Arkib Tag: XRT Concept

Mitsubishi Triton generasi keenam dapat platform ladder frame, enjin turbodiesel serba baharu

MITSUBISHI Triton generasi keenam, yang diprebiu menerusi XRT Concept pada Mac lalu, bakal dilancarkan pada 26 Julai ini dengan platform dan enjin serba baharu.

Menurut syarikat itu, Triton yang akan datang ini menggunakan platform ladder frame baharu yang dipadankan dengan suspensi rekaan baharu jenis double wishbone pada bahagian depan dan leaf spring pada bahagian belakang.

Untuk enjin pula, Mitsubishi berkata Triton akan mendapat enjin turbodiesel yang dikatakan lebih bersih dengan mengurangkan friction loss tetapi pada masa yang sama mempunyai output yang lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, perincian mengenai enjin ini masih belum didedahkan. Sebagai makluman, Triton yang sedia ada dikuasakan oleh enjin turbodiesel 2.4-liter empat silinder yang menghasilkan 181 PS dan 430 Nm.

Mengenai reka bentuk luaran, ia tidak akan jauh berbeza dengan rekaan XRT Concept yang telah dipertontonkan di Bangkok Motor Show pada Mac lalu.

Walaupun masih memakai pelekat penyamaran, Triton serba baharu ini jelas kelihatan lebih rugged dengan gril yang lebih bersegi, lampu depan jenis terpisah dengan rekaan yang lebih tajam serta spoiler pada bahagian belakang.

Ruang dalamannya setakat ini masih belum didedahkan namun video teaser berdurasi 57 saat yang disiarkan oleh Mitsubishi menunjukkan model itu mempunyai skrin infohibur ‘terapung’ dan paparan multi-info yang diapit dengan meter jenis analog.

Mitsubishi XRT Concept prebiu Triton generasi keenam

MITSUBISHI Motors Corporation telah mempertontonkan Mitsubishi XRT Concept di Bangkok International Motor Show 2023.

Menariknya, kereta konsep ini tidak akan kekal sebagai kereta konsep kerana ia merupakan prebiu kepada Triton generasi keenam yang bakal dilancarkan ke pasaran pada tahun ini.

Menurut Mitsubishi Motors, trak pikap saiz sederhana itu akan dilancarkan di Thailand terlebih dahulu memandangkan ia dipasang di kilang Mitsubishi di Laemchabang. Ia kemudian diikuti dengan negara-negara rantau ASEAN yang lain, Ocenia serta pasaran global.

Walaupun masih memakai pelekat penyamaran, jelas kelihatan bahawa Triton serba baharu yang akan datang ini mempunyai wajah yang lebih garang dan rugged berbanding model sedia ada.

Ia masih menggunakan lampu depan jenis terpisah, namun lampu nyalaan siang pada bahagian atas dilihat lebih langsing manakala lampu utama diberi bentuk baharu.

Turut direka semula adalah gril, di mana ia kini tampil lebih bersegi serta mempunyai dua palang mendatar dan tulisan ‘MITSUBISHI’ di atasnya.

Dari sisi, Triton baharu tampak gagah dengan adanya overfender dan tayar M/T, sementara bahagian belakang turut diberi sentuhan segar menerusi lampu baharu dan spoiler pada bahagian tailgate.

“Fiskal 2023 ialah tahun yang penting bagi Mitsubishi Motors untuk memacu perniagaan kami di rantau ASEAN, dengan pelancaran Triton yang diubah suai sepenuhnya dan SUV kompak serba baharu,” kata Takao Kato, presiden dan ketua pegawai eksekutif Mitsubishi Motors.

Tambah beliau lagi, Triton serba baharu telah menjalani ujian ketahanan di seluruh dunia dan kini sedang dalam fasa persiapan akhir sebagai persediaan untuk pelancarannya.