GWM Ora 07 bakal masuk pasaran Malaysia
NAMPAKNYA persaingan antara Tesla Model 3 dan BYD Seal (yang akan dilancarkan tidak lama lagi) bakal menjadi lebih sengit dengan kehadiran pesaing ketiga iaitu Great Wall Motor Ora 07.
Dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, Great Wall Motor Malaysia telah memuat naik satu gambar teaser yang menunjukkan model itu dari sudut belakang, sekali gus menandakan ketibaannya dalam masa terdekat.
Ora 07 merupakan sebuah sedan empat pintu dengan rekaan fastback yang dibina menggunakan platform LEMON yang dibangunkan oleh GWM. Bergantung kepada pasaran, ia juga dikenali sebagai Lightning Cat atau Grand Cat.
Di Thailand, di mana ia telah dilancarkan secara rasmi pada Disember lalu, Ora 07 boleh didapati dalam dua varian iaitu Long Range (1,299,000 baht atau RM172,729) dan Performance (1,499,000 baht atau RM198,804).
Varian Long Range menampilkan motor elektrik tunggal pada gandar hadapan yang menghasilkan 204 PS dan 340 Nm. Ia boleh memecut sehingga 170 km/j dan bateri berkapasiti 83.5 kWj memberikannya jarak pandu sejauh 640 km.
Sementara itu, varian Performance pula mempunyai 408 PS dan 680 Nm yang dibekalkan oleh sepasang motor elektrik. Ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 4.3 saat dan mempunyai kelajuan maksimum 180 km/j. Ia dilengkapi dengan bateri yang sama namun mempunyai jarak pandu yang lebih pendek iaitu 550 km.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.