Semua kiriman oleh Zulkifli Mhd

Ada pengedar mula terima tempahan CFMoto 450CL-C – bawah RM27k

Walaupun terkenal dengan motosikal sportsbike dan adventure menerusi 450SR dan 800MT namun CFMoto juga menawarkan motosikal gaya cruiser menerusi 450CL-C. 

Difahamkan, motosikal cruiser ini akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi selepas ada pengedar tempatan yang mula menerima tempahan dari pelanggan. 

Menurut hantaran CFMOTO Malaysia by TR Motorworld, 450CL-C ini akan dijual pada harga dari RM25 hingga RM27k. Untuk perbandingan, CFMoto 450SR ditawarkan pada harga RM28,888. 

Bagi pasaran tempatan, 450CL-C secara langsung akan bersaing dengan Honda Rebel 500 yang dijual pada harga sekitar RM33k. 

Atas kertas, CFMoto 450CL-C dipacu enjin dua silinder 450cc yang berupaya menjana 40hp dan 42Nm. Enjin ini telah ditala semula daripada unit sama terdapat pada 450SR agar menghasilkan tork lebih awal pada rev rendah. 

Brembo bakal lancar brek motosikal ‘supersport’, lebih ringan dari Stylema

Brembo merupakan jenama pengeluar brek terkemuka dunia bagi kenderaan empat dan dua roda. 

Terbaru, Brembo bakal melancarkan produk terbaru menerusi Brembo Hypure yang akan memasuki pasaran global tidak lama lagi.

Menariknya, Brembo Hypure merupakan produk yang dibangunkan khas bagi motosikal berkuasa tinggi terutamanya motosikal ‘supersport’ seperti Yamaha R1, Ducati Panigale V4, Honda CBR1000RR dan Kawasaki Ninja ZX-10R. 

“Brek kaliper ini dibangunkan khas untuk jentera berprestasi tinggi terutamanya motosikal supersport.

“Kaliper ini adalah 10 peratus lebih ringan berbanding rujukan utama dalam pasaran (Brembo Stylema) dan berat kurang 900g,” jelas Ketua Pembangunan Teknikal Motosikal Brembo, Cosimo Facibeni.

Ketibaan Hypure telah pun dijangka apabila pengeluar Itali itu mengumumkan produk tersebut ketika di EICMA tahun lalu. 

Menariknya, Brembo turut memberitahu kaliper brek Hypure itu akan turut dipasang secara standard kepada sebuah jentera berprestasi tinggi namun masih belum dinyatakan jenama dan model dimaksudkan.

BMW Motorrad bakal lancar empat model baharu di Malaysia Autoshow 2024

BMW Motorrad Malaysia bakal menggunakan peluang yang ada di Malaysia Autoshow 2024 untuk melancarkan empat motosikal baharu bagi pasaran tempatan.

Berdasarkan ‘teaser’ terbaru, BMW Motorrad Malaysia bakal melancarkan R 1300 GS, F 900 GS, S 1000 XR dan sebuah model elektrik, CE 02. 

Walaupun ‘teaser’ tersebut kurang jelas namun bagi yang kenal, cukup mudah untuk mengecam model yang akan dilancarkan apatah lagi kesemuanya telah pun dilancarkan di pasaran global lebih awal. 

BMW R 1300 GS merupakan generasi terbaru keluarga ‘Gelande Strasse’ dan menampilkan bukan sahaja rekaan malah platform baharu. 

Sementara itu, F 900 GS pula merupakan motosikal dengan keupayaan ‘off-road’ yang serius pernah dibangunkan BMW dan bakal menyaingi Yamaha Tenere, Aprilia Tuareg, Triumph Tiger 900 dan Ducati DesertX. 

Dalam pada itu, BMW S 1000 XR pula akan memeriahkan lagi segmen motosikal ‘sport touring’ di Malaysia yang telah dikemas kini bagi tahun 2024. 

Akhir sekali, BMW CE 02 merupakan motosikal elektrik kedua dari BMW Motorrad Malaysia yang bakal menyerikan lagi pasaran EV disini. 

VMoto lancar dua motosikal elektrik di Malaysia – dari RM20k

Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd (NH EV Tech) telah melancar dua motosikal elektrik untuk pasaran Malaysia menerusi VMoto TCMax dan CPx Pro dengan masing-masing dijual pada harga RM19,900 dan RM25,900. 

Sekali imbas, VMoto TCMax menampilkan gaya ala ‘cafe racer’ dengan lampu LED bulat di hadapan. Trenkuasa pula hadir menerusi motor elektrik yang menjana 5.1kW/6.8hp dan 160Nm. Motosikal ini dikuasakan bateri lithium polimer 72V 45 Ah 3.24 kWh. 

Menurut NH EV Tech, TCMax memerlukan masa 4.5 jam untuk cas penuh (dari kosong) menggunakan sumber AC yang dibekalkan bersama. 

VMoto mendakwa TCMax boleh mencapai kelajuan sehingga 95km/j dan boleh berjalan sejauh 130km dengan setiap cas penuh. 

Antara ciri ditawarkan:

  • rim 17-inci
  • cakera brek depan dan belakang
  • sistem CBS (combine braking system)
  • meter analog dan LCD

Sementara itu, VMoto CPx Pro pula merupakan sebuah skuter elektrik yang memuatkan dua bateri 60V 45Ah yang boleh dialihkan.  Susulan penggunaan bateri yang lebih besar, CPx Pro ini boleh bergerak sejauh 220km. Cas penuh pula memakan masa sekitar 3.5jam. 

CPx Pro ini dikuasakan motor elektrik yang menjana 8kW/10.7hp dan 258Nm dan mampu merekodkan kelajuan sehingga 105km/j.  Menariknya, skuter ini juga ada fungsi ‘reverse’ bagi memudahkan pengguna.

Kongres Amerika Syarikat mahu haramkan DJI

Awal tahun ini, Amerika Syarikat telah pun meluluskan rang undang-undang untuk mengharamkan aplikasi media sosial TikTok di negara itu susulan mendakwa aplikasi tersebut berkait dengan kerajaan China. 

Terbaru, Amerika Syarikat bercadang untuk turut mengharamkan pengeluar dron dan ‘action camera’ DJI. 

Menurut laporan Digital Trends, kongres Amerika Syarikat mendakwa terdapat isu sekuriti pada perisian DJI yang membolehkan data pengguna diakses dan dimasukkan ‘malware’ sekaligus mengancam keselamatan rakyat negara itu. 

Kongres menuduh DJI sebagai kontraktor tentera bagi kerajaan China dan berisiko menggunakan kelengkapan DJI sebagai medium intipan. 

DJI menyelar dakwaan AS dan berkata, “pengamal undang-undang yang membawa perundangan ini terus menerus membuat rujukan yang tidak tepat dan tidak berasas berkenaan dengan operasi DJI di samping mengamalkan xenofobia demi menyokong pengeluar dron tempatan dan menghapuskan pesaingan.” 

Produk DJI sememangnya sinonim dengan dunia automotif yang bergantung pada kelengkapan seperti dron dan ‘action camera’ untuk membuat rakaman.

Jentera Ducati MotoGP Troy Bayliss untuk dijual di UK – RM2.08 juta

Bike Specialist di Sheffield, United Kingdom sedang menjual jentera Ducati MotoGP yang pernah ditunggang Troy Bayliss pada musim 2003

.

Jentera Desmosedici GP3 989cc itu – yang dikendalikan Bayliss dan Loris Capirossi – merupakan mesin yang ikonik kerana menandakan kembalinya Ducati pada kelas premier perlumbaan GP selepas 30 tahun. 

“Jentera Desmosedici yang kami tawarkan adalah model GP3TB1 (yang merujuk kepada tahun 2003),” jelas Bike Specialist. 

Pada musim 2003, Ducati mendakwa jentera GP3 ini menawarkan lebih 200hp pada 16,000rpm dan mampu mencapai kelajuan lebih 320km/j dengan berat hanya 145kg. 

Menurut Bike Specialist, jentera Ducati MotoGP ini dibuka untuk jualan dengan harga GBP350,000 (RM2.08j). 

Ducati ‘We Ride As One’ berjaya kumpul 300 pemilik Ducati di Malaysia

Program We Ride As One anjuran Ducati bagi tahun 2024 berlangsung meriah dengan lebih 300 pemilik Ducati berjaya dikumpulkan. 

Acara bermula di Ducati Sungai Buloh sebagai venue permulaan yang menyaksikan pemilik pelbagai motosikal Ducati termasuk Panigale, Mutlistrada, Hypermotard, Monster dan Ducati Scrambler berkumpul.

Peserta memulakan perjalanan dari Ducati Sungai Buloh ke Putrajaya Lake Club pada Sabtu dan menyelusuri laluan dan landskap yang indah. 

Seramai 300 motosikal terlebih berkonvoi ke tiga lokasi utama yang merangkumi Jambatan Seri Gemilang, Jambatan Seri Saujana sebelum berakhir di Kelab Tasik Putrajaya di mana kesemua Ducatisti berpeluang meramah mesra dan menikmati makan tengah hari. 

Harley-Davidson CVO Road Glide ST untuk pasaran Malaysia habis dijual – RM346,900

Didi Group selaku pengedar rasmi jenama Harley-Davidson di Malaysia telah melancarkan barisan model American Touring untuk pasaran tempatan menerusi CVO Road Glide ST, Road Glide dan Street Glide 2024. 

Menariknya, hanya empat unit (dari 150 unit seluruh dunia) Harley-Davidson CVO Road Glide ST ditawarkan untuk pasaran tempatan dengan harga jualan RM346,900. Lebih mengejutkan kesemua empat unit itu telah pun habis dijual. 

Model edisi terhad itu diinspirasikan jentera pasukan Screaming Eagle yang beraksi di kejuaraan King of the Baggers di Amerika Syarikat. 

Untuk rekod, CVO Street Glide ST ini dikuasakan enjin Milwaukee Eight 121 HO (High Output) yang berupaya menjana 126hp dan 193Nm. 

Motosikal ini juga tampil unik dengan menawarkan gabungan warna Graphic Flow State dan CVO 25th Anniversary. Selain itu, CVO Road Glide ST ini turut dilengkapi dengan ekzos Screamin Ealge Extreme Flow Titanium dan hadir dengan tujuh mod menunggang termasuk mod Track dan Track Plus. 

Pakej elektronik juga cukup premium dan menawarkan fungsi ‘chassis control’, brek elektronik dan ‘traction control’. 

Pada masa sama, CVO Road Glide ST ini juga lebih menonjol dengan penggunaan komponen gentian karbon dan sistem audio dari Rockford Fostgate Stage 2 yang menawarkan 4-saluran dan amplifier 500W RMS. 

 

Benda LFC700 bakal buat penampilan di Malaysia Autoshow 2024

MForce Bike Holdings bakal mempamerkan lebih 100 motosikal baharu di Malaysia Autoshow 2024 yang dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 26 Mei ini bertempat di MAEPS, Serdang. 

Menariknya, kesemua model berkenaan terdiri dari model sedia ada, model baharu dan model akan datang yang akan dipasarkan disini. 

Antara yang akan dipamerkan termasuk Benda LFC700 sebuah cuiser gaya futuristik yang telah pun dilancarkan di China pada 2021. 

Atas kertas, LFC 700 merupakan motosikal segmen sport cruiser yang tampil dengan dua varian, dengan standard menawarkan 84.5hp pada 10,000 rpm manakala model premium (High Power) hadir dengan 92.5hp pada 11,000rpm.

Maklumat lebih terperinci akan didedahkan di Malaysia Autoshow 2024. 

MotoGP: Masih tiada peningkatan – Fabio Quartararo

Walaupun Yamaha mencuba pakej aero baharu di Jerez namun pelumba utama, Fabio Quartararo merasakan percubaan itu tidak membawa impak besar. 

Quartararo menyifatkan aero baharu itu – yang menampilkan tiga panel sayap berbanding dua sebelum ini – sebagai ‘neutral’. 

Namun, pelumba Perancis itu berpendapat hanya casis yang diuji di Jerez membawa perbezaan besar berbanding komponen lain. 

Bagaimanapun, rakan sepasukan, Alex Rins berpendapat sebaliknya.

“Saya tidak gemar dengan casis baharu itu kerana saya di selekoh saya tidak rasa sebarang peningkatan,” jelasnya. 

Alex Rins SPA
Monster Energy Yamaha MotoGP Team
Yamaha
MotoGP
Test Spain 2024 (Circuit Jerez) 29.04.2024
photo: Lukasz Swiderek

www.photoPSP.com

@photopsp_lukasz_swiderek

Untuk rekod, catatan masa Quartararo pada 2022 di Jerez jauh lebih baik berbanding catatan pada Ahad. 

“Kami sedang menganalisis segalanya dan berharap dapat melakukan sesuatu untuk kembali mendapatkan rentak seperti 2022,” ujar Quartararo. 

QJMotor lancar MTX150 untuk pasaran global 

QJMotor memperkembangkan tawaran motosikal di pasaran global menerusi skuter kompak, MTX 150.

Untuk rekod, MTX 150 merupakan skuter terbaru dari QJMotor yang bakal menembusi pasaran global setelah versi 125cc berjaya menempah nama di Eropah. 

Mengekalkan reka bentuk yang sama seperti varian 125cc, MTX150 ini dikuasakan enjin 150cc satu silinder yang berupaya menjana 15.8hp dan 13.7Nm. 

Selain itu, antara kelengkapan lain turut ditawarkan termasuk cakera brek tunggal depan dan belakang, pencahayaan LED penuh, panel meter digital, penyerap hentak berkembar di belakang serta tangki bahan api berkapsiti 8L. 

Menariknya, daya tarikan utama MTX150 adalah penggunaan sistem hibrid yang menyumbang kepada tahap pembakaran yang lebih efisien dan mampun mencapai 2.2L/100km atau 45km/liter. 

Buat masa ini belum ada desas-desus sama ada model ini akan turut dilancarkan di Malaysia. 

Bajaj bakal lancar Pulsar NS400 bulan Mei ini

Pengeluar motosikal ketiga terbesar di dunia, Bajaj Auto bakal memperkembangan tawaran model Pulsar di pasaran global apabila bakal melancarkan Pulsar NS400 pada 3 Mei ini. 

Pengumuman tersebut dibuat berdasarkan hantaran terbaru yang dimuat naik di media sosial. 

Walaupun tidak mendedahkan rupa jelas Pulsar NS400 tersebut namun apa yang pasti model baharu itu akan dikuasakan enjin 400cc sama yang terdapat pada Dominar 400. 

Hasilnya, unit satu silinder 373.3cc itu akan menawarkan 39hp dan 35Nm  seperti yang ditawarkan Dominar 400. 

Buat masa ini, maklumat lebih terperinci masih belum diketahui namun semuanya dijangka akan terjawab pada 3 Mei nanti. 

Arc Motorcycle umum jatuh bankrap

Walaupun Arc Motorcycle berjaya menjadi topik perbualan ramai dalam tempoh dua tahun ini terutamanya menerusi motosikal elektrik Vector namun senario itu tak cukup untuk menyelamatkan jenama tersebut dari kecundang. 

Terbaru, Arc Motorcycles telah pun memfailkan muflis setelah gagal menyelesaikan masalah pengedaran di Amerika Syarikat sekaligus memberi impak pada aliran pendapatan. 

Arc Motorcycle menerusi pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mark Truman kemudian terpaksa mencari pelaburan baharu untuk terus beroperasi namun gagal. 

“Pada awalnya segala berjalan dengan baik namun isu pengedaran di AS benar-benar memberi kesan dan memaksa kami mencari pelaburan baharu. 

“Kami telah lakukan segala yang termampu termasuk melaburkan duit saya dan isteri untuk menghalang perkara ini dari berlaku,” jelasnya. 

Pada masa sama, penjualan motosikal juga tidak membantu apatah lagi model utama sepert Arc Vector dijual pada harga USD120,000 (RM576k). Harga tersebut meletakkan Arc Vector sebagai motosikal elektrik yang ditujukan khas untuk golongan mewah sahaja. 

Untuk rekod, Arc Motorcycles berjaya jual 11 unit Arc Vector dengan kesemuanya dibeli pelanggan berprofil tinggi (salah satunya bintang Deadpool, Ryan Reynolds). 

Zonsen ZS150 didedahkan di China 

Jenama motosikal China, Zonsen, muncul antara pengeluar yang sibuk tahun 2024. 

Ketika Zonsen Motorcycle Global Dealers Conference 2024 yang berlangsung hujung minggu lalu, Zonsen telah mendedahkan beberapa model baharu yang akan diperkenalkan di pasaran global. 

Antara model yang mencuri tumpuan adalah Zonsen ZS150 dan ZS150 B yang merupakan motosikal berkonsepkan ‘minimoto’ yang akan bersaing dengan Honda Monkey 125 dan CFMOTO Papio 150. 

Kedua-dua model berkenaan menampilkan enjin satu silinder 150cc yang berupaya menjana 10.5hp dan rim 12-inci yang dipadankan bersama tayar 120/70 depan dan 130/70 belakang. 

Kelengkapan lain ditawarkan termasuk fork depan jenis USD (upside/down), penyerap hentak tunggal belakang dan cakera brek depan dan belakang yang dipadankan bersama ABS. 

Perbezaan utama antara ZS150 dan ZS150 B adalah reka bentuk dengan ZS150 B menampilkan gaya retro klasik dengan penggunaan panel badan yang lebih menonjol sementara ZS150 pula lebih terdedah dan mirip pengayaan Honda Monkey 125. 

Selain itu, ZS150 B dilengkapi tempat duduk tunggal sementara ZS150 boleh menempatkan pembonceng. 

Bagi pasaran Malaysia, Zonsen dipasarkan menerusi MForce Bike Holdings namun buat masa ini belum ada berita sama ada kedua-dua model ini akan turut dipasarkan disini. 

Kastam rampas tiga unit Yamaha RX-Z seludup di Kelantan

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan telah merampas tiga motosikal jenis Yamaha RX-Z terpakai yang telah diseludup dari negara jiran. 

JKDM Kelantan turut merampas enam kenderaan klon bersama dua motosikal berkuasa tinggi jenis Honda CB400 dan Yamaha TDC. 

Menurut Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abudl Salam Wan Long, jumlah rampasan (termasuk cukai) dianggarkan berjumlah hampir RM600,000. 

“Antara kenderaan yang dirampas ialah Nissan Teana, BMW Z4 2.5I, Nissan Serena, Honda Jaz Fit, Toyota Vellfire, Honda Odyssey.

“Turut dirampas adalah motosikal Honda CB400, Yamaha TDC selain daripada RX-Z,” ujarnya. 

Wan Jamal turut mendedahkan modus operandi yang diguna pakai adalah membawa masuk kenderaan berkenaan secara persendirian atau menerusi sindiket yang bertapak di sempadan. 

“Bagi tiga RX-Z terpakai pula, ia diseludup melalui pangkalan haram di Sungai Golok menggunakan sampan dan dijual kepada pembeli tempatan dengan harga sekitar RM7,000 hingga RM8,000 seunit,” tambahnya. 

LETEN 190 pendatang baharu segmen kapcai ‘adventure’

Jenama baharu dari China, LETEN, telah melancarkan model terbaru berupa sebuah kapcai dengan gaya ‘adventure’ menerusi LETEN 190 di negara itu. 

Sekali imbas, LETEN 190 ini jelas mengambil inspirasi dari Honda CT125 Hunter Cub dan beberapa model lain termasuk Yamaha PG-1. 

Berbanding CT125 dan PG-1 yang masing-masing dikuasakan enjin 125cc dan 115cc, LETEN 190 ini hadir dengan platform lebih besar.

LETEN 190 ini dipacu enjin satu silinder 190cc 4-valve DOHC dengan sistem penyejukan air yang menjana 20.1hp pada 8,250rpm dan 18Nm pada 6,250rpm. 

Kelengkapan ditawarkan juga agak mengagumkan termasuk tangki bahan api berkapasiti 10L, lampu LED penuh, ABS dwi-saluran, TPMS (sistem pemantauan tekanan tayar) dan traction control. 

Atas kertas, LETEN 190 ini mampu mencapai kelajuan 120km/j dan menawarkan penggunaan bahan api 2.3L/100km. 

Polis KLIA bakal guna ‘e-scooter’ untuk rondaan

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkhidmat di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan mengguna pakai skuter elektrik (e-scooter) tidak lama lagi. 

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, penggunaan ‘e-scooter’ berkenaan akan membantu polis melakukan rondaan dengan lebih efisien. 

“Dengan ‘e-scooter’, kami boleh memberi respon dengan lebih cepat selain lebih banyak tempat dapat di awasi, jelasnya. 

Difahamkan, penggunaan ‘e-scooter’ tersebut telah pun dirancang awal tahun ini dengan kerajaan Selangor bersetuju untuk membuat pembelian. 

Dalam pada itu, Datuk Hussein Omar Khan turut menjelaskan bahawa kawalan di Terminal 1 akan diperketatkan susulan daripada insiden tembak yang berlaku baru-baru ini. 

“Kami akan perketatkan tahap kawalan dan sekuriti. 

“Laluan bahagian dalam yang dekat dengan pintu Ketibaan dan Pelepasan juga akan ditutup kepada orang ramai kerana sangat berisiko,” tambahnya. 

MotoGP: Lin Jarvis tinggalkan Yamaha 

Pengendali pasukan Yamaha di Kejuaraan Dunia MotoGP, Lin Jarvis akan meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim ini. 

Memetik laporan Autosport, Jarvis akan bersara pada hujung musim 2024 sekaligus menamatkan karier 25 tahun selaku Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing. 

Difahamkan, Jarvis memberitahu Autosport bahawa punca utama dia mahu bersara adalah kepenatan mengembara ke serata dunia bagi Kejuaraan Dunia MotoGP. Musim ini sahaja, Jarvis akan terbang ke 21 destinasi berbeza termasuk ke Litar Antarabangsa Sepang sempena MotoGP Malaysia. 

Walaupun berita ini mengejutkan apatah lagi Yamaha baru sahaja mengikat pelumba tonggak, Fabio Quartararo untuk tempoh dua tahun lagi namun Yamaha dijangka mencari pengganti sesuai untuk meneruskan cabaran pasukan itu di MotoGP. 

Menurut Autosport, Yamaha berkenan melantik Paolo Pavessio yang ketika ini menggalas tugas Pengarah Pemasaran Yamaha Motor Racing. 

Op Rempit: Tiada brek belakang, JPJ Pulau Pinang sita 11 motosikal 

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang telah mengeluarkan 197 saman terhadap penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan menerusi operasi khas Op Rempit yang dilaksanakan di Plaza Tol Sungai Dua dan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada Ahad. 

Menurut JPJ Pulau Pinang, operasi khas itu telah dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dan Jabatan Alam Sekitar (JAS). 

Operasi yang bertujuan mencegah kegiatan lumba haram dan modifikasi haram itu turut menyaksikan sebanyak 11 motosikal telah disita. 

“JPJ Pulau Pinang mengeluarkan 197 notis saman dan menyita 11 motosikal. JSPT Bukit Aman mengeluarkan 34 saman dan lima kompaun manakala JAS pula 18 notis uji semula,” maklum JPJ Pulau Pinang berdasarkan hantaran di akaun rasmi di Facebook. 

Antara kesalahan dikesan termasuk penggunaan tayar sotong, ketiadaan brek belakang, tidak mempamer nombor plat dan mengubah suai ekzos. 

Dalam pada itu, kesalahan lain yang turut dikenal pasti termasuk menunggang tanpa lesen serta lesen kenderaan motor tamat tempoh. 

Ducati perbaharui kerjasama teknikal dengan Shell

Ducati telah memperbaharui kerjasama teknikal dengan Shell sekaligus meneruskan kerjasama dalam penggunaan minyak pelincir. 

Menurut Ducati dalam satu kenyataan, kerjasama itu akan diteruskan untuk tempoh tiga tahun lagi. 

Untuk rekod, kerjasama antara Ducati dan Shell telah pun termeterai sejak 1999 di Kejuaraan Dunia Superbike sebelum dikembangkan ke MotoGP apabila Ducati menyertai kelas utama pada 2003. 

Pembaharuan ini menyaksikan Shell kekal sebagai pembekal minyak pelincir kepada fasiliti pengeluaran Ducati di Itali dan Thailand termasuk membekal kepada jaringan pengedar di seluruh dunia. 

Difahamkan, Shell akan membekalkan pengedar dengan minyak enjin Advance Ducati dan produk terbaru, Ducati Corse Performance Oil oleh Shell Advance. 

Ducati Corse Performance Oil merupakan minyak enjin dibangunkan khas untuk enjin Desmosedici Stradale R yang terdapat pada jentera Panigale V4, Streetfighter V4 dan Multistrada V4 RS.