Bentley Flying Spur Speed 2025, kini dengan nadi V8 hibrid yang lebih berkuasa!
Ini ialah generasi keempat sedan mewah Bentley Flying Spur Speed 2025, dengan rupa paras yang hampir seiras dengan sedan generasi ketiga.
Sememangnya tidak banyak perubahan besar dibuat pada aspek luaran, melainkan dengan rekaan jeriji, rim aloi baharu bersaiz 22 inci, serta rekaan liang bukaan pada bampar.
Malah untuk ruang kabin juga perubahan yang dibawakan lebih bersifat minima, kecuali corak “Precision Diamond” yang dibawakan pada tempat duduk dan juga panel pintu.
Perubahan besar sebenarnya datang pada ruang enjin, di mana nadi W12 yang telah dihentikan produksi itu telah digantikan dengan unit rangkaian kuasa Ultra Performance Hybrid.
Enjin bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar itu mampu menghasilkan kuasa 592 hp, digandingkan dengan motor elektrik 187 hp.
Secara keseluruhan, Bentley Flying Spur 2025 mampu menjana kuasa 771 hp dan 1,000 Nm, menjadikan pecutan 0-100 km/j diselesaikan dalam masa 3.5 saat sahaja.
Pek bateri 25.9 kWh pula menawarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 76 km.
Dalam mod pemanduan EV, Flying Spur 2025 ini boleh bergerak menggunakan kuasa 187 hp/450 Nm dengan kelajuan dihadkan kepada 140 km/j sahaja.
Gandingan bateri dan tangki bahan api penuh membolehkan Flying Spur Speed ini bergerak sejauh 829 km.
Secara standard, Bentley melengkapkan model Flying Spur Speed ini dengan pelbagai teknologi casis yang moden, termasuklah Bentley Performance Active Chassis, stereng semua roda, suspensi Bentley Dynamic Ride, torque vectoring aktif dan pembeza gelincir terhad kawalan elektronik.
Untuk memastikan tiada dua Bentley Flying Spur memiliki spesifikasi kemasan yang sama, Bentley menawarkan sehingga 10 bilion pilihan penyesuaian tersedia tidak termasuk opsyen bespoke daripada divisyen Mulliner.
Untuk luaran sahaja, terdapat lebih 101 pilihan warna, diikuti dengan 700 kombinasi warna upholsteri kulit, lapan kemasan venir kayu dan tiga kemasan teknikal untuk ruang kabin.
Bentley menawarkan sistem audio 650 watt dengan 10 pembesar suara sebagai ciri standard, namun pembeli boleh mendapatkan naik taraf sistem Bang & Olufsen 1,500 watt dengan 16 pembesar suara, atau sistem 2,200 watt dengan 19 pembesar suara dan Active Bass Transducers tertanam pada tempat duduk depan.
Tidak cukup dengan itu, Flying Spur ini turut dilengkapi dengan kaca berlamina pada bahagian cermin hadapan dan sisi untuk menjadikan kabin 9dB lebih senyap.
Akhir sekali, terdapat opsyen Wellness Seating Specification tersedia untuk kesemua empat tempat duduk untuk memastikan setiap penumpang kekal selesa sepanjang masa.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.