Arkib Tag: Urus

Budak lima tahun maut dirempuh Lamborghini Urus dipandu Youtuber

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut, manakala adik dan ibunya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka dirempuh oleh sebuah Lamborghini Urus dalam kejadian di Rom, Itali.

Menurut laporan media tempatan, Urus berwarna biru itu dipandu oleh pempengaruh media sosial, Matteo Di Pietro. Turut berada di dalam SUV berprestasi tinggi itu adalah empat lagi rakannya.

Tiga daripada mereka merupakan Youtuber daripada saluran “TheBorderline” yang mempunyai lebih 600,000 pengikut di platform media sosial itu.

Ketika kejadian, Di Pietro dan rakan-rakannya itu dipercayai sedang membuat rakaman cabaran memandu Urus tersebut secara berterusan selama 50 jam.

Beberapa jam sebelum kejadian, salah seorang daripada mereka iaitu Vito Loiacono dilaporkan telah memuat naik satu video yang menunjukkan dia sedang mengejek seorang wanita kerana memandu kereta murah.

Loiacono bagaimanapun telah menafikan dia sedang memandu ketika kemalangan itu berlaku. Polis juga telah mengesahkan Di Pietro sebagai pemandu, dengan faktor kelajuan sebagai punca kemalangan.

Saksi memberitahu media bahawa pemandu dan penumpang di dalam Urus itu menyindir pemandu lain, serta memandu secara melulu sambil membuat rakaman. Seketika kemudian, SUV itu merempuh kereta jenis smart forfour yang dipandu mangsa.

Mangsa dikenali sebagai Manuel Proietti, 5, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala adik dan ibunya, masing-masing berusia 4 dan 35 tahun, dikejarkan ke hospital. Keadaan mereka tidak diketahui.

Di Pietro, 20, disiasat kerana membunuh, manakala empat lagi rakannya disiasat bersubahat menyebabkan kematian.

Urus produk terlaris Lamborghini, terjual lebih 16,000 sehingga 2021

SEBUT nama Lamborghini, pasti akan terbayang di fikiran sebuah kereta sport berkuasa tinggi dengan reka bentuk ‘body’ yang garang.

Namun, jangan lupa Lamborghini juga mengeluarkan pelbagai jenis kenderaan lain antaranya seperti model Urus.

Urus merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) dilancarkan Lamborghini pada tahun 2017 dengan kuasa enjin V8 4.0 liter bi-turbo.

Ia merupakan antara kenderaan SUV terpantas di dunia dengan 641 kuasa kuda yang mampu menghasilkan kelajuan 0-100 km/j hanya dalam masa 3.6 saat!

Apa yang lebih mengujakan, model ini juga mampu mencapai kelajuan maksimum lebih 305 km/j.

Foto ihsan Lamborghini

Bagaimanapun, artikel ini bukanlah untuk bercerita mengenai spesifikasi terdapat pada Urus tetapi lebih kepada berkongsi berita mengenai kejayaan Lamborghini memasarkan model tersebut.

Mencapai usia lebih 4 tahun di pasaran, Lamborghini mendedahkan berjaya memasarkan lebih 16,000 unit model Urus di seluruh dunia.

Daripada jumlah tersebut, 4,085 unit merupakan model Urus, diikuti Huracan (2,136 unit) serta Aventador (681 unit).

Rekod ini sekaligus mencatat sejarah tersendiri buat Lamborghini memandangkan Urus dinobatkan sebagai model paling berjaya untuk tempoh empat tahun.

Foto ihsan Lamborghini

Apa yang menarik, Lamborghini memberitahu bahawa 85 peratus pembeli Urus adalah pelanggan baharu.

Di Malaysia, Urus mula berada di pasaran pada Mac 2018 dengan harga jualan melebihi RM1,000,000 unit.

Tahun ini, Lamborghini berjaya mengedarkan 6,902 unit kenderaan bermula Januari hingga September 2021.

Rekod itu sekaligus memperlihatkan kejayaan pemasaran Lamborghini iaitu 23 peratus lebih banyak berbanding tempoh sama tahun lalu.

Tahniah Lamborgini!

Lamborghini musnah terbakar dalam kemalangan di LPT

SEBUAH kereta mewah jenis Lamborghini Urus musnah dalam satu kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), semalam.

Kemalangan menyebabkan kenderaan tersebut hangus 100 peratus akibat dijilat api.

Memetik laporan bomba, dua mangsa bersama seorang kanak-kanak terselamat dalam kemalangan terbabit.

“Sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran bersama sebuah jentera dan ambulans dikejarkan ke lokasi,” memetik laporan di Facebook Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat kenderaan hilang kawalan.