Arkib Tag: wagon

Mercedes-Benz S73 T AMG – Wagon ‘sleeper’ dengan enjin supercar!

SULTAN Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah terkenal dengan koleksi kereta mewah baginda yang dipercayai antara yang terbesar di dunia.

Sudah tentu, daripada ribuan yang tersimpan di garaj Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan, ada sejumlah kereta yang dihasilkan khusus untuk baginda dan tidak boleh dibeli oleh orang lain.

Salah satu daripadanya adalah Mercedes-Benz S-Class versi wagon yang dikenali sebagai S73 T AMG. Sekilas pandang, tiada apa yang istimewa sangat mengenai kereta ini, selain bahagian hadapan yang diambil daripada 600SEC Coupe dan bentuk badannya yang membuatkan ia kelihatan unik.

Namun, buka bonet dan anda akan dapat lihat apa yang menjadikan wagon ini begitu istimewa.

Ini kerana ia dikuasakan oleh enjin 7.3-liter V12 yang turut digunakan pada Pagani Zonda C12S dan juga Mercedes-Benz SL73 AMG, model edisi khas yang pengeluarannya terhad kepada 85 unit sahaja.

Enjin aluminium buatan tangan yang dikenali dengan kod M120 itu ditala bagi menjana 565hp dan 750Nm.

Jumlah itu mungkin tidak begitu mengujakan pada zaman kini namun 24 tahun yang lalu, ia sudah cukup untuk menggerunkan sesiapa sahaja yang memandunya, lebih-lebih lagi apabila 100 peratus output disalurkan ke roda belakang sahaja.

Tugas ini diserahkan kepada kotak gear automatik 5-kelajuan. Masa pecutan 0-100km/j tidak diketahui namun wagon ‘gila’ ini dikatakan mampu mencapai kelajuan melebihi 300km/j.

Selain itu, Mercedes turut menggunakan sistem suspensi sport AMG, rim aloi monobloc berukuran 19-inci, sistem brek yang dinaik taraf dan sistem ekzos sport.

Untuk ruang dalaman pula, selain tombol gear yang diperbuat daripada gentian karbon, ia tampak tidak jauh berbeza dengan S-Class biasa.

Menurut khabar angin, Sultan Brunei memesan sebanyak 15 buah SL 73 T AMG tetapi hanya 10 sempat disiapkan dan diserahkan kepada baginda.

Tiada siapa tahu keadaan terkini wagon-wagon tersebut namun ada yang mengatakan ia terbiar reput tanpa diselenggara bersama-sama dengan kereta-kereta lain, yang mana kebanyakannya dimiliki oleh Pengiran Muda Jefri Bolkiah, adik kepada Sultan Hassanal.

Bagi peminat AMG, anda tidak perlu gusar kerana angka ‘73’ dalam barisan divisyen itu tidak akan mati begitu sahaja.

Ini kerana pada 2018, Daimler AG dilaporkan telah memfailkan tanda dagang bagi ‘S73’ yang dikatakan akan digunakan pada model hibrid plug-in yang mempunyai lebih 800hp dan 1,000Nm.

Anda mencari wagon terpakai? Ini senarai check list Engear

KENDERAAN jenis wagon mungkin tidak terlalu terkenal atau sering digunakan oleh kebanyakan individu di negara ini.

Namun, ia tidak bermaksud kenderaan jenis ini tidak mempunyai peminatnya tersendiri.

Ada yang memiliki wagon kerana hobi namun, tidak kurang juga disebabkan urusan perniagaan.

Maka, tanpa melengah masa ayuh kita lihat apakah jenis model wagon yang terkenal dan boleh didapati di Malaysia.

1. Nissan AD Resort

Model AD Resort keluaran Nissan antara wagon yang terkenal di negara ini.

Mempunyai ketahanan luar biasa, sudah pasti ia amat sesuai digunakan bagi mereka yang mempunyai perniagaan gerai dan sebagainya.

Sebuah Nissan AD Resort keluaran tahun 1996 kini boleh didapati sekitar RM8,800 sahaja.

Jadi, kalau berminat boleh layari di aplikasi Mudah.my

Foto hiasan ihsan Mudah.my

2. Citroen ZX

Syarikat pengeluar kenderaan asal Perancis iaitu Citroen telah memperkenalkan model Citroen ZX sekitar tahun 1990 sehingga 1998.

Wagon ini juga famous di negara tembok besar China yang dikenali menerusi beberapa nama seperti ZX Fukang, Elysee dan C-Elysee.

Di Malaysia, mungkin agak sukar untuk menemui model ini di atas jalan raya selain komponen alat gantinya juga susah dicari.

Setakat ini, kami berjaya menemui sebuah Citroen ZX 1.8 di Mudah.com pada harga RM7,000.

Foto hiasan ihsan Wikipedia

3. Volvo V70

Nama Volvo bukan suatu yang asing di Malaysia dan wagon cukup legend keluaran syarikat ini adalah Volvo V70.

Terdapat beberapa generasi bagi model ini bermula tahun 1996 sehingga 2016.

Justeru, tidak hairan jika V70 adalah antara wagon yang cukup terkenal bukan sahaja kerana jenamanya Volvo tetapi juga disebabkan kualiti bermutu tinggi.

Jika anda berminat, boleh mula mencari di mana-mana kedai kereta terpakai atau lebih senang layari Mudah.my

Foto hiasan ihsan Wikipedia

4. Subaru Forester

Subaru Forester juga dikenali sebagai nama Subaru Foresuta dalam bahasa Jepun dan ia mula dipasarkan pada awal tahun 1997 sehingga 2006.

Model ini mempunyai beberapa varian seperti standard, premium, sukan, limited dan touring.

Oleh kerana enjin Forester ini dikatakan antara yang terbaik maka, tidak hairan jika ia masih mempunyai harga sangat tinggi dalam pasaran kenderaan terpakai.

Engear berjaya menemui sebuah Forester yang berharga lebih RM40,000 di internet.

Jika anda peminat Subaru dan gilakan enjin yang mantap, mungkin ini masa untuk cepat-cepat dapatkannya sebuah.

Foto hiasan ihsan Wikipedia

5. Toyota KE70

Toyota KE70 mempunyai peminat tersendiri yakni golongan yang sukakan design lama atau klasik.

Apa yang pasti, model ini mempunyai body yang kukuh dan masih utuh walaupun usia hampir mencecah 30 tahun.

Bagaimanapun, jika anda berminat tidak salah cuba membeli dan harga yang Engear pernah temui sekitar RM5,800 sahaja untuk model 1998.

Foto hiasan ihsan Wikipedia

6. Mercedes W124

Sekali imbas Mercedes wagon ini mempunyai keunikan tersendiri terutama daripada segi ketahanan body.

Mungkin sukar untuk ditemui di jalan raya negara ini namun, percayalah ia cukup terkenal suatu ketika dahulu.

Sebuah Mercedes W124 terpakai boleh didapati sekitar harga RM35,000 sehingga RM55,000 sahaja.

Foto hiasan ihsan Wikipedia

Demikian antara enam jenis wagon terdapat di Malayia yang sesuai untuk kegunaan keluarga atau berniaga.

Jika anda mengetahui mengenai model wagon lain, boleh kongsi bersama kami di ruangan komen.

Chiow!

Mercedes C-Class All-Terrain kemas dan segak tetapi lasak!

Pada 2016, Mercedes-Benz memperluaskan penawarannya menerusi model E-Class All-Terrain yang menggabungkan praktikaliti sebuah station wagon dengan kelasakan dan ketahanan sebuah SUV. Mungkin kerana ia mendapat sambutan yang baik, konsep tersebut kini diaplikasikan kepada C-Class pula.

Menggunakan varian C-Class Estate sebagai asas, C-Class All-Terrain tampil dengan reka bentuk yang diubah suai, sistem suspensi lebih tinggi, sistem pacuan semua-roda dan dua mod pemanduan tambahan. Ini bagi memastikan ia mampu menangani laluan off-road mencabar.

Antara perubahan reka bentuk yang dimaksudkan adalah gril radiator krom, underguard pada bampar hadapan dan belakang, serta kemasan kelabu kusam di sekeliling gerbang roda. Rim standard yang digunakan adalah berukuran 17-inci, namun pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan rim 18- atau 19-inci.

Satu lagi kelengkapan yang ditawarkan secara opsyen adalah sistem lampu Digital Light yang mempunyai tiga unit LED di dalam setiap perumah, termasuk untuk pemanduan off-road pada waktu malam.

Lampu ini boleh diaktifkan menerusi sistem pemanduan Offroad dan Offroad+, dan akan menyala ketika kenderaan bergerak pada kelajuan sehingga 50 km/j. Lebih daripada itu, ia akan dipadamkan secara automatik.

Bagi sistem suspensi pula, ketinggiannya telah dinaikkan sebanyak 40 mm bagi mendapatkan ruang lega tanah (ground clearance) yang lebih luas. Selain itu, ia turut diperkukuhkan lagi menerusi penggunaan steering knuckle yang lebih besar pada bahagian hadapan.

Di dalam, C-Class All-Terrain menampilkan spesifikasi Avantgarde dengan tiga pilihan warna upholsteri iaitu Black, Macchiato Beige/Black dan Sienna Brown/Block, berserta dengan kemasan krom.

Untuk paparan sistem infotainmen, pelanggan boleh memilih skrin berukuran 10.25-inci atau 12.3-inci. Kedua-duanya mempunyai paparan All-Terrain yang menyediakan maklumat seperti sudut condong, sudut stereng, koordinat dan kompas.

C-Class All-Terrain boleh didapati dengan trenkuasa hibrid ringkas (mild hybrid) dalam versi petrol dan diesel. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic. 45 peratus kuasa enjin disalurkan ke roda hadapan, manakala selebihnya dihantar ke roda belakang.

Seperti yang dinyatakan tadi, model ini mendapat dua mod baharu iaitu Offroad dan Offroad+. Offroad ditala untuk pemanduan di atas jalan tanah, permukaan berkerikil atau berpasir, manakala Offroad+ pula mempunyai ciri Downhill Speed Regulation (DSR) untuk digunakan semasa menuruni cerun yang licin.