Arkib Tag: Vario 125

Beli Honda Vario dan menangi tiket tayangan perdana Malbatt: Misi Bakara

BOON Siew Honda (BSH) kini sedang mengadakan kempen ‘Beli Honda Vario dan Menang’ yang berlangsung dari 13 hingga 31 Julai 2023.

Menerusi kempen ini, pelanggan yang membeli Vario 160 atau Vario 125 di mana-mana cawangan Honda Impian X semasa tempoh kempen akan berpeluang memenangi dua tiket tayangan perdana filem MALBATT : Misi Bakara yang dibintangi oleh Hairul Azreen.

Pemenang bertuah akan dapat menyertai majlis tayangan perdana filem itu yang akan berlangsung pada 8 Ogos 2023 di IOI City Mall, Putrajaya. Pemenang akan diumumkan pada 2 Ogos ini.

Dilancarkan pada November tahun lalu, Vario 160 tampil dengan enjin 157 cc, silinder tunggal yang menghasilkan 15.1 hp pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm.

Model ini juga dibina menggunakan kerangka enhandced Smart Architecture Frame (eSAF) yang dikatakan lebih lincah dan senang dikendalikan. Ia dijual pada harga bermula dari RM9,998.

Sementara itu, Vario 125 pula dilancarkan ke pasaran tempatan pada Mac lalu, dengan harga jualan yang bermula dari RM7,080.

Ia dikuasakan oleh enjin sejukan cecair bersesaran 124.9 cc yang mampu menghasilkan 11.5 hp pada 8,500 rpm dan 11.74 Nm tork pada 5,000 rpm. Enjin ini dilengkapi dengan teknologi Enhanced Smart Power (eSP) yang memberikan geseran minimum.

Honda Vario 125 dilancarkan pada harga RM7,080

SELEPAS melancarkan ADV 160 dan X-ADV 2023 tempoh hari, Boon Siew Honda kini memperkenalkan pula model Vario 125 baharu ke pasaran tempatan.

Menurut syarikat itu, model ini disasarkan kepada penunggang yang mencari skuter mampu milik dengan ciri-ciri moden dan canggih yang turut terdapat pada skuter premium.

Ia dikuasakan oleh enjin sejukan cecair bersesaran 124.9 cc yang mampu menghasilkan 11.5 hp pada 8,500 rpm dan 11.74 Nm tork pada 5,000 rpm.

Enjin berkenaan dilengkapi dengan teknologi Enhanced Smart Power (eSP) yang memberikan geseran minimum serta ciri Idling Stop System (ISS) untuk kecekapan bahan api.

Apa yang menarik, Vario 125 dikatakan model pertama dalam kategori 125 cc yang didatangkan dengan ciri Honda SMART Key System.

Turut disertakan adalah sistem penggera anti-kecurian yang akan menghidupkan bunyi penggera dan isyarat berkelip apabila motosikal mengesan getaran atau pergerakan.

Sistem jawab balik (Answer Back) pula berfungsi untuk mengesan kedudukan motosikal apabila diletakkan dan pemilik akan dimaklumkan apabila fungsi immobiliser dihidupkan.

Untuk kemudahan penunggang, Vario 125 didatangkan dengan pengecas USB di dalam kotak konsol, serta dua ruang simpanan terbuka yang boleh memuatkan botol air dan barangan lain seperti sarung tangan.

Selain itu, terdapat juga penyimpanan sebesar 18 liter di bawah tempat duduk untuk menyimpan topi keledar serta barangan lain. Ia dikatakan ruang penyimpanan terbesar bagi motosikal kategori 125 cc.

Bagi menarik minat golongan muda, Vario 125 bukan sahaja mempunyai reka bentuk dan grafik yang sporty, malah dilengkapi dengan sistem lampu LED dan panel meter digital yang memaparkan semua maklumat penting.

Ia menggunakan tayar berukuran 90/80-14 di hadapan dan 100/80-14 di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera tunggal pada kedua-dua bahagian, tetapi ABS tidak disertakan.

Honda Vario 125 boleh didapati dalam tiga warna iaitu merah, biru dan kuning. Harga jualan (tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans) adalah RM7,080.