Hyundai Palisade 2025, rekaan tegap untuk mereka yang alah dengan minivan
Sedar atau tidak, Hyundai Palisade kini sudah pun memasuki generasi baharu setelah kali pertama debut pada tahun 2018.
Tidak seperti model terdahulu, generasi kedua Hyundai Palisade 2025 tampil dengan rekaan yang lebih tegap tanpa garis-garis badan yang terlalu sibuk.
Dari segi dimensi, Hyundai Palisade 2025 kini sepanjang 5,060 mm (+65 mm), lebar 1,980 mm (+5 mm), tinggi 1,805 mm (+55 mm) dan jarak antara roda 2,970 mm (+70 mm).
Jika dilihat dari bahagian profil sisi, penambahan dimensi yang disebutkan itu tadi memberikan kesan di mana jarak gantungan hadapan menjadi lebih pendek, manakala jarak gantungan belakang menjadi lebih panjang.
Nampak seakan sebuah Range Rover.
Penampilan yang mewah itu disumbangkan lagi dengan struktur jeriji yang agak besar dan lebar, diikuti dengan gugusan lampu nyalaan siang LED gergasi yang turut bertindak sebagai lampu indikasi membelok yang boleh dilihat sebatu jauhnya.
Tema lampu berlapis itu diteruskan pada bahagian belakang namun tanpa kehadiran bar LED melintang seperti mana trend masa kini.
Untuk ruang kabin, Palisade membawakan susun atur yang jauh lebih mewah seakan sebuah kenderaan jenama Genesis.
Pada papan pemuka tersebut menempatkan skrin berkembar 12.3 inci dalam satu panel tunggal melengkung, dihiasi dengan kemasan kayu, sistem pencahayaan ambien, roda stereng seakan model Range Rover dan gugusan butang kawalan untuk sistem infohibur dan suhu kabin.
Di Korea, Hyundai Palisade turut ditawarkan dalam versi sembilan tempat duduk, di mana tempat duduk ke-9 itu merupakan bangku kecil antara tempat duduk baris hadapan yang boleh diubah menjadi konsol tengah.
Sementara untuk pasaran lain, Palisade masih lagi tersedia dalam versi tujuh atau lapan tempat duduk.
Untuk versi 7-penumpang, tempat duduk baris kedua didatangkan dengan fungsi boleh laras (termasuklah baring dan lipat) berkuasa elektrik, pilihan fungsi urut dan ciri tilting walk-in untuk akses mudah kepada tempat duduk baris ketiga.
Ruang kargo juga boleh dimaksimumkan kepada 615 liter dengan hanya memposisikan tempat duduk baris ketiga sedikit ke hadapan.
Pemandu juga diberikan kebebasan untuk mengubah posisi dan sudut tempat duduk baris kedua dan ketiga menerusi menu dalam skrin infohibur.
Untuk makluman, Hyundai Palisade 2025 masih lagi mengekalkan platform unibodi yang sama seperti model terdahulu, namun telah dinaik taraf.
Biarpun platform yang sama, Hyundai Palisade baharu ini nampaknya tidak mengekalkan enjin bentangan V6 3.8 liter, sebaliknya menggantikan nadi tersebut dengan enjin empat silinder sebaris 2.5 liter turbo berkuasa 277 hp dan 422 Nm.
Versi hibrid yang terdiri daripada enjin 2.5 liter turbo, motor elektrik tunggal (72 hp/264 Nm) dan pek bateri lithium-ion 1.65 kWh pula mampu menjana kuasa setinggi 330 hp, dan jarak pandu sejauh lebih 1,000 km!
Selain daripada enjin baharu, Hyundai Palisade merupakan SUV Hyundai pertama menampilkan ciri yang dinamakan sebagai Electronic Controlled Suspension (ECS).
Sistem ECS ini akan menggunakan data navigasi dan penderia untuk mengimbangi pergerakan kenderaan sepanjang perjalanan, sekaligus mengutamakan keselesaan penumpang yang lebih baik.
Tidak cukup dengan itu, Palisade baharu menawarkan ruang kabin yang lebih senyap dengan menggunakan kaca yang lebih tebal serta tambahan penebat bunyi di sekeliling tingkap.
Generasi kedua Hyundai Palisade 2025 mula dijual di pasaran Korea pada harga bermula dari ₩43,830,000 (RM135,724).
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.