Arkib Tag: Xiaomi

iCar V23, SUV elektrik dengan elemen rekaan rojak Defender, FJ40, G-Wagen

Pandang depan, macam Toyota Land Cruiser FJ40. Tengok dari tepi, macam Land Rover Defender. Toleh belakang, macam G-Wagen pula.

Jadi, ini model apa sebenarnya?

Model rojak yang baharu sahaja muncul ini diberikan nama rasmi iCar V23, sebuah SUV dengan rekaan yang diinspirasikan daripada ketiga-tiga lagenda off-road (Mercedes-Benz G-Class, Land Rover Defender, Toyota Land Cruiser).

iCar V23 merupakan model kedua untuk jenama baharu EV iCar yang dibangunkan oleh Chery dengan kerjasama Zhimi Technology yang dimiliki oleh Xiaomi.

Berikut merupakan serba sedikit fakta ringkas berkenaan SUV rojak yang datang daripada Tanah Besar China ini:

 

Ukuran

 

iCar V23 membawakan ukuran dimensi yang lebih kecil berbanding model sulung iCar 03, dengan panjang sekitar 4,220 mm, lebar 1,915 mm, tinggi 1,845 mm.

Sementara jarak antara roda pula sekitar 2,730 mm.

Selain itu, iCar V23 ini menawarkan sudut pendekatan 43 darjah, diikuti sudut pelepasan 41 darjah, dengan jarak kelegaan tanah setinggi 212 mm.

 

Rekaan luaran: Rojak empat benua

 

iCar banyak mengambil inspirasi daripada beberapa nama besar dalam segmen SUV off-road.

Bahagian depan menampilkan unit lampu LED berbentuk bulat, sementara rekaan jeriji, liang hud, struktur bersegi dan fender belakang membawakan elemen daripada Land Cruiser FJ40.

Bahagian bampar dan cermin depan yang rata pula mengingatkan kita pada Jeep Wrangler.

 

 

Kemasan sisi yang minimalis itu diinspirasikan daripada Land Rover Defender.

Seperti yang telah ditulis sebentar tadi, rekaan belakang SUV ini mirip Mercedes-Benz G-wagen, terutama pada unit lampu LED yang diposisikan agak rendah.

Akhir sekali, terdapat kotak storan yang dipasang pada pintu tailgate belakang, menyerupai ruang yang biasa diperuntukkan untuk tayar simpanan.

 

Ruang kabin minimalis

 

Tipikal mana-mana EV, iCar V23 membawakan skrin infohibur tengah yang agak besar, roda stereng rekaan stail Defender, diikuti dengan corong pendingin hawa berbentuk petak.

Di bahagian  bawah skrin tengah, terdapat empat tombol fungsi utama yang dikhususkan untuk HVAC (heat, ventilation, & air-condition)

 

Jarak gerak lebih 500 km

 

Tiada sebarang perincian rangkaian kuasa elektrik didedahkan buat masa ini, namun secara asasnya iCar V23 boleh dibekalkan dengan versi pacuan belakang (RWD) atau pacuan semua roda (AWD).

Menurut laporan media automotif China, iCar V23 tersedia dalam versi motor elektrik tunggal dan dua motor elektrik, dipadankan dengan pek bateri yang disumberkan daripada CATL.

Versi RWD mampu bergerak sejauh lebih 500 km untuk sekali cas penuh, sementara versi AWD pula boleh mencapai jarak melebihi 400 km.

 

Pelancaran rasmi

iCar V23 akan dilancarkan secara rasmi pada 12 April ini sebelum ia dipamerkan kepada umum pada acara Beijing Auto Show 2024.

 

iCar V23 2024

Xiaomi SU7 diperkenalkan secara rasmi – 673 PS, 0-100 km/j dalam 2.78s, jarak pandu 800 km

ANDA mungkin tahu bahawa ada beberapa pengeluar telefon pintar yang sedang merancang untuk menceburkan diri dalam perniagaan EV.

Salah satunya adalah Xiaomi, yang baru sahaja memperkenalkan EV pertamanya iaitu SU7. Ia digelar sebagai “sedan eko-teknologi berprestasi tinggi bersaiz penuh”.

Bercakap tentang saiz, ukuran dimensi SU7 adalah 4,997 mm panjang, 1,963 mm lebar, 1,440 mm tinggi dan 3,000 mm untuk jarak roda. Ini menjadikannya sedikit lebih besar berbanding Porsche Taycan dan Tesla Model S.

Model ini dibina berdasarkan platform Modena yang menawarkan senibina 400 volt dan 800 volt, dengan tiga pilihan motor elektrik iaitu HyperEngine V6, V6s dan V8s.

Untuk rekaan bahagian luaran SU7, Xiaomi menggunakan khidmat bekas pereka BMW, Chris Bangle yang bertindak sebagai perunding bagi projek ini.

Hasilnya, EV tersebut mempunyai kadar pekali seretan 0.195, menjadikannya antara kereta yang paling aerodinamik dalam pasaran.

Di dalam, pengeluar telefon pintar dari China itu menggunakan kepakarannya dalam bidang teknologi untuk melengkapkan SU7 dengan gajet terkini.

Ini termasuk skrin sentuh tengah berukuran 16.1 inci dan sistem pemanduan autonomi pintar yang merangkumi satu LiDAR, 11 kamera, tiga radar dan 12 radar ultrasonik.

SU7 akan ditawarkan dalam dua varian iaitu asas dan Max. Varian asas dikuasakan oleh HyperEngine V6 dengan 299 PS dan 400 Nm yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.28 saat dan mencapai kelajuan maksimum 210 km/j.

Varian ini dilengkapi dengan bateri berkapasiti 73.6 kWj yang menawarkan jarak pandu sehingga 668 km.

Sementara itu, SU7 Max mempunyai HyperEngine V8s dengan sepasang motor elektrik yang menjana 673 PS dan 838 Nm. Ia memerlukan hanya 2.78 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j dan boleh memecut sehingga 265 km/j.

Dengan bateri 101 kWj, ia boleh dipandu sejauh 800 km dengan satu cas penuh. Oleh kerana varian ini menggunakan senibina 800 volt, ia boleh mendapatkan semula jarak pandu 220 km dalam hanya lima minit atau 390 km dalam 10 minit.

EV pertama Xiaomi mampu gerak sejauh 800 km!

Pengeluar peranti pintar China, Xiaomi dijangka akan melancarkan model kereta elektrik pertama SU7 dalam masa terdekat.

Berdasarkan info daripada laman CNEVPost, sedan coupe itu dikatakan mempunyai jarak gerak sejauh 800 km.

Xiaomi SU7 boleh didapati dengan dua saiz pek bateri, iaitu 73.6 kWh (BYD) dengan dua pilihan jarak pemanduan, iaitu sejauh 628 km dan 668 km, serta kapasiti 101 kWh (CATL) yang menawarkan jarak gerak 750 km dan 800 km.

Dari segi ukuran, Xiaomi SU7 merupakan sebuah model sedan saiz pertengahan dengan dimensi sepanjang 4,997 mm, lebar 1,963 mm, tinggi, 1440 mm dan jarak antara roda sepanjang 3,000 mm.

Di pasaran China, saiz SU7 adalah jauh lebih besar berbanding sedan Tesla Model 3 dan Nio ET5.

Difahamkan terdapat tiga varian utama yang bakal ditawarkan kepada pengguna, iaitu SU7, SU7 Pro dan SU7 Max.


Varian asas SU7 akan dilengkapi dengan pek bateri lithium-ion phosphate yang dibekalkan oleh BYD, serta menampilkan motor elektrik tunggal.

Sementara dua lagi varian (SU7 Pro & Max) pula mendapat bateri lithium ternary-ion daripada CATL, di mana kedua-dua varian tersebut bakal menerima tetapan dua motor elektrik.

Dalam laporan yang sama, Xiaomi bakal melancarkan dua model tambahan menjelang tahun hadapan, selepas pelancaran SU7 yang lebih dikenali dengan kod dalaman Modenat.

Model kedua (kod dalaman Lemang) pula merupakan sebuah kenderaan elektrik bateri (BEV) yang sama seperti Modenat, sementara model ketiga (kod Kunlun) merupakan sebuah kenderaan hibrid.

 

Perlumbaan penghasilan kereta elektrik, Xiaomi pula masuk ‘gelanggang’

PERSAINGAN penghasilan kenderaan di peringkat global semakin sengit dengan banyak syarikat teknologi mula menunjukkan minat ke arah usaha itu.

Terbaharu, Xiaomi dilaporkan berusaha membeli syarikat Borgward Motors sekaligus mengambil alih kilang produksi terletak di Beijing, China.

Memetik laporan agensi Persatuan Kewangan China, usaha Xiaomi membolehkan syarikat itu menjalankan produksi kenderaan lebih pantas.

Kilang Borgward Motors di Miyun Park, Zhongguancun dikatakan mampu menghasilkan 180,000 unit kenderaan bagi fasa pertama pembangunan.

Ia juga mampu mencapai 360,000 unit produksi menerusi pembangunan fasa kedua.

Antara operasi dijalankan di fasiliti ini termasuk proses stamping, logistik, hasil kerja badan, cat serta pemasangan dan pemeriksaan akhir.

Salah sebuah model kenderaan dihasilkan Borgward Motors. – Foto ihsan Borgward Motors

Borgward merupakan jenama automotif Jerman dimiliki 100 peratus oleh Foton Motor iaitu sebuah subsidiari Beijing Automotive Industry Corporation (BAIC).

Ia telah dibangunkan semula pada tahun 2014.

Bagaimanapun, kilang operasi Borgward di Beijing gagal menghasilkan produksi secara besar-besaran selepas hanya mampu mengeluarkan 500 unit kenderaan sahaja.

Borgward Motors dikatakan ‘bergelut’ bagi memasarkan kenderaan keluaran mereka. – Foto ihsan Wikipedia

Selain itu, operasi kilang Borgward juga telah dihentikan lebih daripada tempoh setahun.

Terdahulu, Xiaomi dilaporkan merancang melancarkan kenderaan electric vehicle (EV) pertama pada tahun 2024.

Sasaran ini dilihat realistik dengan usaha syarikat itu mengambil alih kilang Borgward Motors di Zhongguancun.