5 EV terbaik berharga antara RM150,000 hingga RM200,000
Kalau anda ingat pada Ogos lalu, kami telah menyenaraikan lima kenderaan elektrik terbaik yang anda boleh beli pada harga antara RM100,000 hingga RM150,000.
Jika anda perasan, kelima-lima EV yang disenaraikan adalah daripada jenama China. Tetapi itu bukanlah benda yang tidak bagus kerana kebanyakan EV dari negara itu menawarkan prestasi, teknologi dan senarai kelengkapan yang baik pada harga mampu milik.
Untuk senarai lima EV terbaik yang berharga antara RM150,000 hingga RM200,000, masih terdapat ‘calon-calon’ daripada jenama China tetapi kali ini ada berita baik untuk mereka yang ingin mencuba EV daripada jenama Eropah kerana terdapat tiga model yang mungkin dapat memenuhi citarasa mereka:
Volvo EX30 Plus (RM188,888)
Baru sahaja dilancarkan di pasaran Malaysia, Volvo EX30 mungkin bukan 100% Eropah kerana ia menggunakan platform buatan Geely yang turut digunakan oleh smart #1 dan Zeekr X, serta dipasang di China, tetapi tidak dapat dinafikan lagi yang ia adalah kereta Volvo yang sebenar.
Lampu LED tukul Thor menunjukkan yang ia adalah sebuah Volvo, begitu juga dengan ruang dalaman yang minimalis yang menampilkan pelbagai jenis bahan lestari. Jika anda mementingkan prestasi, jangan risau kerana varian Plus boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.3 saat sahaja. Ingin lebih pantas? Anda boleh mendapatkan varian Ultra Twin Performance tetapi ia berharga lebih RM200,000.
BYD Seal (RM163,800-RM199,800)
Bagi penulis, mana-mana senarai EV tidak akan lengkap tanpa BYD. Untuk julat harga RM150,000 hingga RM200,000, anda boleh mendapatkan sedan flagship Seal yang ditawarkan dalam tiga varian iaitu Dynamic, Premium dan Performance.
Ketiga-tiga ini berbeza dari segi prestasi (Performance paling laju dengan pecutan 0-100 km/j dalam 3.8 saat) dan jarak (Premium boleh pergi paling jauh iaitu 570 km) namun apa yang menariknya, tidak kira varian apa yang dipilih, anda mendapat senarai kelengkapan dan ciri yang hampir sama.
XPeng G6 (RM165,000-RM185,000)
XPeng merupakan jenama EV baharu dari China yang dibawa masuk oleh Bermaz, jadi anda tidak perlu risau tentang aftersales kerana Bermaz sememangnya berpengalaman dalam hal itu.
G6 adalah model pertama XPeng yang ditawarkan di Malaysia, menawarkan reka bentuk SUV coupe yang premium serta pelbagai teknologi canggih seperti Smart Electric Platform Architecture 2.0 dengan senibina 800V, sistem bunyi keliling XOpera dan fungsi keselamatan XPILOT 2.5 pada harga bawah RM200,000.
smart #3 Pro (RM175,000)
Seperti Volvo EX30, smart #3 boleh dikatakan sebagai anak campuran Eurasia kerana ia menggabungkan teknologi daripada syarikat Asia (Geely) dan reka bentuk Eropah (dalam kes #3, Jerman kerana ia direka oleh Mercedes-Benz).
Pro adalah varian pemula dalam barisan #3, dan pada harga RM175,000, ia menawarkan nilai untuk wang yang baik untuk mereka yang meminati jenama smart. Ia mempunyai 272 PS dan 343 Nm, boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.8 saat dan boleh dipandu sejauh 325 km dengan satu cas penuh, 10 km lebih jauh berbanding #1 Pro.
MINI Electric Cooper SE (RM193,888)
Penulis yakin ramai dalam kalangan pembaca Engear TV adalah peminat MINI. Untuk generasi kedua, MINI Cooper elektrik dilihat lebih berbaloi untuk dimiliki kerana ia bukan sahaja tampil dengan penggayaan lebih moden, malah lebih berkuasa dan jarak geraknya juga bertambah sekali ganda berbanding sebelum ini.
Dilancarkan di Malaysia pada Julai lalu, Cooper SE baharu dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menghasilkan 218 PS dan 330 Nm (34 PS dan 60 Nm lebih tinggi), membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.7 saat. Bateri dengan kapasiti lebih besar iaitu 54.2 kWj pula memberikannya jarak gerak sejauh 402 km dengan satu cas penuh.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.