fbpx

WILL.I.AMG The Flip sebuah Mercedes-AMG rojak!

will.i.amg the flip 04

TAK perlu gosok mata anda kerana jentera pelik yang anda sedang lihat ini adalah benar dan nyata.

Ia merupakan rekaan one-off yang dihasilkan oleh Mercedes-AMG dengan kerjasama rapper terkenal Will.i.am bagi membantu mengutip dana buat golongan pelajar yang datang dari komuniti kurang bernasib baik.

Dikenali secara rasmi sebagai WILL.I.AMG dan diberi jolokan ‘The Flip’, kereta unik ini asalnya merupakan model AMG GT 4-Door namun ia telah diberikan pembedahan transplan wajah G-Wagon oleh bengkel West Coast Customs.

Ya, ia merupakan bengkel sama yang meraih populariti menerusi rancangan realiti Pimp My Ride suatu ketika dahulu. Ini merupakan projek keenam antara Will.i.am dan West Coast Customs.

Selain bahagian hadapan yang diambil dari sebuah SUV, The Flip juga membawakan beberapa elemen yang diinspirasikan oleh AMG SLS seperti sepasang tingkap kecil pada bumbung (yang dikatakan menyerupai bahagian atas pintu gullwing SLS) dan liang udara pada bonet.

Bukan itu sahaja, The Flip juga mempunyai pintu suicide seperti Rolls-Royce Wraith. Satu lagi perincian menarik yang ada pada kereta ini adalah logo anak patung beruang pada bahagian hadapan di tengah-tengah gril.

Menurut Mercedes, logo eksklusif itu dihasilkan oleh Will.i.am sempena pelancaran koleksi pakaian dan aksesori edisi terhad Bear Witness yang boleh didapati di Mercedes-AMG Experience Center di Miami atau secara dalam talian.

Sebahagian daripada hasil jualan koleksi itu akan disalurkan ke yayasan i.am/Angel yang diwujudkan untuk memberikan komuniti kurang bernasib baik akses kepada pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik (STEAM).

Gambar penuh ruang kabin tidak disiarkan namun The Flip dilihat mempunyai upholsteri kulit mewah berwarna putih atau krim. Mengenai enjin pula, Will.i.amg berkata bahagian itu tidak disentuh kerana “AMG menghasilkan enjin yang terbaik”.

Dalam varian tertingginya iaitu GT 63 S, jentera ini dikuasakan oleh enjin 4.0-liter biturbo V8 yang mampu menghasilkan 639PS dan 900Nm.

Ia boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 3.2 saat dan mencapai kelajuan maksimum melebihi 300km/j dengan adanya transmisi AMG Speedshift sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic+.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved