Mazda EZ-6 mula dijual di China, harga dari RM86k


Mazda mengumumkan harga jualan bagi model sedan EZ-6 yang direka sebagai pengganti spiritual kepada Mazda6 untuk pasaran China.
Sedan EZ-6 secara asasnya merupakan versi tukar lencana daripada model Deepal SL03 yang dihasilkan oleh Changan Automobile.
Di sana, pembeli boleh mendapatkan model sedan berkuasa elektrik yang dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pacuan roda belakang berkuasa 255 hp/320 Nm yang dipadankan dengan dua pilihan kapasiti bateri.
Versi asas hadir dengan pek bateri lithium iron phosphate 56.1 kWh dengan jarak gerak 480 km, sementara pek bateri 68.8 kWh pula membolehkan jarak gerak lebih 600 km dicapai untuk sekali cas penuh.
Terdapat juga versi penambah jarak, di mana Mazda EZ-6 range extender didatangkan dengan motor elektrik 215 hp/320 Nm yang dibantu dengan enjin 1.5 liter berkuasa 94 hp untuk mengecas pek bateri.
Dua pilihan kapasiti pek bateri tersedia untuk versi penambah jarak, iaitu 18.9 kWh atau 28.4 kWh, di mana versi paling kecil membenarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 105 km, manakala unit yang lebih besar menambah jarak kepada 160 km.
Paling penting, terima kasih kepada penambahan enjin itu tadi, jarak gerak keseluruhan sedan EZ-6 versi range extender ini mampu mencecah 1,300 km!
Dari segi saiz, Mazda EZ-6 berukuran 4,921 mm panjang dengan jarak antara roda sekitar 2,895 mm, lebih panjang berbanding pesaingnya Toyota Camry.
Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah skrin kluster digital 10.1 inci, skrin tengah 14.6 inci, tempat duduk balutan kulit atau kulit Nappa, kawalan iklin dua zon automatik, pengecas peranti tanpa wayar, sistem pencahayaan ambien 64 warna dan sistem audio premium Sony dengan 14 pembesar suara.
Harga jualan bermula dari 139,800 yuan (RM85,531) untuk varian berenjin penambah jarak, sementara versi EV tulen bermula dari 159,800 yuan (RM97,768).

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.