Arkib Tag: Wazi Abdul Hamid

Banyak litar lumba belum diiktiraf, Wazi sindir punca rempit berleluasa

BEKAS pelumba motosikal negara Wazi Abdul Hamid mempersoalkan usaha pihak berwajib yang dilihat tidak serius dalam membangunkan sukan permotoran di Malaysia.

Ia susulan pendedahan sebuah stesen televisyen berhubung status litar lumba negara ini yang kebanyakan masih belum diiktiraf pihak berwajib.

Katanya, perkembangan ini bukan sahaja merencatkan pembangunan sukan permotoran malah, mengundang kepada masalah lumba haram yang semakin serius.

“Patut masih banyak rempit (lumba haram) jalanan berleluasa di Malaysia.

“Kita ada banyak litar seluruh Malaysia tapi tiada kelulusan daripada badan kerajaan.

“(Ia) macam ada parlimen tapi taka da menteri. Litar ada tapi kejohanan tidak boleh dianjurkan. Kesian rakyat bermotosikal kita,” katanya di Facebook, semalam.

Masalah lumba haram bukan suatu yang baharu di negara ini. – Foto ihsan Malay Mail

Menerusi laporan berita, difahamkan terdapat lebih tujuh litar lumba yang masih belum mendapat kelulusan daripada pihak berwajib.

Antara litar tersebut termasuk Litar Dato Sagor, Melaka International Motorsports Circuit, Litar Pasir Gudang, Tangkak Racing Track dan Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor.

Selain itu, dua lagi litar di Selangor iaitu Speedway Plus Circuit dan City Karting berdepan masalah sama.

Sejak tahun 2020, hanya tiga litar telah diiktiraf untuk menganjurkan perlumbaan iaitu Litar Antarabangsa Sepang, Litar Antarabangsa Sepang Go-Kart dan Morac Adventure Park di Langkawi, Kedah.

Kewujudan Litar Dato’ Sagor di Perak antara inisiatif baik dalam usaha memajukan sukan permotoran di Malaysia. Foto ihsan Facebook/Maymeilagie Lagie

Sementara itu, Wazi turut menyatakan kesediaan membantu pihak berwajib bagi memajukan sukan permotoran dan masalah lumba haram.

Jelas Wazi, beliau bersedia menyediakan kertas cadangan sebagai usaha membantu mereka yang meminati sukan perlumbaan khususnya bagi anak muda.

“Mana senator sukan bermotor? Cepat saya nak hantar kertas cadangan untuk anak muda di jalanan,” katanya lagi.

Makin gah di persada sukan permotoran dunia, ini lima ‘hero’ Malaysia

SUKAN permotoran di Malaysia tidak dinafikan masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara lain seperti Jepun, Jerman, Itali, United Kingdom dan banyak lagi.

Masih terlalu banyak perlu dipelajari dan dibangunkan bermula daripada teknologi, infrastruktur, pengurusan serta pencarian bakat pelumba.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna Malaysia boleh dipandang ‘sebelah mata’ oleh ‘gergasi’ sukan permotoran lain.

Sejak pembinaan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada tahun 1997, Malaysia kian mengatur langkah dalam sukan permotoran.

Buktinya, beberapa bakat pelumba dan jurutera tempatan mula menyinar di persada antarabangsa.

Siapakah mereka ini?

Berikut merupakan antara pelumba yang berjaya mengharumkan nama negara dalam sukan permotoran:

Wazi Abdul Hamid

Nama Wazi Abdul Hamid bukan suatu yang asing dalam sukan permotoran negara ini.

Pelbagai kejayaan dilakar Wazi dengan memenangi beberapa perlumbaan bertaraf antarabangsa sepanjang kariernya.

Antara pencapaian terbaik Wazi apabila berjaya merangkul tempat kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia pada tahun 1995, 2003 dan 2005.

Selain itu, Wazi juga pernah menjadi naib juara keseluruhan bagi FIM Asia Road Racing Championship (Underbone 125cc).

Wazi bersara daripada dunia perlumbaan pada tahun 2006 dan kini banyak memberi fokus kepada program permotoran.

Alex Yoong

Nama sebenar Alex Yoong adalah Alexander Charles Yoong Loong.

Dilahir pada 1976, Alex merupakan bekas pelumba Formula Satu (F1).

Karier Alex sebagai pelumba F1 bermula apabila dirinya berjaya menyertai perlumbaan pertama di Grand Prix Itali pada tahun 2001.

Alex pernah mewakili dua pasukan dalam kejohanan F1 iaitu European Minardi F1 dan KL Minardi Asiatech.

Bagaimanapun, karier Alex sebagai pelumba F1 terhenti pada tahun 2002.

Adam Norrodin

Adam Norrodin merupakan pelumba Moto3 yang kini sedang mewakili pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT).

Pada 2014 dan 2015, Adam berlumba di kejohanan Piala Bakat Asia dan Kejohanan Dunia Junior FIM CEC Moto3.

Prestasi yang begitu memberansangkan menyaksikan Adam terus mengatur langkah dengan menyertai Moto3 pada tahun 2016.

Selain meminati sukan motosikal, anak kelahiran Johor ini juga menyukai permainan bola sepak.

Karamjit Singh

Karamjit Singh atau dikenali sebagai Flying Sikh merupakan pemandu Asia pertama memenangi Kejuaraan Kereta Pengeluaran Dunia Fédération Internationale de l’Automobile (FIA).

Mula berlumba sebagai pelumba rali profesional sejak tahun 1985, Karamjit juga pernah memenangi Kejuaraan Rali Asia Pasifik FIA pada 2002 dan 2004.

Untuk rekod, Karamjit pernah mewakili pasukan Petronas EON Racing Team dan Pasukan Proton Pert Malaysia.

Hafizh Syahrin Abdullah

Sebut nama Hafizh Syahrin Abdullah, siapa tidak mengenali pelumba asal Selangor ini.

Mencipta sejarah untuk Malaysia, Hafizh merupakan pelumba pertama negara menyertai perlumbaan MotoGP.

Pada musim pertama di MotoGP, Hafizh mengutip 46 mata keseluruhan.

Pungutan itu hanya kurang empat mata untuk mengatasi Franco Morbidelli bagi meraih gelaran Rookie of The Year 2018.

Nombor perlumbaan Hafizh adalah 55 bersempena tarikh lahirnya pada 5 Mei.

Kini, Hafizh menyertai semula perlumbaan Moto2 bersama pasukan RW Racing GP.

Demikian antara lima pelumba warga Malaysia yang berjaya mengharumkan nama negara dalam persada sukan permotoran dunia.

Tidak dinafikan, ada banyak lagi pelumba yang telah mencurahkan bakti kepada negara dalam sukan ini.

Apa pun, terus memberi sokongan anda kepada sukan permotoran Malaysia!

#MalaysiaBoleh

‘Mat rempit’ kena saman, Wazi sindir lebih baik sedekah

KEMULIAAN bulan Ramadan hanya sia-sia bagi sekumpulan pemuda apabila mereka sibuk melakukan aktiviti lumba haram di sebelah malam.

Berjaya dihidu pihak polis hasil aduan orang ramai, sepuluh ‘mat rempit’ ditahan polis dalam satu operasi diadakan sekitar Jalan Kuala Terengganu – Kuantan dekat Kampung Geliga.

Aktiviti lumba haram itu bukan sahaja membahayakan nyawa pengguna jalan raya malah, turut menganggu jemaah menunaikan solat Tarawih.

Memetik laporan media, polis mengeluarkan lebih 52 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam operasi terbabit.

Selain itu, sembilan buah motosikal turut disita dipercayai digunakan untuk kegiatan lumba haram.

Pemerhatian EnGear di media sosial mendapati rata-rata orang ramai mengecam aktiviti tidak bermoral itu selain berharap penguatkuasaan lebih tegas dikenakan kepada pesalah.

Turut tidak ketinggalan memberi komen termasuk legenda pelumba motosikal Wazi Abdul Hamid.

Jelas Wazi, lumba haram tidak membawa faedah apatah lagi terpaksa menanggung saman yang tinggi.

Secara sinis, Wazi berkata jumlah wang saman dikenakan lebih afdal digunakan untuk tujuan kebaikan termasuk bersedekah kepada yang memerlukan.

“Katakan tidak pada lumba haram. Tambahan pula bulan Ramadan ini. Kalau kena tahan atau saman pasti rugi pasal kena selesaikan saman beribu ringgit.

“Banyak duit itu lebih baik kita laburkan untuk mencantikkan motosikal. Baki kita sedekah buat surau di kampung,” katanya di Facebook sambil memuat naik tangkap layar mengenai berita lumba haram tersebut.

Wazi merupakan individu yang sentiasa bergiat aktif dalam kempen keselamatan jalan raya.

Berpengalaman dalam perlumbaan profesional, Wazi sering mengingatkan golongan remaja tidak terlibat dalam perlumbaan haram.

Pengecualian cukai, Wazi soal harga motosikal masih tinggi

HARGA motosikal kebelakangan ini yang kadang-kala ‘tidak masuk akal’ mendapat rungutan ramai.

Legenda lumba motosikal negara Wazi Abdul Hamid tidak terkecuali memberi pandangan mengenai isu ini.

Memuat naik status di media sosial, Wazi mempersoalkan tindakan segelintir penjual motosikal menaikkan harga terlalu tinggi.

Jelasnya, alasan kekurangan stok menyebabkan harga motosikal melambung tinggi adalah tidak logik.

Pada masa sama, kerajaan juga telah mengumumkan pemotongan cukai bagi motosikal di bawah 150cc.

“Abang Wazi baru dapat informasi yang kerajaan Malaysia dah umum cukai dipotong untuk motosikal bawah 150cc bagi membantu golongan bawahan.

“Tapi harga motosikal masih ‘keras’ dalam pasaran. Kadang-kadang sampai lebih RM2,000 hingga RM3,000 daripada harga asal.

“Macam mana ini boleh berlaku?” katanya di Facebook, tempoh hari.

Sebelum ini, rata-rata pengguna media sosial merungut berhubung tindakan segelintir penjual menaikkan harga motosikal di pasaran.

Rata-rata mereka berharap tindakan segera diambil memandangkan ia secara jelas menjejaskan hak pengguna.