Arkib Tag: v7 stone

Moto Guzzi V7 Stone baharu kini di Malaysia – harga bermula RM62,900

DIDI Group telah melancarkan Moto Guzzi V7 Stone baharu di acara Art of Speed 2023 yang berlangsung hujung minggu lalu di MAEPS, Serdang.

Seperti model V85 TT, V7 Stone dikuasakan oleh enjin 853 cc dengan silinder V-berkembar. Ia menghasilkan 65 hp pada 6,800 rpm, iaitu 25 peratus lebih tinggi berbanding enjin sebelum ini.

Jumlah tork turut menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu dari 60 Nm sebelum ini kepada 73 Nm pada 5,000 rpm. 80 peratus daripada jumlah tersebut tersedia pada 3,000 rpm untuk prestasi pecutan yang lebih hebat.

Jika dibandingkan dengan versi yang terdahulu, V7 Stone dilihat mempunyai penampilan yang lebih menggoda dengan panel sisi yang direka semula, mudguard belakang yang lebih pendek serta paip ekzos baharu.

Ia juga didatangkan standard dengan sistem lampu LED, lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk burung helang Moto Guzzi, kluster instrumen digital bulat dengan rekaan minimalis dan rim aluminium dengan ukuran yang lebih lebar (150/70) untuk bahagian belakang.

Selain itu, kerangka V7 Stone juga dipertingkatkan menerusi penambahan elemen keluli pada bahagian headstock. Aspek keselesaan pula ditambah baik dengan penggunaan sepasang penyerap hentak Kayaba dengan pergerakan (travel) yang lebih besar, serta pelana dan tempat letak kaki baharu.

Di Malaysia, V7 Stone dijual pada harga bermula dari RM62,900, manakala V7 Stone Special Edition pula berharga RM66,900. Kedua-dua model kini boleh didapati di semua pengedar rasmi Moto Guzzi di seluruh Malaysia.

V7 Stone Special Edition didatangkan dalam warna Shining Black, dengan trim merah pada bahagian tangki, pelana dan spring belakang. Ia juga cermin sisi jenis bar end dan penutup tangki aluminium billet.

Moto Guzzi V7 Stone Centenario Edition tiba di Malaysia, edisi khas 100 tahun

DIDI baru-baru ini merasmikan ketibaan Moto Guzzi V7 Stone Centenario Edition ke Malaysia. Ia dijual pada harga RM72,900 dan model edisi khas ini diperkenalkan sempena ulang tahun ke-100 jenama itu.

Edisi istimewa ini juga boleh didapati sepanjang tahun 2021 sahaja.

V7 Stone Centenario Edition mengekalkan penggunaan enjin 850cc berkuasa 65hp pada 6,800rpm dan 73Nm tork pada 5,000rpm. Menurut Moto Guzzi, enjin ini mempunyai 25 peratus lebih kuasa dan pada masa yang sama lebih cekap.

Motosikal ini juga menampilkan ekzos lebih besar yang direka semula, dan pemandangan dari belakang yang mengetengahkan drivetrain belakang, tayar lebih lebar serta penyerap hentak Kayaba.

Ciri lain adalah lampu depan LED baharu dengan DRL berbentuk Eagle Moto Guzzi, dan kluster instrumen minimalis dengan dail digital tunggal.

Unik untuk Centenario Edition ini adalah skema warna khas yang menggambarkan warisan asal motosikal ini dan mengambil inspirasi 350 Bialbero, salah satu jentera paling berjaya dalam World Championship GP Motorcycle Racing. Ia pernah memenangi sembilan kejuaraan dunia (lima penunggang dan empat pengeluar) dari 1953 hingga 1957.

Sementara itu, warna hijau pula menunjukkan kemasan pertama digunakan Moto Guzzi pada Normale iaitu model pertama mereka.

Warna ini dipadankan pula dengan warna-warna semula jadi seperti coklat kulit, menggambarkan perincian tipikal jenama Itali. Perincian lain adalah kemasan emas dan logo khas 100 tahun Moto Guzzi.