fbpx

Tesla Model 3 Performance diperkenalkan – RM242k, penghantaran bermula Q2 2024

Tesla Model 3 Performance 01

TESLA Model 3 Performance, varian paling berkuasa dalam barisan Model 3 Highland, telah diperkenalkan secara rasmi dengan harga jualan bermula dari RM242,000 di Malaysia.

Varian ini dipacu oleh unit pacuan prestasi atau Performance Drive Unit (Performance 4DU) yang terdiri daripada dua motor elektrik, satu pada setiap gandar.

Berdasarkan spesifikasi yang terdapat pada laman web Tesla Malaysia, Model 3 Performance mempunyai 460 hp yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.1 saat. Kelajuan maksimum adalah 262 km/j.

Untuk perbandingan, Model 3 Long Range AWD memerlukan 4.4 saat untuk mencapai kelajuan tersebut dan boleh memecut sehingga 201 km/j.

Untuk jarak pandu pula, Model 3 Performance dikatakan boleh dipandu sehingga 528 km berdasarkan kitaran WLTP, iaitu 101 km lebih pendek berbanding varian Long Range AWD.

Selain itu, ia juga mendapat sistem peredam adaptif baharu yang dipadankan dengan bar penstabil, spring keluli berkekuatan tinggi dan cagak suspensi yang lebih keras.

Sistem brek turut dipertingkatkan menerusi pad prestasi tinggi yang dikatakan lebih tahan lama dan sesuai untuk digunakan semasa beraksi di litar.

Dari segi penampilan, varian ini boleh dibezakan menerusi rekaan bampar hadapan dan belakang yang berbeza, diffuser belakang dan spoiler gentian karbon.

Model pasaran Malaysia didatangkan dengan rim Warp berukuran 20 inci, dan boleh didapati dalam lima warna iaitu Pearl White Multi-Coat, Solid Black (RM5,000), Deep Blue Metallic (RM5,000), Stealth Grey (RM7,500) dan Ultra Red (RM11,000).

Di dalam, terdapat tempat duduk sport, trim gentian karbon pada papan pemuka dan Track Mode V3yang menyepadukan kawalan motor, kawalan suspensi, penyejukan rangkaian kuasa dan Vehicle Dynamics Control (VDC) di bawah satu sistem.

Untuk ruang kabin, upholsteri hitam didatangkan secara standard namun pelanggan juga boleh mendapatkan upholsteri hitam putih dengan bayaran tambahan sebanyak RM5,000.

Menurut Tesla Malaysia, penghantaran Model 3 Performance dijangka bermula suku kedua tahun ini.

Lihatkan Ulasan (1)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved