Arkib Tag: universiti

Geely bakal buka universiti di Tanjung Malim, agaknya kursus apa yang ditawarkan?

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan bahawa Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd (Geely) berhasrat untuk membina sebuah universitinya sendiri di Tanjung Malim.

Menurut Saarani, sudah menjadi kelaziman bagi Geely untuk membina sebuah universiti di kawasan perusahaannya dan pengeluar kenderaan dari China itu mahu meneruskan amalan tersebut di Tanjung Malim.

Geely yang terlibat dengan projek Automotive High Tech Valley (AHTV) dengan nilai pelaburan RM32 bilion di kawasan tersebut bakal melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang automotif menerusi universiti berkenaan.

Tambah beliau lagi, pembukaan universiti berkenaan bakal melahirkan bakat-bakat muda dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan juga teknologi automotif.

“Selain daripada syarikat Proton (Proton Holdings Bhd.) telah bersetuju pindah operasi keseluruhannya dari Shah Alam, Selangor ke Proton City, ia ditokok tambah dengan pelaburan bernilai RM32 bilion yang akan dibawa masuk oleh Geely melalui AHTV.

“Jadi mereka (Geely) datang bukan sahaja membawa pelaburan untuk pembangunan pusat perindustrian AHTV tetapi berhasrat membangunkan sebuah universiti,” katanya.

Mengenai tempoh pembinaan universiti itu, Saarani berkata perkara tersebut masih belum ditentukan namun Geely sudah meminta kerajaan untuk menyediakan tempat bagi tujuan berkenaan.

“Belum ada jangka masa yang konkrit, namun idea sudah ada dan (Geely) minta sediakan tempat dan kita sudah cadangkan tempat,” katanya yang turut menegaskan, pembinaan universiti tersebut bakal membuka pelbagai peluang pekerjaan bagi golongan muda seperti dalam bidang akademik.

Skim graduan tawar pembiayaan bagi lepasan universiti membeli kereta

BAGI mereka yang sudah menamatkan pengajian di peringkat kolej atau universiti, antara keperluan untuk mereka melangkah ke alam pekerjaan adalah memiliki kereta.

Ini akan memudahkan urusan ulang-alik mereka ke tempat kerja sekiranya tiada pilihan lain seperti pengangkutan awam.

Dan disebabkan mereka baru sahaja menamatkan pengajian, kebanyakan graduan belum mempunyai simpanan mencukupi untuk membeli kereta.

Untuk ini, terdapat skim graduan yang ditawarkan oleh beberapa bank tempatan, dan Pegawai Sokongan Jualan di Bank Islam, Nurul Hazira Azman berkongsi sedikit maklumat mengenai ini.

Apa itu skim graduan baharu?

  • Skim graduan ini ditubuhkan untuk memberi peluang kepada graduan baharu memiliki kereta pertama.
  • Berbeza dengan pinjaman biasa, skim graduan baharu ini tidak menghendaki anda untuk mempunyai penjamin.
  • Pinjaman biasa memerlukan pemohon memiliki sekurang-kurangnya satu komitmen hutang. Misalnya kad kredit untuk bank menilai trend dan tabiat pembayaran anda. Namun, dengan skim ini pemohon tidak perlu mempunyai apa-apa komitmen.

Apakah syarat untuk memohon di bawah skim graduan baharu?

  • Setiap bank mempunyai syarat-syarat yang berbeza. Tetapi secara umumnya, jika anda berumur 20 hingga 30 tahun dan bekerja kurang daripada setahun, anda sudah layak memohon skim graduan.
  • Anda perlu sekurang-kurangnya tamat pelajar pada peringkat diploma daripada pusat pengajian tinggi tempatan dan luar negara yang diperakui. Pastikan anda sudah tamat pengajian dengan rasmi supaya fakulti atau pihak universiti boleh mengeluarkan surat tamat pengajian.
  • Tidak pernah memiliki kereta sendiri. Jika sebelum ini sudah pernah memiliki kereta sendiri, anda tidak layak untuk memohon skim graduan baharu yang ditawarkan oleh mana-mana bank.
  • Mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM1,800 ke atas.
  • Tidak mempunyai masalah tunggakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Sekiranya masih mempunyai tunggakan PTPTN, langsaikan segala tunggakan baru layak untuk memohon skim graduan baharu.

Apakah dokumen yang diperlukan?

  • Wajib menyediakan salinan Kad Pengenalan.
  • Wajib melampirkan salinan Lesen Memandu, sekurang-kurangnya Lesen P.
  • Wajib mempunyai transkrip mini atau surat tamat pengajian.
  • Jika sudah menerima gaji pertama, serahkan salinan slip gaji bersama dokumen wajib yang lain.
  • Jika mempunyai kad pekerja atau kad perubatan kerja, lampirkan bersama salinan kad tersebut.

Buat mereka para lepasan universiti yang ingin memiliki kereta pertama, anda boleh gunakan bantuan yang ditawarkan ini.

Tetapi jika anda mahu mencari kereta terpakai, boleh ikuti beberapa tips yang kami pernah kongsikan di sini.

Smart Campus Autonomous Vehicle oleh UMP ini merupakan bas tanpa pemandu pertama Malaysia!

PARA penyelidik di Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini sedang membangunkan sebuah bas pintar dengan sistem komputer untuk membolehkannya bergerak tanpa pemandu atau secara berkendiri (autonomous).

Dinamakan Smart Campus Autonomous Vehicle (SCAV), ia dilengkapi pelbagai pengesan di sekeliling kenderaan dan dikawal oleh komputer. Ia mampu bergerak sendiri di sekitar kawasan kampus sambil memproses maklumat trafik.

Ketua program, Ts. Dr. Muhammad Aizzat Zakaria dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) yang mempunyai kepakaran dalam bidang kenderaan autonomi, berkata ini merupakan bas pertama seumpamanya di Malaysia yang dibangunkan oleh pakar tempatan.

“Pada masa ini, proses pembangunan berada pada tahap akhir dengan 80 peratus hampir siap dan kini memfokus kepada algoritma spesifikasi tinggi dan teknologi pada bas itu sendiri,” katanya.

“Beberapa ujian awal juga dibuat sebelum ia boleh berfungsi sepenuhnya sebagai kemudahan untuk penduduk kampus, yang akan disempurnakan tahun depan.”

Sementara itu, pensyarah FTKPM, Dr. Mohamad Heerwan Peeie berkata, bas ini menggunakan beberapa jenis pengesan. Antaranya Light Detection and Ranging (LIDAR), Intertial Measurement Unit (IMU), dan beberapa kamera untuk memperoleh maklumat.

Mereka juga akan membangunkan perisian lebih terperinci untuk menjadikan sistem ini lebih stabil dalam persekitaran lebih sukar.

Syabas pasukan penyelidik UMP! Moga university tempatan lain juga akan mengeluarkan produk automotif yang penuh inovasi sebegini.