fbpx

Art of Speed 2024 jadi platform “Stop the Violence”, 27-28 Julai ini di MAEPS Serdang

DSC03693

Art of Speed Malaysia (AOSM) mengumumkan penganjuran acara tahunan Art of Speed edisi ke-13 yang akan berlangsung di MAEPS, Serdang pada 27-28 Julai ini.

Penganjuran Art of Speed 2024 akan membawakan tema “Stop the Violence” di mana pihak AOS akan berkolaborasi dengan Selangor FC (SFC) untuk menyebar luas perasaan “cinta tanpa benci, perpaduan tanpa sempadan” dalam arena automotif tempatan.

Berbeza dengan penganjuran terdahulu, acara Kustom & Counter Culture terulung ini mengambil ruang tertutup seluas 452,084 kaki persegi serta ruang luar 8.6 ekar yang jauh lebih luas, dan menampilkan lebih banyak aktiviti untuk memuaskan hati peminat dan pengunjung.

 

 

Antaranya ialah Outdoor ThunderCircus “Brotherhood Rally” yang dikhususkan untuk peminat motosikal, pameran kereta ubahsuai NEAT Fest, pameran gaya hidup Off The Grid, Show & Shine, pameran fesyen jalanan, serta forum Kustom & Koffee Talk.

Selain itu, AOS 2024 turut menyediakan aktiviti tambahan seperti Roda Rumble 2024 oleh Retro Mania, persembahan La Cultura, aktiviti jual beli motosikal bawah 500 cc Moto4sale, bazar vintaj automobil, kawasan foodtruck, serta zon tunggang uji motosikal seperti Royal Enfield, Vespa, Aprilia, Lambretta, Harley-Davidson dan lain-lain.

 

 

Acara AOS Invitational Build-Off juga membuat kemunculan semula pada tahun ini dengan 10 orang pembina khas mempamerkan hasil kerja masing-masing dan berpeluang untuk menghantar motosikal kustom mereka ke acara The 32nd Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun.

Antara yang terlibat termasuklah Abah & Sons (Padin Musa), Nodie Cycles, Acid Welding, Zuhalfast, RGF, Flying Loser, Chaos Customs, FNG Works dan Son of Abdul.

 

 

Buat para peminat kereta tiga inci, acara Hot Wheels Collectors Convention Malaysia kembali lagi pada tahun ini selepas mendapat sambutan hangat pada tahun lepas.

Untuk tahun ini, pengunjung dapat menikmati lebih banyak aktiviti Hot Wheels termasuklah pameran Hot Wheels Rare & Collectibles, Hot Wheels Skate School, Swap Buy and Sell, pertandingan kustom, serta majlis makan malam khas yang bertempat di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.

Dalam acara makan malam itu, AOS 2024 akan melancarkan model die-cast eksklusif konvensyen pertama untuk Malaysia yang akan turut dihadiri oleh Pengurus Pereka Kenderaan Hot Wheels, Dwayne Vance.

 

 

AOS 2024 turut mengumumkan senarai tetamu jemputan komuniti kustom dari Jepun seperti Shige Suganuma, Shinotsuka “NATQQ” Michihisa & Hey Murakami dari MOONEYES, Katie’s Custom, STOOP Motorcycles, dan juga EVILACT yang merupakan pakar kustom motosikal Harley-Davidson.

Selain itu, Nigel Petrie dari Engineered to Slide Australia yang sangat terkenal dengan rekaan jentera drift space frame Toyota Hilux juga akan membuat kemunculan, diikuti dengan beberapa nama terkemuka dari negara jiran Thailand dan juga Indonesia.

AOS 2024 bakal menyaksikan kemunculan dua bintang drift terkemuka, iaitu Daigo Saito yang juga terkenal dengan kedai Fat Five Racing, serta The Prince of Drift Malaysia, Tengku Djan Ley bin Tengku Mahaleel.

Tidak ketinggalan, acara konsert SoundCircus yang bakal mengambil alih Dewan A dengan barisan artis terkenal seperti Spider, Gerhana Ska Cinta, Salam Musik, Jemson X Forcesparkbois, Slatan, 53 Universe dan ramai lagi.

 

 

AOS 2024 turut mengumumkan kolaborasi bersama empat jenama pada tahun ini, iaitu Zippo, Von Dutch, Selangor FC dan MOONEYES dengan pelbagai barangan menarik seperti t-shirt, topi, lanyard dan banyak lagi barangan eksklusif yang boleh direbut oleh pengunjung.

Hadiah cabutan bertuah pada tahun ini merupakan kolaborasi antara AOS dan QARTEL TV di mana pemegang tiket bertuah akan membawa pulang sebuah kereta Honda yang telah diubahsuai.

Pas masuk hujung minggu AOS 2024 boleh dibeli pada harga serendah RM35.00 manakala kanak-kanak bawah 12 tahun dan OKU tidak akan dikenakan sebarang bayaran.

Pengunjung juga boleh mendapatkan tiker parkir valet VIP dengan bayaran RM30.00 di mana mereka boleh meletakkan kereta di aras bawah Dewan D, sah untuk kemasukan sehari.

 

 

“Kami amat bersyukur kerana dapat menganjurkan Art of Speed Malaysia selama 13 tahun. Ia bukan sahaja untuk merealisasikan sebuah impian tetapi juga untuk kekal dengan cita-cita asal kami iaitu mengadakan acara yang mengumpulkan peminat-peminat di bawah satu bumbung untuk meraikan segala yang berkaitan dengan seni, gaya hidup, budaya dan permotoran,” kata Encik Asep Ahmad Iskandar, Pengarah Festival, Art of Speed Malaysia (AOSM).

“Kami dengan sedaya upaya telah mencipta acara kami dengan dasar dan cara yang betul untuk diikuti, yaitu menyediakan ruang yang selamat, selesa dan inklusif, kandungan untuk semua deria manusia, aspirasi yang berpatutan, persaudaraan, dan sentiasa meraikan masa yang baik. Kesimpulannya, Art of Speed adalah untuk semua orang; sentiasa ada dan akan sentiasa ada. Terima kasih kerana bersama dengan kami sekali lagi untuk tahun 2024 dan jom kita sama-sama nanti meraikan AOS 2024!”

Lihatkan Ulasan (4)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved