Semua kiriman oleh Hans

Wartawan yang masih menabung demi sebuah Aventador

Insiden rempuhan bawah jejambat, PDRM kongsi tips elak kemalangan

INSIDEN kemalangan membabitkan penunggang motosikal ketika berteduh di bawah jambatan sewaktu hujan mendapat perhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman berkata, kemalangan dapat dielak jika penunggang motosikal lebih berhati-hati.

Jelas Datuk Mat Kasim Karim, antara langkah boleh diambil termasuk berdiri di bahagian dalam besi penghadang jalan bagi mengelak sebarang risiko.

Selain itu, penunggang motosikal juga perlu mengelak daripada duduk di atas kenderaan selain tidak berada berhampiran dengan jalan raya.

Mat Kasim berkata demikian bagi mengulas insiden kemalangan membabitkan sekumpulan penunggang motosikal di Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

Insiden terbabit berlaku apabila sekumpulan penunggang motosikal berteduh di bawah jambatan semasa hujan dirempuh sebuah lori dipercayai hilang kawalan.

Dua penunggang motosikal dilaporkan meninggal dunia dan tujuh lagi mengalami kecederaan.

Pemandu lori terbabit kini ditahan polis dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Hujan lebat lebih dua jam, beberapa kawasan di Lembah Klang banjir

HUJAN lebat menyaksikan beberapa kawasan sekitar Lembah Klang dilanda banjir sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Pemerhatian di ibu negara mendapati Jalan Loke Yew, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tun Razak, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak, Jalan Pudu, Jalan Ampang dan Jalan Cheras antara terjejas.

Banjir sekitar kawasan Kuchai Lama, Kuala Lumpur. – Foto ihsan Facebook/Hisham Din

Selain itu, beberapa lebuh raya turut dinaiki air antaranya Besraya Expressway.

Memetik kenyataan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di media sosial, terdapat beberapa kawasan di sepanjang laluan Besraya Expressway telah dinaiki air.

Selain itu, Lebuhraya Kesas turut terkesan sehingga menyebabkan empat lorong terhalang di Plaza Tol Awan Besar arah Barat.

Pada masa sama, hanya satu lorong sahaja boleh dilalui di KM48.3 arah Timur menuju ke persimpangan SUKOM.

Orang ramai dinasihati berhati-hati ketika melalui kawasan banjir atau menggunakan jalan alternatif untuk ke destinasi masing-masing.

Hujung tahun lalu, beberapa kawasan sekitar Lembah Klang teruk terjejas akibat banjir.

Antara kawasan terjejas adalah di Shah Alam, Klang dan beberapa kawasan lain yang menyaksikan kerosakan harta benda termasuk rumah dan kenderaan.

Masalah logistik angkara Rusia – Ukraine, Michelin tutup kilang di Eropah

MICHELIN Group bakal menghentikan pengeluaran di beberapa kilang seluruh Eropah susulan masalah logistik dan pengangkutan.

Memetik laporan The Wall Street Journal, masalah berpunca daripada krisis Rusia – Ukraine yang masih belum menunjukkan tanda bakal reda.

Syarikat pengeluar tayar terkemuka dunia itu setakat ini masih belum mengumumkan tempoh pemberhentian pengeluaran terbabit.

Krisis Rusia – Ukraine telah menyaksikan banyak syarikat terkesan termasuk beberapa jenama besar automotif seperti Mitsubishi, Toyota dan banyak lagi.

Terdahulu,   berjanji akan terus memberikan perkhidmatan terbaik buat para pelanggan dan cuba mengurangkan kesan negatif terhadap mutu pemgeluarannya.

Sementara itu, pihak syarikat juga berjanji tidak mengabaikan kebajikan pekerja yang terjejas selain mengikut peraturan tempatan.

Sebelum ini, krisis Rusia – Ukraine memberi impak besar kepada ekonomi global termasuk peningkatan harga bahan api mentah.

Hal ini memberi kebimbangan kepada seluruh masyrakat dunia termasuk di Malaysia yang bimbang berlaku kenaikan harga barang.

SDAC-Ford, SpareXHub tawar penjimatan hebat alat ganti lama Ford

PENGEDAR tunggal Ford di Malaysia iaitu Sime Darby Auto Connexion (SDAC) menjalin kerjasama dengan platfrom e-dagang SpareXHub.

Kerjasama menyaksikan pengguna bakal menikmati penjimatan hebat bagi alat ganti stok lama terpilih bermula serendah 64 peratus sehingga 31 Mac ini.

Pengarah Urusan Sime Darby Auto ConneXion-Ford berkata, gandingan bersama SpareXHub penting bagi memudahkan pelanggan mendapatkan alat ganti.

Jelas Turse Zuhair, apa yang lebih penting para pelanggan juga menerima penjimatan berganda.

“Gandingan bersama SpareXHub ini memberikan platform kepada pelanggan untuk mendapatkan alat ganti tulen stok lama Ford.

“Mereka kini boleh merasa lega mengetahui kenderaan mereka boleh diselenggara dengan alat ganti pengeluar tulen walaupun tempoh waranti telah tamat,” katanya.

Untuk maklumat lanjut tentang produk serta harga yang ditawarkan sila layari www.sparexhub.com ikuti Facebook SpareXHub.

Maklumat juga boleh diperoleh menerusi akaun SDAC Ford di Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube atau layari www.sdacford.com.my.

Beli Nissan bulan Mac, rebut peluang menangi Boost Stars

ORANG ramai berpeluang memenangi jutaan Boost Stars melalui kempen “March Deal Boosters” apabila membeli kenderaan Nissan pada bulan ini.

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) berkata, Boost Stars boleh dikumpulkan melalui transaksi menggunakan aplikasi Boost.

Foto oleh Nissan

Pelanggan kemudian boleh menebus ganjaran daripada katalog BoostUP dalam tempoh kempen bermula 1 hingga 31 Mac ini.

“Sehingga 20 juta Boost Stars akan diberikan semasa tempoh kempen mulai 1 hingga 31 Mac 2022.

“Pelanggan yang menang akan dapat menggunakan bintang-bintang ini untuk memilih ganjaran pilihan mereka dari katalog BoostUP.

“Kami berharap rakyat Malaysia akan menggunakan peluang ini untuk membeli kenderaan Nissan yang baharu sementara masih terdapat pengecualian cukai jualan,” kata ETCM.

Antara model Nissan yang boleh mendapat Boost Stars adalah Nissan Almera 1.0L Turbo, Nissan Navara 2.5L Turbo 4WD, Nissan X-Trail dan Nissan Serena S-Hybrid.

Pakej aksesori dan perkhidmatan penyelenggaraan percuma juga ditawarkan kepada pelanggan untuk nilai wang lebih baik.

ETCM merupakan anak syarikat milik penuh Tan Chong Motor Holdings Bhd.

Syarikat itu memberi fokus kepada bahagian jualan dan pemasaran kenderaan Nissan di Malaysia.

Krisis Rusia – Ukraine: Minyak mentah Brent cecah paras tertinggi

PENANDA aras minyak mentah melonjak berikutan masalah bekalan, potensi gangguan perdagangan dan isu perkapalan akibat sekatan ke atas Rusia.

Niaga hadapan minyak mentah Brent meneruskan pergerakan rancak tanpa henti, melonjak 3.62 peratus kepada US$117 setong.

Minyak mentah West Texas Intermediate pula meningkat 3.44 peratus kepada US$114.40 setong.

Terdahulu, niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat setinggi US$118.22 setong sekaligus menjadikan ia tertinggi sejak Februari 2013.

Memetik laporan Bernama, pasaran bertindak balas terhadap pusingan terbaru sekatan Amerika Syarikat ke atas sektor penapisan Rusia.

Ia membawa kepada kebimbangan bahawa sekatan eksport boleh beralih kepada sektor minyak dan gas Rusia.

Untuk rekod, Rusia menyumbang kira-kira 10 peratus daripada bekalan minyak global.

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa, Rusia merupakan pengeluar minyak ketiga dunia dan pengeksport minyak terbesar ke pasaran global.

Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) termasuk Rusia mengambil keputusan mengekalkan pertambahan dalam pengeluaran sebanyak 400,000 tong sehari pada Mac.

Tiada lagi Mitsubishi di Rusia, pasaran automotif mulai terjejas?

RUSIA terus berdepan tekanan susulan tindakan menyerang negara jiran, Ukraine.

Terbaharu, industri automotif Rusia pula menerima ‘tamparan’ hebat selepas sebuah syarikat pengeluaran kenderaan dari Jepun memberi bayangan menghentikan pengeluaran di negara itu.

Mitsubishi Motors seperti dilapor Reuters berkata, syarikat itu bukan sahaja bakal menghentikan pengeluaran malah, menghentikan jualan kenderaan di Rusia.

Salah sebuah keluaran Mitsubishi yang terbaharu iaitu model Xpander. – Foto ihsan Mitsubishi

Ia berikutan langkah sekatan ekonomi dikenakan oleh beberapa kuasa besar termasuk Jepun yang mengutuk pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. 

Sejak dua minggu lalu, ketegangan mula memuncak selepas Rusia mengarahkan tenteranya menceroboh Ukraine.

Tindakan Rusia terus dikecam majoriti negara Eropah yang menggesa serangan bersenjata dihentikan segera.

Sementara itu, konflik bukan sahaja menyaksikan kehilangan nyawa orang awam tetapi turut melibatkan kerosakan infrastruktur dan harta benda.

Antonov AN-225. Foto ihsan Wikipedia

Media melaporkan pesawat terbesar di dunia, Antonov AN-225 turut musnah dibedil tentera Rusia.

Insiden itu menyebabkan ramai pihak mengkritik tindakan Rusia yang secara tidak langsung menghapuskan identiti Antonov sebagai pesawat terbesar dibina sejak 1988.

Pengeluaran Toyota terjejas, ada kaitan dengan perang Rusia – Ukraine?

TOYOTA Motor Corp berpusat di Tokyo mengesahkan sistem perisiannya berdepan ancaman virus dipercayai angkara serangan siber.

Memetik laporan Rueters, keadaan tersebut menjejaskan pengeluaran kenderaan syarikat itu bagi pasaran tempatan.

Kojima Industries Corp yang merupakan rakan dagang Toyota berkata, serangan virus turut menyebabkan gangguan komunikasi di antara syarikat itu dengan para pembekal lain.

Susulan serangan siber, Toyota telah membuat aduan kepada pihak berkuasa bagi menyiasat insiden terbabit.

Terdahulu, wujud dakwaan bahawa serangan siber dihadapi Toyota mempunyai kaitan dengan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Hal ini kerana serangan berlaku sejurus kerajaan Jepun memberi sokongan kepada pihak menentang tindakan Rusia di Ukraine.

Bagaimanapun, tiada pengesahan rasmi daripada pihak berwajib mengenai dakwaan tersebut.

Serangan siber dihadapi Toyota telah menjejaskan pengeluaran lebih 13,000 unit kenderaan bagi pasaran Jepun.

Setakat ini, tiada laporan melibatkan gangguan fasiliti perisian Toyota di negara lain termasuk Malaysia.

Insentif pengecualian cukai jualan kereta tinggal empat bulan sebelum tamat

TINGGAL kurang empat bulan untuk rakyat negara ini menikmati insentif pengecualian cukai jualan kereta bagi pembelian keluaran tempatan atau import sedan.

Perkara itu diumumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, hari ini.

Jelasnya, Kementerian Kewangan, menerusi Bajet 2022 telah melanjutkan tempoh insentif pengecualian cukai jualan kereta sehingga 30 Jun, 2022.

Ia bagi menggalakkan pemilikan kereta, merangsangkan pertumbuhan ekonomi tempatan dan memacu momentum perkembangan sektor automotif.

“Pengecualian cukai jualan kereta kekal seperti mana sebelum ini iaitu pengecualian cukai jualan 100 peratus ke atas kereta penumpang pemasangan tempatan (CKD).

“Manakala, pengecualian cukai jualan sebanyak 50 peratus diberikan ke atas kenderaan penumpang pemasangan luar negara (CBU).

“(Ia) termasuk MPV (kenderaan pelbagai guna) dan SUV (kenderaan utiliti sukan) merangkumi CBU import baharu dan CBU import terpakai,” katanya.

Tengku Zafrul berkata berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-86.

Tukar van lama jadi kenderaan camping, berbaloi ke tidak?

KENDERAAN bukan sahaja merupakan ‘alat’ membawa manusia dari satu lokasi ke lokasi lain malah, kini ia menjadi semakin ‘kompleks’.

Istilah ‘kompleks’ bukanlah bermaksud ia menyukarkan manusia tetapi fungsinya saban hari semakin berubah.

Ini kerana ramai mula menjadikan kenderaan sebagai sebahagian daripada aktiviti masa lapang atau hobi.

Di Malaysia, hobi menukar van lama sebagai kenderaan camping semakin mendapat sambutan memberansangkan.

Terdapat sebilangan individu sanggup membelanjakan sejumlah wang untuk merealisasikan hobi menukar van lama sebagai kenderaan camping.

Persoalannya, berapa mahalkah hobi ini?

Menjawab persoalan ini, Engear sempat menjalankan pencarian di media sosial untuk mengetahui harga van lama yang boleh didapati di pasaran.

Van lama harga bawah RM10,000

Setakat ini, Engear menemui sebuah Ford Econovan tahun 1992 yang dijual pada harga RM3,999.

Walaupun kondisinya tidak begitu cemerlang tetapi van ini amat sesuai untuk dijadikan sebagai kenderaan camping.

Model ini juga amat lasak dan sesuai untuk dibawa ke kawasan luar bandar.

Selain itu, Engear turut menemui sebuah model Toyota LiteAce tahun 1991 dengan enjin 1.5cc.

Model Toyota LiteAce. – Foto ihsan Wikipedia

Harga yang ditawarkan adalah sekitar RM5,500 dan sudah pasti amat berbaloi untuk dimiliki jika kondisinya masih cemerlang.

Sementara itu, Malaysia juga patut berbangga dengan sebuah van keluaran Perodua yang satu ketika dahulu amat popular.

Model yang dimaksudkan adalah Perodua Rusa yang amat cemerlang dari segi ketahanan.

Sebuah van Perodua Rusa tahun 1996 boleh dibeli pada harga RM8,800 dan kos ini tidak termasuk proses penukaran ia sebagai kenderaan camping.

Perodua Rusa. – Foto ihsan Wikipedia

Terakhir, Engear menemui sebuah van Kia Pregio berharga RM10,000.

Apa yang menarik adalah van ini dikeluarkan pada tahun 2013 dan paling penting, saiznya yang besar. Maka, ia amat sesuai sekali untuk dijadikan sabagai camping van.

Kesimpulannya, jika anda berminat dengan kenderaan camping tidak mustahil untuk mencubanya.

Soal harga bukan penghalang utama kerana apa yang penting adalah, “hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih.”

Ingin tahu lebih lanjut mengenai van berbaloi untuk dijadikan kenderaan camping, saksikan video telah disediakan.

Chiow!

Insiden Felicity Ace, Lamborghini terpaksa produksi semula Aventador?

LAMBORGHINI berkemungkinan terpaksa membuka kembali barisan produksi model Aventador.

Ia susulan kebakaran kapal Felicity Ace yang membawa model tersebut untuk dipasarkan di Amerika Syarikat.

Memetik laporan media, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lamborghini Amerika Andrea Baldi bagaimanapun masih belum mengesahkan jumlah keseluruhan kerugian dialami.

Sebelum ini, Lamborghini mengesahkan tidak lagi akan memproduksikan model Aventador.

Kesemua unit Aventador dikatakan habis terjual dan akan digantikan dengan model baharu.

“Ketika ini kami masih tiada maklumat lanjut dan harus berdepan dengan apa jua masalah.

“Semua unit Aventador telah habis terjual dan terdapat kemungkinan sebilangan kecil pelanggan mahukan model pengganti.

“Namun, kami berharap sekurang-kurangnya beberapa unit Aventador di atas kapal itu terselamat daripada sebarang kerosakan,” katanya.

Kelihatan Felicity Ace sedang terbakar dengan dilitupi asap tebal. – Foto ihsan Business Insider

Kapal Felicity Ace dilaporkan terbakar ketika berlayar ke Davisville, Rhode Island selepas berlepas dari pelabuhan Emden, Jerman.

Bagaimanapun, kesemua anak kapal dalam keadaan selamat selepas diselamatkan sebuah kapal tangki dan anggota keselamatan Portugal.

Felicity Ace turut dikhabarkan hanyut di lautan Atlantik memandangkan tiada sebarang kru mengemudi kapal berkenaan.

Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Puspakom umum jadual perkhidmatan unit bergerak bagi Mac

Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) telah mengeluarkan jadual perkhidmatan unit bergeraknya bagi bulan Mac.

Menerusi poster dikeluarkan, unit berkenaan akan berada di beberapa negeri termasuk Perak, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Selain negeri di Semenanjung Malaysia, beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak juga bakal menerima perkhidmatan unit bergerak Puspakom.

Antara kawasan berada dalam senarai Puspakom termasuk Ranau, Kudat, Kota Belud, Kunak, Kapit, Limbang dan Marudi.

Perkhidmatan bergerak ini bertujuan memberi perkhidmatan kepada pelanggan menetap di kawasan pendalaman serta jauh dari cawangan Puspakom.

Pelanggan boleh menikmati pelbagai perkhidmatan disediakan termasuk pemindahan pemilikan dan pemeriksaan kenderaan rutin.

Terdahulu, Puspakom memaklumkan pelanggan boleh berkunjung terus ke lokasi dinyatakan tanpa perlu membuat temu janji dalam talian.

Operasi akan berjalan bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang.

Justeru, para pelanggan diminta untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.

Gemilang raih tempahan bekal kit badan bas ke Uzbekistan

GEMILANG International Ltd (GML) berjaya meraih tempahan tunggal terbesar dari Uzbekistan membabitkan pembekalan 190 kit badan pengangkutan itu.

Syarikat pengeluar bas dan badan bas berpangkalan di Johor itu menyifatkan kontrak tersebut berupaya mengukuhkan kedudukannya di Asia Tengah.

Pada masa sama, ia juga membantu syarikat tersebut menembusi negara-negara jiran seperti Belarus dan Kazakhstan.

“Kontrak bagi penghantaran190 kit badan bas menerusi pemasangan tempatan (CKD) sepenuhnya telah diterima pada Februari 2022 dan dijangka siap pada Oktober.

“Kami menjangkakan kontrak baharu ini dapat menjadi penyumbang utama ke atas pendapatan bagi tahun ini,” memetik satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, GML mendapat tempahan terbesar bagi penghantaran bas sekolah elektrik sepenuhnya ke California, Amerika Syarikat (AS).

Terdahulu, GML juga yakin terus meraih manfaat daripada pembangunan infrastruktur di Uzbekistan berdasarkan kelebihan rekod pencapaiannya.

Kontrak terbaharu itu juga merupakan tempahan berulang dari Uzbekistan yang dilihat sebagai peluang pertumbuhan berikutnya.

Ketika ini, GML aktif dalam usaha mendapatkan projek-projek baharu di enam negara iaitu Malaysia, Uzbekistan, AS, Australia, Singapura dan Hong Kong.

MIDF Research ramal sektor automotif kekal positif pada 2022

SEKTOR automotif dijangka kekal positif tahun ini dengan pertumbuhan jumlah keseluruhan industri (TIV) meningkat 12 sehingga 14 peratus tahun ke tahun.

Menurut MIDF Research, ia berikutan gangguan bekalan akibat banjir pada Januari lalu yang bersifat sementara.

Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), TIV pada Januari 2022 telah merosot 38 peratus bulan ke bulan kepada 40,581 unit, lapor Bernama.

MIDF Research meramalkan TIV pada sekitar 570,000 – 580,000 unit tahun ini.

Ini menyebakan ia lebih konservatif berbanding unjuran pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 600,000 unit oleh MAA.

“Ia berada pada penghujung julat TIV tahunan pra-pandemik memandangkan kami masih bimbang dengan kekurangan bekalan cip global.

“Bagaimanapun, sebarang TIV yang lebih kukuh daripada jangkaan berperanan untuk memperkuat saranan positif kami ke atas sektor ini,” katanya.

Firma penyelidikan itu mengulangi saranan positifnya kepada sektor automotif yang berperanan terhadap pemulihan penggunaan domestik.

Situasi didorong tempahan tertunggak kukuh, sokongan pelepasan cukai, kadar faedah rendah dan situasi pekerjaan serta pendapatan isi rumah beransur baik.

Sementara itu, Bermaz Auto Bhd (BAuto) dinamakan sebagai pilihan utama berikutan pengembangan jenama itu selepas pengambilalihan francais Kia dan Peugeot.

Perkembangan itu sekali gus menyebabkan pengembangan struktur di bahagian pasaran dan pertumbuhan yang mengatasi industri.

Dalam perkembangan sama, Kenanga Investment Bank Bhd mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas sektor automotif.

Jualan pada Februari 2022 dijangka sama seperti Januari 2022 berikutan jumlah hari bekerja lebih singkat dan gangguan rantaian bekalan akibat banjir serta kekurangan cip.

Carsome Certified Lab ‘tukar’ kereta lama jadi kenderaan baharu

CARSOME terus tekad memberi perkhidmatan terbaik buat para pelanggan dengan melancarkan Carsome Certified Lab.

Mempunyai keluasan lebih 185,000 kaki persegi, Carsome Certified Lab dijangka memberi transformasi baharu dalam industri kenderaan terpakai.

Persoalannya, apakah itu Carsome Certified Lab?

Carsome Certified Lab merupakan kemudahan baik pulih kereta terbesar di Asia Tenggara.

Ini bermakna ia bertindak untuk ‘menukar’ kereta terpakai menjadi seperti sebuah kenderaan baharu!

Pengurus Besar Carsome Certified Malaysia berkata, setiap kereta akan melalui pemeriksaan 175 titik secara terperinci untuk memastikan bebas daripada kerosakan kerangka, kebakaran, banjir dan kemalangan besar.

“Kami mempunyai garis panduan yang boleh diukur untuk semua kereta Carsome Certified yang melibatkan proses membaik pulih yang menyeluruh.

“Kami mempunyai keupayaan pengeluaran yang tinggi, teknologi dan pakar berpengalaman, serta mampu membaik pulih sehingga 30 jenama kereta.

“Ia turut disertakan dengan waranti selama setahun,” kata Alan Cheah.

Cheah berkata demikian pada taklimat media secara maya sempena pelancaran kemudahan itu, hari ini.

Sementara itu, Carsome Certified Lab dikatakan mampu membaik pulih sehingga 2,000 buah dalam tempoh sebulan.

Terdahulu, Cheah berkata tiada yuran tersembunyi akan dikenakan bagi membina kepercayaan dan ketelusan pelanggan.

Harga tersebut termasuk yuran cukai jalan, yuran pemeriksaan Puspakom, yuran pemindahan pemilikan dan yuran permohonan pinjaman.

“Bagaimanapun, jika pelanggan memutuskan untuk mengubah fikiran, kami mempunyai jaminan wang dikembalikan dalam tempoh lima hari.

“Tiada soalan ditanya, bermakna anda boleh memulangkan kereta itu dalam masa lima hari dan kami akan memprosesnya dengan sewajarnya,” katanya lagi.

Setakat ini, Carsome Certified Lab dijangka akan diperluas dalam tempoh 12 bulan akan datang merangkumi Thailand dan Indonesia.

Carsome Certified Lab galak beli kereta terpakai

Carsome Certified Lab menjangkakan permintaan kereta terpakai akan baik dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ia susulan pandemik Covid-19 sekaligus sebagai langkah penjimatan berganda buat para pengguna.

Pada masa sama, Carsome Certified Lab berpandangan membaik pulih kereta terpakai turut membantu memberi impak yang baik kepada alam sekitar.

Setakat ini, Carsome mempunyai lebih 1,000 kereta yang disenaraikan di laman webnya dan ia menawarkan pengalaman digital yang lancar.

Pengguna boleh menyemak dalam talian dengan gambaran 360 darjah, membeli satu dengan kertas kerja yang minimum dan kenderaan akan dihantar ke rumah.

Majlis pelancaran kurang 48 jam, Modenas ‘tease’ bentuk Karisma 125 S

MODENAS mengeluarkan teaser terbaharu bagi Karisma 125 S bersempena majlis pelancaran model itu dalam tempoh kurang 48 jam.

Berdasarkan gambar yang dimuatnaik, pengguna media sosial dapat menyaksikan sebahagian daripada bentuk belakang skuter itu.

Menerusi gambar tersebut, kelihatan lampu model berkenaan sedikit runcing dengan panel badan gelap berserta jalur biru serta spoiler perak.

Bagaimanapun, tidak kelihatan sebarang logo selain hanya pelekat nama “Modenas” pada bahagian bawah lampu belakang.

Model Karisma 125 sebelum ini telah dilancarkan pada tahun 2016 dan menggunakan asas daripada Kymco Ace 9.

Karisma 125 menggunakan enjin satu silinder 124.6cc penyejukan udara dengan sistem bahan api karburetor.

Ia juga didatangkan dengan rim 14 inci, brek cakera hadapan dan dram di belakang dan panel meter analog biasa.

Selain itu, skuter ini juga mempunyai tangki bahan api dengan kapasiti 4.6 liter.

Persoalannya, apakah penambahbaikan terdapat pada model skuter Karisma 125 S nanti?

Maka, sama-sama kita nantikan Modenas Karisma 125 S pada 24 Februari ini.

Grafik baharu serlahkan paras rupa CB650R, CBR650R!

DUA model motosikal Honda iaitu CB650R dan CBR650R mendapat sentuhan grafik baharu.

Memetik maklumat dikongsikan Boon Siew Honda Sdn Bhd, CB650R ditawarkan dengan warna baharu iaitu Mat Jeans Blue Metallic, Candy Chromosphere Red dan Mat Gunpowder Black Metallic.

Honda CB650R. – Foto ihsan Honda

CBR650R pula ditawarkan dalam warna Grand Prix Red dan Mat Gunpowder Black Metallic.

Harga bagi CB650R adalah RM43,499 manakala, CBR650R pula dijual bermula RM45,499.

Honda CBR650R. Foto ihsan Honda

Boon Siew Honda Sdn Bhd turut menawarkan jaminan selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 kilometer.

Bagaimanapun, tidak terdapat perubahan lain pada model ini sejak ia diperkenalkan pada tahun lalu.

Ciri-ciri menarik CB650R dan CBR650R

CB650R dan CBR650R baharu menerima menggunakan fork USD Showa Separate Function Big Piston (SFF- BP) 41mm yang mempunyai diameter lebih besar.

Justeru, ia merupakan satu peningkatan ketara serta prestasi lebih baik berbanding fork model sebelumnya.

Foto ihsan Honda

Model ini mempunyai pengecas USB yang diletakkan di bawah tempat duduk manakala panel instrumen LCD memberikan paparan lebih jelas dan ‘mesra’ pengguna.

Kedua-dua model ini menggunakan enjin unit empat silinder DOHC 649cc bersama gabungan transmisi enam kelajuan dengan klac slip and assist.

Foto ihsan Honda

Ia mampu menghasilkan kuasa maksimum 94 kuasa kuda pada 12,000 rpm dan 64 Nm tork pada 8,500 rpm.

Berikut kelebihan lain CB650R dan CBR650R:-

  • Monoshock belakang
  • Brek cakera berkembar 310mm serta angkup empat piston di hadapan
  • Cakera brek 240mm di belakang
  • Sistem ABS
  • HSTC
  • Lampu LED
  • Tangki bahan api 15.4 liter

Hamilton jawab isu persaraan, mengaku lalui jalan sukar musim lalu

DUA bulan tamatnya saingan Formula Satu (F1) 2021, cakap-cakap mengenai masa depan pelumba kelahiran Britain Lewis Hamilton terus diperkatakan dalam kalangan peminat sukan itu.

Hal ini kerana Hamilton dilihat ‘mengunci’ mulut daripada mengeluarkan sebarang komen selepas gagal menjuarai saingan musim lalu.

Bagaimanapun, baru-baru ini Hamilton kembali bersuara mengenai masa depannya dalam satu temubual ketika majlis pelancaran jentera Mercedes-AMG F1 W13 E Performance.

Mengakui kecewa dengan prestasi musim lalu, Hamilton tetap berasa bersyukur kerana masih mempunyai sokongan keluarga, rakan sepasukan dan peminat.

Lewis Hamilton dan Max Verstappen selepas perlumbaan di Qatar pada musim lalu. – Foto ihsan F1

Justeru, juara dunia tujuh kali itu bertekad untuk kembali bertenaga dan memberi lebih fokus pada musim 2022.

“Saya ada keluarga dan mereka telah memberikan sokongan amat bermakna. Ia menjadi pendorong untuk saya kembali ‘bangkit’ pada musim ini.

“Saya gembira dengan apa yang dicapai selama ini. Tidak mungkin saya akan meninggalkan sukan dengan pasukan terbaik seperti sebuah keluarga sendiri,” katanya seperti dilaporkan portal TopGear.

Musim lalu, Hamilton gagal mengekalkan kejuaraan selepas kecundang ditangan pelumba Red Bull Racing Max Verstappen.

Mercedes-AMG F1 W13 E Performance. – Foto ihsan mercedesamgf1.com

Perlumbaan di Abu Dhabi berlangsung dengan penuh dramatik sehingga ia terus diperkatakan dalam kalangan peminat F1 sehingga ke saat ini.

Musim baharu F1 akan bermula pada 18 Mac di Litar Antarabangsa Bahrain.

Beli Toyota Yaris GR Sport GT7 Edition, miliki PS5 secara percuma!

TERDAPAT pelbagai kaedah serta teknik pemasaran dilakukan oleh peniaga dalam usaha melariskan produk jualan masing-masing.

Terbaharu, para pembeli berpeluang memiliki Sony PlayStation 5 (PS5) apabila membeli sebuah Toyota Yaris GR Sport GT7 Edition.

Foto ihsan Toyota

Menariknya, pembeli juga bakal menerima alat kawalan DualSense, langganan percuma PS Plus selama tiga bulan dan salinan percuma permainan Gran Turismo 7.

Bagaimanapun, promosi hanya terhad kepada 100 pembeli terawal sahaja memandangkan jumlah PS5 yang terhad di pasaran.

Sebelum ini, Sony mendedahkan pihaknya juga turut terkesan dengan masalah kekurangan cip semikonduktor sehingga menjejaskan pengeluaran PS5 seluruh dunia.

Foto ihsan Toyota

Sementara itu, Yaris GR Sport GT7 Edition merupakan antara model mendapat perhatian ramai seluruh dunia.

Edisi terhad ini merupakan model hibrid dikuasakan oleh enjin 1.5 liter kitaran Atkinson.

Ia dipadankan dengan motor elektrik 80 kuasa kuda (hp) dengan output keseluruhan 114 hp.

Foto ihsan Toyota

Antara ciri menarik Yaris GR Sport GT7 Edition adalah ia didatangkan dengan warna Gris Dynamique, kunci pintar kustom dan set rim size 18 inci.

Paling mahal, model ini juga mempunyai logo hiasan Gran Turismo!

Setakat ini, masih belum dapat dipastikan harga jualan sebenar bagi model ini dan promosi hadiah PS5 hanya terhad kepada mereka berada di Sepanyol sahaja.

Memang anti-klimaks betul!

Kapal kargo terbakar, 4,000 kenderaan Volkswagen Group musnah

KEBAKARAN sebuah kapal kargo di perairan Portugal menyebabkan lebih 4,000 kenderaan Volkswagen Group musnah.

Kapal Felity Ace dikatakan menuju ke Davisville, Rhode Island selepas berlepas dari pelabuhan Emden, Jerman minggu lalu.

Memetik laporan Business Insider, setakat ini masih belum dapat dipastikan tahap kemusnahan kesemua kenderaan milik kumpulan VW itu.

Kelihatan Felicity Ace sedang terbakar dengan diliputi asap tebal. – Foto ihsan Business Insider

Bagaimanapun, kesemua anak kapal dilaporkan dalam keadaan selamat selepas diselamatkan sebuah kapal tangka dan anggota keselamatan Portugal.

Felicity Ace kini turut dikhabarkan hanyut di lautan Atlantik memandangkan tiada sebarang kru mengemudi kapal berkenaan.

Setakat ini, siasatan masih dijalankan pihak berkuasa bagi mengetahui punca kebakaran kepal terbabit sehingga memusnakan kenderaan milik VW.