Arkib Tag: will.i.am

WILL.I.AMG The Flip sebuah Mercedes-AMG rojak!

TAK perlu gosok mata anda kerana jentera pelik yang anda sedang lihat ini adalah benar dan nyata.

Ia merupakan rekaan one-off yang dihasilkan oleh Mercedes-AMG dengan kerjasama rapper terkenal Will.i.am bagi membantu mengutip dana buat golongan pelajar yang datang dari komuniti kurang bernasib baik.

Dikenali secara rasmi sebagai WILL.I.AMG dan diberi jolokan ‘The Flip’, kereta unik ini asalnya merupakan model AMG GT 4-Door namun ia telah diberikan pembedahan transplan wajah G-Wagon oleh bengkel West Coast Customs.

Ya, ia merupakan bengkel sama yang meraih populariti menerusi rancangan realiti Pimp My Ride suatu ketika dahulu. Ini merupakan projek keenam antara Will.i.am dan West Coast Customs.

Selain bahagian hadapan yang diambil dari sebuah SUV, The Flip juga membawakan beberapa elemen yang diinspirasikan oleh AMG SLS seperti sepasang tingkap kecil pada bumbung (yang dikatakan menyerupai bahagian atas pintu gullwing SLS) dan liang udara pada bonet.

Bukan itu sahaja, The Flip juga mempunyai pintu suicide seperti Rolls-Royce Wraith. Satu lagi perincian menarik yang ada pada kereta ini adalah logo anak patung beruang pada bahagian hadapan di tengah-tengah gril.

Menurut Mercedes, logo eksklusif itu dihasilkan oleh Will.i.am sempena pelancaran koleksi pakaian dan aksesori edisi terhad Bear Witness yang boleh didapati di Mercedes-AMG Experience Center di Miami atau secara dalam talian.

Sebahagian daripada hasil jualan koleksi itu akan disalurkan ke yayasan i.am/Angel yang diwujudkan untuk memberikan komuniti kurang bernasib baik akses kepada pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik (STEAM).

Gambar penuh ruang kabin tidak disiarkan namun The Flip dilihat mempunyai upholsteri kulit mewah berwarna putih atau krim. Mengenai enjin pula, Will.i.amg berkata bahagian itu tidak disentuh kerana “AMG menghasilkan enjin yang terbaik”.

Dalam varian tertingginya iaitu GT 63 S, jentera ini dikuasakan oleh enjin 4.0-liter biturbo V8 yang mampu menghasilkan 639PS dan 900Nm.

Ia boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 3.2 saat dan mencapai kelajuan maksimum melebihi 300km/j dengan adanya transmisi AMG Speedshift sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic+.

Will.I.Am dilantik jadi duta Mercedes-AMG GT63 S E Performance, kenapa?

MERCEDES-AMG baru-baru ini melancarkan sedan prestasi tinggi terbaharu mereka, GT63 S E Performance yang berkuasa 831hp dan kini hadir sebagai plug-in hybrid (PHEV).

Dengan itu, mereka turut melantik seorang duta, penyanyi popular Amerika yang juga pemenang anugerah Grammy tujuh-kali, iaitu Will.I.Am. Kenapa dia?

Menurut kenyataan media oleh Mercedes-AMG, Will.I.Am ialah “rakan niaga yang sesuai untuk Mercedes-AMG. Kerana dia bukan sahaja peminat kereta, dia juga membawa DNAsama dengan kami: sentiasa satu langkah ke depan, berinovasi dengan minat, dan melangkaui had dalam mencapat matlamat.”

Kami setuju penyanyi Black Eyed Peas itu seorang yang “sentiasa satu langkah ke depan, berinovasi dengan minat dan melangkaui had dalam mencapat matlamat”, tapi kami tak pasti dengan kenyataan dia peminat kereta.

Anda mungkin pernah tahu bahawa Will.I.Am mendakwa ‘mencipta’ kenderaan beliau sendiri menggunakan alat ganti Chrysler (ia sebenarnya DeLorean kustom, dihasilkan oleh West Coast Customs).

Will.I.Am juga pernah bekerja sama dengan Lexus pada 2014 untuk model NX, dan pada 2016, pernah mempertontonkan Tesla Model S yang agak luar biasa dengan fender lebar. Adakah dia seorang peminat kereta sebenar? Anda tentukan.

Menurut siaran ini, Will.I.Am akan bekerjasama dengan Mercedes untuk E Peformance, inovasi, dan beberapa projek muzik.

Mercedes-AMG GT63 S E Performance dikuasakan oleh enjin 4.0-liter V8 yang menjana 630hp dan 900Nm tork. Ini dibantu oleh motor elektrik dan bateri 4.8kWh yang membekalkan sehingga 201hp untuk 10 saat.

Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan 831hp dan 1,466Nm tork, menjadikan GT63 S E Performance sebagai model AMG paling berkuasa setakat ini. Kotak gear yang digunakan ialah automatik 9-kelajuan dengan sistem pacuan semua-roda 4Matic+.

GT63 S E Performance mampu mencapai 100km/j dalam hanya 2.9 saat, dan 200km/j kurang 10 saat.

Ciri lain pada sedan prestasi ini adalah suspensi udara dengan penyerap adaptif kawalan elektronik, tujuh mod pemanduan, brek karbon seramik, rim 20-inci depan dan 21-inci belakang, dan sistem infotainmen MBUX.