fbpx

Toyota Land Cruiser 250 Series rasmi di Jepun, macam-macam aksesori!

Toyota Land Cruiser 250 Series First Edition 01

Toyota Jepun melengkapkan lagi penawaran SUV off-road di sana dengan melancarkan model terbaharu Land Cruiser 250 Series.

Ia diposisikan di tengah-tengah antara model Land Cruiser 70 Series yang sangat terkenal dengan kelasakan serta Land Cruiser 300 Series dengan spesifikasi yang lebih premium dan mewah.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas berkenaan Land Cruiser 250 Series:

 

1. Platform TNGA-F

 

Sama seperti Land Cruiser 300 Series, siri 250 ini berkongsi platform ladder-frame TNGA-F, dengan tetapan sistem suspensi double-wishbone di depan dan trailing link axle di belakang.

Berbanding model Prado yang terdahulu, LC 250 ini menawarkan peningkatan 50 peratus dari segi ketegaran rangka, dan peningkatan 30 peratus untuk tahap ketegaran secara keseluruhan.

 

2. Prestasi off-road dipertingkatkan

 

Secara standard, LC 250 Series ini membawakan ciri berikut:

Sistem pacuan empat roda sepenuh masa
-sistem pacuan 4WD ini digandingkan dengan pembeza gelincir terhad (LSD) Torsen di bahagian tengah untuk memastikan pengagihan daya kilas ke gandar depan dan belakang yang lebih optimum

Stereng kuasa elektrik (EPS)
-mengurangkan kesan kehilangan kuasa kawalan pengendalian
-respons stereng yang lebih cekap dan tajam
-tahap pengendalian yang lebih baik pada kelajuan rendah

Penstabil dengan mekanisme pemutusan sambungan (SDM)
-fungsi ini menawarkan prestasi dan keselesaan semasa pemanduan off-road, dan kestabilan semasa di atas jalan raya sebenar

Multi-Terrain Select
-enam mod pemanduan yang boleh dipilih bergantung kepada keadaan jalan

Multi-Terrain Monitor
-empat kamera digunakan untuk memantau keadaan sekeliling, termasuklah paparan di bawah kenderaan

 

3. Dua pilihan enjin

 

Land Cruiser 250 Series boleh didapati dalam versi petrol atau enjin.

Versi petrol menampilkan nadi 2TR-FE 2.7 liter aspirasi semula jadi berkuasa 163 PS dan 246 Nm, dipadankan dengan transmisi Super ECT enam nisbah kelajuan.

Versi diesel pula menggandingkan enjin 1GD-FTV 2.8 liter turbo menghasilkan kuasa setinggi 204 PS dan 500 Nm serta kotak gear Direct Shift automatik lapan nisbah kelajuan.

 

4. Dimensi

 

Land Cruiser 250 Series berukuran 4,925 mm panjang, lebar 1,980 mm, tinggi 1,870 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,850 mm.

Untuk memudahkan pemanduan off-road, Land Cruiser menawarkan jarak lega bumi 220 mm, diikuti sudut pendekatan 31 darjah, sudut pelepasan 22 darjah dan sudut breakover 25 darjah.

 

5. Pilihan lima atau tujuh tempat duduk

 

Berantung kepada spesifikasi, pembeli Land Cruiser 250 Series boleh mendapatkan versi dua baris tempat duduk yang mampu memuatkan lima orang penumpang, atau sehingga tujuh orang dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk.

Di bahagian belakang, terdapat ruang kargo sebesar 408 liter, di mana pemilik boleh memuatkan barangan peribadi menerusi tingkap kaca yang boleh dibuka tanpa membuka pintu tailgate.

 

6. Ruang kabin praktikal

 

Susun atur papan pemuka Land Cruiser 250 Series ini menerapkan aspek praktikaliti pemanduan yang lebih optimum terutama semasa pemanduan off-road.

Panel instrumen yang mendatar, serta tiang A yang lebih menegak direka untuk mengurangkan kesan titik buta dan menawarkan medan penglihatan yang lebih luas.

Butang kawalan khusus untuk pemanduan juga diposisikan pada bahagian konsol tengah dengan saiz yang besar untuk memudahkan pemandu mencapai fungsi yang diinginkan.

 

7. Dua edisi khas turut dilancarkan, 8000 unit sahaja

Toyota Jepun menawarkan dua versi khas Land Cruiser 250 Series, iaitu ZX First Edition dan VX First Edition.

ZX First Edition datang dengan unit lampu LED Bi-Beam berbentuk bulat, rim aluminium 18 inci hitam kusam, serta balutan tayar off-road.

Sementara VX First Edition pula membawakan warna eksklusif Sand di bahagian luar, diikuti warna kemasan Dark Chestnut pada ruang kabin, dan boleh dibezakan dengan kehadiran unit lampu utama standard berbentuk segi empat.

 

8. Bermacam aksesori disediakan

Di Jepun, anda boleh mendapatkan pakej aksesori rasmi daripada pihak ketiga seperti Jaos, Modellista dan Toy Factory untuk dipadankan pada Land Cruiser 250 Series.

Jaos menekankan aspek kelasakan, di mana pihak tersebut menawarkan skid plate, bampar dengan unit lampu LED terbina, penambahan fender lebar, set rim Jaos Tribe Cross 18 inci, serta mudguard.

Modellista pula membawakan pendekatan yang lebih premium, seperti kemasan bampar depan dan belakang yang agresif, fender lebar, liang sisi ala Defender, set rim bersaiz 20 inci dengan balutan tayar all-terrain.

Toy Factory pula membawakan aksesori yang khusus untuk pencinta aktiviti luar, seperti kit katil mudah pasang dan simpan yang terdiri daripada empat unit kusyen dan kerangka kayu.

Toyota sendiri menawarkan pelbagai aksesori termasuklah pemegang botol, bekas sampah, dulang untuk konsol tengah, kotak penyejukan, serta rak bumbung.

 

Toyota Land Cruiser 250 Series


Toyota Land Cruiser 250 Series First Edition


Aksesori Toyota

 

Aksesori JAOS

 

Aksesori Modellista

 

Aksesori Toy Factory

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved