Le Tour de Langkawi dikeluarkan daripada kalendar antarabangsa – apa cerita ni?


PERLUMBAAN jelajah berbasikal terkemuka negara Le Tour de Langkawi (LTdL) telah dikeluarkan daripada kalendar antarabangsa Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) tahun ini.
Menurut laporan New Straits Times, ini menimbulkan kebimbangan sama ada perlumbaan ikonik akan diadakan atau pun tidak. LTdL dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 30 September depan.
Terdahulu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab berkata beliau bimbang LTdL akan dikeluarkan dari kalendar UCI tahun depan berikutan isu bayaran penampilan dan tiket penerbangan kepada pasukan yang bertanding tahun lalu.
Awal bulan ini, PKBM mendedahkan bahawa lima pasukan telah mengadu kepada UCI selepas mereka tidak menerima bayaran penampilan seperti yang dijanjikan oleh penganjur LTdL sebelum ini. Human Voyage menganjurkan perlumbaan itu pada 2019, 2020 dan 2022.
Isu pembayaran ini menyukarkan LTdL untuk mendapatkan penyertaan WorldTeams untuk acara tahun ini.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh percaya isu LTdL 2023 dikeluarkan daripada kalendar antarabangsa dapat diselesaikan dalam masa beberapa hari ini.
Menurut Hannah, Majlis Sukan Negara (MSN) dan PKBM sedang berbincang dengan UCI untuk menyelesaikan isu itu.
“Naib Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh berkata pihaknya sedang berbincang dengan UCI mengenai cara untuk cari penyelesaian. Tunggu beberapa hari untuk dapat maklumat daripada mereka,” katanya kepada Astro Awani.
Tambah beliau lagi, isu tunggakan pembayaran itu bukan masalah baharu tetapi sudah lama wujud.

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.