fbpx

Mazda CX-80, SUV tiga baris tempat duduk mendarat di Eropah

mazda-cx-80-2024

Mazda akhirnya melengkapkan penawaran SUV generasi baharu mereka menerusi pelancaran model yang menawarkan susun atur tiga baris tempat duduk – Mazda CX-80.

SUV saiz pertengahan itu merupakan model Mazda yang keempat menggunapakai platform pacuan roda belakang Large Product Group, selepas model CX-60, CX-70 dan CX-90.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Saiz lebih besar berbanding CX-60

 

Tidak seperti model CX-70 (dua baris tempat duduk) dan CX-90 (tiga baris tempat duduk) yang mempunyai persamaan dari segi ukuran dimensi, CX-80 membawakan ukuran yang lebih besar berbanding CX-60.

Mazda CX-80 berukuran lima meter panjang sementara jarak antara roda pula sekitar tiga meter, berbanding CX-60 yang memiliki ukuran dimensi sepanjang 4,745 mm dan jarak antara roda 2,870 mm.

CX-80 boleh dibezakan dengan dimensi pintu penumpang belakang dan kaca tingkap yang lebih panjang, diikuti dengan kemasan krom yang lebih ketara pada bahagian sisi.

 

2. Konfigurasi tiga baris tempat duduk

SUV terbaharu Mazda ini menawarkan susun atur tiga baris tempat duduk, dengan kapasiti penumpang enam hingga tujuh orang pada satu-satu masa.

Pembeli boleh mendapatkan tempat duduk baris kedua yang normal (3 orang), atau boleh memuatkan dua orang yang dilengkapi dengan kerusi kapten serta konsol tengah.

Terdapat juga konfigurasi dua tempat duduk di mana ruang tengah adalah kosong tanpa sebarang kehadiran konsol untuk memudahkan pergerakan ke belakang.

Untuk memaksimumkan ruang kargo, dua tempat duduk baris ketiga boleh dilipat rata.

 

3. Pilihan enjin diesel hibrid ringan, atau PHEV

 

Untuk pasaran Eropah, Mazda CX-80 membawakan spesifikasi rangkaian kuasa yang sama seperti model CX-60, dengan pilihan enjin diesel hibrid ringan atau nadi plug-in hybrid (PHEV).

Versi aras mula didatangkan dengan enjin enam silinder sebaris 3.3 liter diesel berkuasa 251 hp dan 550 Nm, dipadankan dengan sistem hibrid ringan 48V M Hybrid Boost, sistem pacuan semua roda dan transmisi automatik lapan kelajuan.

Versi yang paling bertenaga pula menampilkan nadi PHEV e-Skyactiv, terdiri daripada enjin empat silinder sebaris 2.5 liter, motor elektrik, pek bateri 17.8 kWh, dengan kuasa keseluruhan 323 hp dan 500 Nm.

Mazda CX-80 PHEV mampu menawarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 60 km, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat sahaja.

 

4. Ruang kabin premium

 

Disebabkan ia berkongsi platform yang sama dengan Mazda CX-60, susun atur papan pemuka juga dilihat menyamai apa yang ditawarkan pada model SUV dua baris tempat duduk itu.

Selain penggunaan bahan premium, Mazda CX-80 turut membawakan sistem infohibur canggih yang dilengkapi kawalan suara Alexa, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, skrin kluster digital 12.3 inci, sistem bunyi Bose, serta kehadiran outlet kuasa pada ruang kargo.

 

5. Kapasiti kargo

 

Secara standard, Mazda CX-80 menawarkan ruang sebesar 258 liter, dan boleh mencapai kapasiti sehingga 1,220 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat rata.

Mahukan ruang yang lebih besar?

Lipat sahaja tempat duduk baris kedua, dan anda akan mendapat ruang barangan sebesar 1,971 liter.

 

6. Jualan bermula Mei ini

 

Pra-jualan Mazda CX-80 dijangka akan bermula Mei ini, dan bakal mendarat di pusat pengedar menjelang musim luruh tahun ini.

Mazda juga dijangka akan melancarkan model CX-80 di pasaran Jepun dan Australia menjelang akhir tahun ini.

 

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved