan jarak antara roda 3,300 mm.
Versi Long pula sekitar 6,130 mm, dengan jarak antara roda 3,800 mm.
Nadi V8 hibrid
Ketiga-tiga versi Aurus Senat ini dipacu enjin hibrd bentangan V8 bersesaran 4,400 cc.
Dengan bantuan motor elektrik 62 hp, kuasa keseluruhan mampu mencecah 598 hp @ 5,500 rpm dan 880 Nm @ 2,200-4,750 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada semua roda menerusi transmisi automatik 9-kelajuan.
Prestasi
Dengan sistem hibrid yang disebutkan itu tadi, Senat boleh memecut sepantas 6 saat dari 0-100 km/j dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.
Versi Long pula mampu memecut sepantas 8.1 saat, namun kelajuan maksimum hanyalah sekitar 190 km/j.
Senat Limousine pula berupaya memecut sepantas 9 saat sahaja. Kenapa? Rujuk poin berikut.
Limousine ada perlindungan ekstra
Tidak seperti dua varian sedan yang disebutkan di atas, varian Limousine direka khusus untuk kegunaan VIP.
Disebabkan tujuan yang khusus, Senat Limousine dilengkapi dengan perlindungan balistik tahap VR8/VR10.
Tidak cukup dengan itu, sedan panjang ini dilengkapi ciri berikut:
- tayar 20 inci kalis peluru
- tangki bahan api kalis api dan letupan
- sistem pemadam kebakaran
- sistem penapisan udara
- sistem komunikasi luaran
- laluan keluar kecemasan
Dengan kelengkapan tersebut, tidak menghairankan apabila Senat Limousine ini mempunyai berat 6,200 kg.
Sebagai perbandingan, Senat standard adalah seberat 3,490 kg manakala Senat Long pula seberat 3,910 kg.
Harga
Berdasarkan semakan di laman web rasmi, Aurus Senat dijual pada harga bermula dari 48,500,000 rubles (RM2.6 juta).
Untuk info, harga yang dipaparkan itu merujuk kepada Senat standard sahaja.
Aurus Senat Limousine YDPA
Aurus Senat Limousine
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.
































