fbpx

Ford Escort Mk1 RS dilahirkan semula, 296 hp, terhad 150 unit sahaja

Ford-Escort-Boreham-1

Ford akhirnya memberikan lampu hijau kepada Boreham Motorworks untuk memproduksikan semula model ikonik klasik Ford Escort Mk1 RS.

Biarpun ia dibina menggunakan lukisan rangka asal tahun 1970-an, pihak Boreham tetap menyuntik beberapa elemen moden pada model ini.

Hanya 150 unit sahaja Escort RS yang akan diproduksikan, di mana pembeli akan diberikan dua pilihan enjin.

Versi paling berkuasa datang dengan enjin empat silinder sebaris 2.1 liter aspirasi semula jadi yang dipadankan dengan kotak gear dogleg lima-kelajuan, menghasilkan kuasa setinggi 296 hp dan mampu mencecah putaran enjin 10,000 rpm.

Enjin baharu ini menampilkan komponen seperti rod penyambung keluli, aci engkol bilet, sistem suntikan bahan api dan ekzos titanium kustom.

Mereka yang mahukan pakej yang lebih ‘asli’ boleh mendapatkan versi asas dengan enjin Twin-Cam 1,845 cc yang telah dinaik taraf dengan sistem pancitan bahan api baharu.

Dengan kuasa mencecah 182 hp, kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi manual empat nisbah kelajuan jenis straight-cut.

Dari segi luaran, Escort RS mengekalkan semangat rekaan yang dibawakan pada model asal, namun ditambah dengan elemen moden seperti unit lampu LED, gerbang roda yang lebih lebar, dan rim kustom empat jejari saiz 15 inci.

Menurut Boreham, kereta ini mempunyai nisbah agihan berat badan 55:45, sistem gantungan spring gegelung, pembeza gelincir terhad di belakang, serta gandar belakang aluminium dan titanium jenis terapung.

Sistem brek terdiri daripada angkup empat omboh dan rotor 260 mm di hadapan, diikuti angkup dua omboh dan rotor 264 mm di bahagian belakang.

Ruang kabin pula agak asas, di mana ia tidak langsung dicemari dengan kehadiran skrin bersaiz besar.

Sebaliknya, ia menampilkan papan pemuka gentian karbon yang lengkap dengan tolok meter analog, sistem pendingin hawa dan sistem audio yang sangat ringkas.

Selain itu, terdapat juga roda stereng Alcantara tiga jejari, tempat duduk jenis bucket, serta pilihan untuk memasang sangkar keselamatan dan sistem abah-abah empat poin, serta ruang storan untuk penyimpanan helmet perlumbaan.

Seperti yang disebutkan tadi, hanya 150 unit sahaja Escort MK1 RS yang akan dihasilkan, setiap satu mempunyai tanda harga bermula dari £295,000 (RM1.66 juta).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved