Moto Morini Calibro 700 mendarat di Malaysia, 74 hp, 68 Nm, harga RM35,888


MForce Bike Holdings selaku pengedar rasmi motosikal jenama Moto Morini melancarkan model cruiser terbaharu iaitu Moto Morini Calibro 700.
Ia dipacu oleh enjin parallel-twin 693 cc yang mampu menghasilkan kuasa 74 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 68 Nm @ 6,500 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi tali sawat yang menawarkan kelebihan seperti kurang gegaran, kurang masalah karat dan menyumbang kepada keselesaan.
Penampilan Calibro 700 diserlahkan dengan binaan pelindung angin yang lebar, lampu projektor LED depan, lampu nyalaan siang DRL, tangki bahan api sebesar 15 liter dan kotak storan kiri dan kanan sebesar 20 liter yang dibekalkan secara standard.
Calibro 700 juga menawarkan tinggi pelana 705 mm dan penggunaan bahan yang menyumbang kepada keselesaan tunggangan.
Aspek tunggangan dibantu dengan penggunaan fork hadapan 41 mm, penyerap hentak berkembar di belakang, serta tayar bersaiz 130/70-18 di depan dan 180/65-16 di belakang.
Sistem brek pula terdiri daripada rotor berkembar 320 mm dan angkup dua omboh di depan serta rotor tunggal 255 mm di belakang, dibantu dengan sistem brek ABS dua saluran.
Penunggang boleh mendapatkan bacaan info penting motosikal menerusi meter analog yang disertakan dengan paparan LCD digital.
Moto Morini Calibro 700 dijual pada harga RM35,888, tidak termasuk insurans dan cukai jalan.
Moto Morini Calibro 700

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.