Enjin NA vs turbocharger vs supercharger, mana yang patut anda pilih?
Apabila bercakap tentang enjin pembakaran dalaman, ada tiga terma yang paling kerap ditemui iaitu NA, turbocharger dan supercharger. Secara asasnya, ketiga-tiganya merujuk kepada bagaimana sesebuah enjin itu memasukkan udara ke kebuk pembakaran untuk menjana kuasa.
Enjin NA atau nama penuhnya naturally aspirated mendapat bekalan udaranya secara semula jadi menerusi tekanan atmosfera.
Sementara itu, kedua-dua turbocharger dan supercharger pula merupakan sistem induksi paksaan atau forced induction yang memampatkan udara untuk menghasilkan pembakaran yang lebih berkuasa.
Enjin NA paling meluas digunakan kerana kosnya lebih rendah dan lebih mudah dijaga, manakala turbocharger pula dikhaskan untuk model-model prestasi namun dengan perubahan lanskap automotif, lebih banyak pengeluar mula menggunakan sistem-sistem tersebut pada kenderaan mereka.
Selepas berakhirnya era enjin Kompressor Mercedes-Benz, enjin supercharger dilihat semakin tenggelam namun ada beberapa model semasa yang masih menggunakan sistem ini seperti Dodge Challenger/Charger dan semua model SVR dari Land Rover.
Bagaimana turbocharger berfungsi?
Menurut pengeluar turbo terkenal Garrett, turbocharger menggunakan gas ekzos untuk memacu roda turbin sehingga 350,000 rpm. Roda turbin itu kemudiannya menggerakkan roda pemampat menerusi aci.
Ketika kedua-dua roda itu berputar, sejumlah besar udara disedut dan dimampatkan sebelum disejukkan menerusi intercooler untuk meningkatkan lagi ketumpatannya sebelum ia memasuki enjin.
Udara termampat ini membolehkan bahan api dibakar dengan lebih efisien untuk mencapai kuasa yang lebih dan tahap penggunaan bahan api yang lebih tinggi.
Kelebihan dan kekurangan turbocharger
Dengan pengecas turbo, enjin menikmati peningkatan kuasa yang signifikan. Malah, enjin turbo boleh menghasilkan kuasa yang sama atau lebih tinggi berbanding enjin NA dengan kapasiti lebih besar.
Selain itu, enjin turbocharger juga dikatakan lebih cekap bahan api kerana ia boleh menjana kuasa lebih tinggi dengan lebih sedikit bahan api.
Walau bagaimanapun, prestasi yang tinggi menjadikan enjin turbo lebih cepat panas, manakala komponen dalaman pula terdedah kepada tekanan. Ini bermakna ia perlu diselenggara lebih kerap untuk memastikan ia berada dalam keadaan optimum.
Bagaimana supercharger berfungsi?
Jika turbocharger menggunakan gas ekzos untuk berputar, supercharger pula dikuasakan secara mekanikal menerusi tali sawat yang disambungkan terus ke aci engkol enjin.
Supercharger meningkatkan pengambilan dengan memampatkan udara di atas tekanan atmosfera tanpa mencipta vakum. Ini memaksa lebih banyak udara masuk ke dalam enjin. Dengan udara tambahan itu, enjin boleh menyuntik lebih banyak bahan api, sekali gus menghasilkan kuasa yang lebih tinggi.
Kelebihan dan kekurangan supercharger
Seperti turbocharger, supercharger membolehkan enjin menghasilkan kuasa dan tork yang lebih tinggi. Bagaimanapun, ia tidak menghadapi masalah turbo lag kerana supercharger dipacu oleh aci engkol enjin. Selain itu, supercharger memberikan tindak balas pendikit yang lebih baik pada julat RPM rendah.
Bagaimanapun, supercharger tidak secekap turbocharger kerana ia memerlukan kuasa dari enjin untuk menjana lebih kuasa. Bukan itu sahaja, komponen dalaman juga terdedahkan kepada tekanan dan haba yang lebih tinggi dan ini akan menjejaskan jangka hayat enjin.
Mana yang terbaik?
Jika prestasi bukan keutamaan anda, enjin NA sudah memadai kerana kuasa yang dihasilkan sebenarnya sudah cukup untuk kegunaan harian dan ia juga lebih murah untuk dioperasikan.
Bagi mereka yang kaki lenjan, enjin turbocharger dan supercharger adalah pilihan yang tepat. Bagaimanapun, enjin turbo dilihat lebih sesuai untuk penggunaan masa kini kerana ia juga lebih efisien dan lebih mudah didapati dalam pasaran. Tetapi jika anda tidak dapat memilih antara kedua sistem ini, ada beberapa pengeluar yang menawarkan enjin twincharger seperti Volkswagen, Audi dan Volvo.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.