fbpx

Honda Vario 160 kini dengan kerangka baharu, enjin lebih besar – RM10k

Honda Vario 160 11

BOON Siew Honda hari ini melancarkan skuter “sporty premium” Honda Vario 160 baharu yang tampil bagi menggantikan model terdahulu iaitu Vario 150.

Seperti yang tertera pada namanya, Vario 160 mempunyai enjin baharu dengan kapasiti lebih tinggi. Enjin 157 cc, silinder tunggal itu menghasilkan 15.1 hp pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm.

Enjin berkenaan dilengkapi dengan teknologi enhanced Smart Power Plus (eSP+) yang direka untuk meningkatkan kecekapan bahan api dan mengurangkan geseran tanpa menjejaskan output.

Selain ‘nadi’ baharu, Vario 160 juga dibina menggunakan kerangka enhandced Smart Architecture Frame (eSAF) yang dikatakan lebih lincah dan senang dikendalikan. Ia dipadankan dengan tayar bersaiz 180/80 di depan dan 120/70 di belakang, serta roda tempaan 14 inci yang menampilkan rekaan terkini.

Sistem brek pula terdiri daripada cakera tunggal pada bahagian depan dan belakang. Bagaimanapun, ABS hanya terdapat pada brek depan.

Ciri-ciri lain yang terdapat pada model ini termasuklah sistem kunci pintar yang dilengkapi dengan penggera, lampu LED depan dan belakang, lampu isyarat membelok LED dan panel meter digital yang memaparkan penunjuk kunci pintar, jam, kadar kecekapan bahan api dan ABS.

Tidak cukup dengan itu, ia juga dilengkapi dengan pengecas USB Type A dan ruang storan 18 liter di bawah pelana.

Vario 160 boleh didapati dalam empat warna iaitu Vivacity Red, Pearl Nightfall Blue, Sword Silver Metallic dan Matte Charcoal Grey Metallic.

Harga (tidak termasuk cukai jalan pendaftaran dan insurans) bermula dari RM9,998, namun pelanggan yang memilih warna Matte Charcoal Grey Metallic dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM300.

Seperti model-model lain, Boon Siew Honda menawarkan waranti pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved