fbpx

Toyota dijangka lancar hot hatch FWD GR Starlet tahun 2026

engear.tv
Sumber gambar: Best Car Web JP

Berita tentang kelahiran semula model Starlet telah lama berlegar di alam maya.

Berdasarkan maklumat terbaharu daripada laman penerbitan Jepun Best Car Web, Toyota merancang untuk memperkenalkan kembali model Starlet sebagai pengganti kepada Toyota Passo yang telah dihentikan.

Bukan itu sahaja, divisyen perlumbaan Gazoo Racing turut merancang untuk melahirkan sebuah hot hatch turbo GR Starlet (nama tidak rasmi) yang bakal menjadi asas kepada jentera lumba WRC Rally 4.

Model Starlet baharu itu mungkin akan menggunakan platform TNGA-B yang sama digunakan pada Yaris, namun dengan dimensi yang lebih kecil.

Best Car Web menganggarkan dimensi Starlet berukuran sepanjang 3,850 mm, lebar 1,725 mm, tinggi 1,475 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,450 mm.

Sebagai perbandingan, Toyota Yaris (platform TNGA) berukuran sepanjang 3,940 mm, lebar 1,745 mm, tinggi 1,500 mm manakala jarak antara roda pula berukuran 2,560 mm.

Tidak seperti GR Yaris yang menggunakan nadi G16E-GTS 1.6 liter turbo, GR Starlet pula mungkin akan menggunakan unit rangkaian kuasa yang lebih ringkas.

Menurut sumber, hot hatch baharu itu akan dilengkapi dengan nadi tiga silinder sebaris 1.3 liter turbo berdasarkan enjin 1.6 liter turbo itu tadi, dengan kuasa sekitar 150 hp, sistem pacuan roda depan dan transmisi manual enam-kelajuan.

Disebabkan ketiadaan sistem pacuan semua roda GR-Four, ia turut menyumbang kepada berat badan yang lebih ringan, iaitu sekitar 980 kg, atau 300 kg lebih ringan berbanding GR Yaris.

Tambah sumber itu lagi, model produksi sebenar Starlet (dan GR Starlet) dijangka muncul pada tahun 2026, sementara jentera rali Starlet pula akan menunjukkan belangnya pada musim perlumbaan 2027.

Berita berkenaan kemunculan Toyota GR Starlet telah kami laporkan sebelum ini, anda boleh baca di pautan INI.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved