Arkib Tag: tren

DMU – tren baharu KTMB dengan janaan diesel dan teknologi moden

KALI ini kita akan bercerita sedikit sebanyak mengenai tren yang bakal memasuki ‘revenue service’ pada bulan ini iaitu Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kelas 61 atau lebih dikenali sebagai Diesel Multiple Unit (DMU).

Kalau dilihat dari segi luaran, DMU ini hampir menyerupai tren Electic Multiple Unit (EMU) milik KTM yang lain cuma bezanya adalah kuasa DMU dijana menggunakan enjin diesel.

Disebabkan itu, tren DMU ini tidak mempunyai pantograph serta tidak memerlukan landasan yang lengkap dengan kemudahan elektrifikasi atau Overhead Catenary Line (OCL).

DMU Kelas 61 ini dihasilkan oleh CRRC Zhuzhou Locomotive (CRRC) pada tahun 2018 hingga 2020 sebanyak 13 unit. Dua set tren pertama dihasilkan di kilang CRRC di Zhuzhou, China manakala baki 11 lagi unit dihasilkan di kilang Batu Gajah, Perak.

DMU ini mempunyai kelajuan maksima 140km/j dan mampu membawa 200 hingga 220 penumpang pada satu-satu masa.

Dengan empat koc atau lebih dikenali sebagai gerabak, DMU ini mempunyai surau, kafe mini dan soket 3-pin di kesemua tempat duduk penumpang.

CRRC memberikan sentuhan teknologi terkini dengan pengenalan sistem signal Wireless Train Tracker menggantikan sistem Automatic Train Protection (ATP) yang sekian lama digunapakai oleh pihak KTM.

Selain itu, ia dilengkapi dengan superkapasitor berasaskan graphene bagi menyimpan kuasa membrek serta pecutan.

Sempena laluan Gemas-Kuala Lipis yang akan mula beroperasi pada minggu hadapan, pihak KTM menawarkan tiket percuma bermula 21 hingga 23 Februari kepada pengguna untuk merasai pengalaman menaiki tren DMU ini.

Dengan menggunakan kod promo ‘JOYRIDEDMU’, orang awam boleh mendapatkan tiket percuma ini secara manual di kaunter KTM sahaja.

KTMB lancar XKB, boleh usung basikal naik tren!

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) baru-baru ini telah melancarkan perkhidmatan terbaharu mereka iaitu tren sewa khas Ekspres Koc Basikal (XKB).

Melalui perkhidmatan baharu ini, para penggemar sukan berbasikal boleh membawa basikal terus ke destinasi pilihan untuk memulakan kayuhan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin, perkhidmatan ini dapat memberikan pengalaman unik kepada peminat aktiviti berbasikal sekaligus memenuhi permintaan penumpang yang ingin menikmati perjalanan menggunakan lokomotif diesel.

Ketika majlis pelancaran baru-baru ini, seramai 150 orang peserta telah dibawa menaiki tren XKB dari Stesen Kuala Lumpur ke Stesen Tanjung Malim. Seterusnya, mereka berbasikal sejauh 49km dari Stesen Tanjung Malim melalui Sungai Bil – Behrang Ulu – Sungai Dar sebelum berpatah semula ke Stesen Tanjung Malim.

Koc basikal yang telah diubahsuai ini mampu memuatkan kira kira 60 basikal pada satu-satu masa. Buat masa ini, pihak KTMB mempunyai tiga buah koc XKB.

Pemilik basikal juga tidak perlu khuatir kerana basikal-basikal ini akan diletakkan pada alatan khusus bagi memastikan keselamatan ketika perjalanan.

Pihak KTMB juga bersedia untuk memenuhi permintaan pelanggan sekiranya para pelanggan ingin menyewa koc basikal ini bersama dengan koc tempat duduk serta tempat tidur (ADNS) mahupun koc yang mempunyai kafeteria. Kadar sewaan XKB bergantung kepada pilihan pakej pelanggan serta jarak perjalanan tren.

Untuk tempahan atau pertanyaan lanjut, anda boleh menghubungi pihak KTMB di talian 03-2263 1077 atau emel kepada chartertrain@ktmb.com.my

RapidKL perjelas isu gerabak LRT lama Ampang dan Sri Petaling terbiar di Ulu Yam

PERNAH terfikir apa terjadi pada gerabak LRT lama Ampang dan Sri Petaling yang digantikan lima tahun dulu? Nampaknya kebanyakan darinya ditinggalkan dan terbiar di satu kawasan lapang di Ulu Yam.

Youtuber Heart Patrik merakamkan video ‘tanah perkuburan’ LRT itu dengan dron yang dimuatnaik kira-kira dua minggu lalu. Menurut keterangan, Heart Patrick ternampak satu pemandangan menyedihkan selepas sejam memandu di sekitar ladang sayur dan tasik.

Kemudian, semakin ramai orang menjumpai lokasi itu dan beberapa video dimuatnaik baru-baru ini. Dikatakan 73 gerabak ditinggalkan di tapak itu.

Dari video-video tersebut, dapat dilihat bahawa gerabak-gerabak itu telah ditinggalkan agak lama hingga terdapat pokok-pokok yang tumbuh di sekelilingnya.

Selepas video-video itu tular, Rapid KL mengeluarkan satu kenyataan bagi menjelaskan status gerabak lama itu.

Mereka mengesahkan bahawa LRT lama itu bukan lagi milik Prasarana dan hak milik telah dipindahkan kepada CSR-ZhuZhou pada 2014 yang merupakan sebahagian dari program beli-semula bagi menggantikan tren laluan Ampang dan Sri Petaling.

Ia menambah bahawa CSR-Zhuzhou telah melupuskan dan menjual tren-tren itu pada 2016 kepada satu lagi pihak ketiga yang meletakkannya di kawasan persendirian di Ulu Yam.

Prasarana Malaysia Berhad tidak mengeluarkan sebarang komen lanjut disebabkan ianya bukan lagi aset atau tanggungjawab mereka. Tidak disebutkan juga siapa pemilik baharu tetapi memasuki tanah persendirian itu tanpa kebenaran dikira sebagai menceroboh.

Sumber: UniKL

Jika anda mahu lihat sebuah gerabak LRT jenis Adtranz-Walkers itu dalam keadaan baik, sebenarnya terdapat satu unit yang kini dipamerkan di Asia Rail Centre, Universiti Kuala Lumpur (UniKL). Unit itu diserahkan pada Januari 2018 sebagai satu program kerjasama industri oleh kerajaan Malaysia.

Sumber: Berita Harian

Kenderaan rel ringan (LRV) buatan Adtranz dikeluarkan oleh Walkers Limited, Australia dan ia berkhidmat di laluan Ampang dan Sri Petaling (dikenali sebagai STAR LRT) dari 1996 hingga 2016.

Kemalangan LRT: Mangsa anggap mimpi ngeri, kongsi detik cemas

“KEJADIAN ini adalah tragedi dan satu mimpi ngeri.”

Demikian luahan salah seorang mangsa kemalangan Tren Transit Aliran Ringan (LRT) pada semalam.

Individu hanya dikenali sebagai Lim Mahfudz berkata, kemalangan itu merupakan pengalaman ngeri dalam hidupnya namun, tetap bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius.

“Saya baik-baik saja, tidak mengalami sebarang kecederaan. Syukur kepada Tuhan kerana melindungi saya.

“Bagi saya, kejadian ini adalah satu tragedi dan mimpi ngeri yang benar-benar berlaku dalam hidup saya,” katanya di Twitter.

Semalam, dua tren LRT laluan Kelana Jaya terbabit dalam satu kemalangan kira-kira jam 8.45 malam.

Kemalangan berlaku apabila dua tren terbabit bertembung dalam terowong antara Stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

Setakat ini, 166 penumpang dilaporkan cedera sementara 47 yang lain cedera parah.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, tiada bukti kemalangan berpunca kerana faktor usia tua. - Foto oleh Shafwan Zaidon

Siasat kemalangan LRT

Susulan kemalangan membabitkan dua LRT semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong turut melawat lokasi kejadian.

Kesal dengan insiden berlaku, Ka Siong berjanji satu siasatan menyeluruh akan dijalankan secepat mungkin oleh pasukan panel penyiasat khas.

Tambah Ka Siong, laporan awal insiden akan dihantar kepadanya oleh ketua pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada pagi ini.

Sementara, hasil siasatan oleh pasukan khas pula dijangka dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam tempoh dua minggu.

PM arah tindakan tegas

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan rasa simpati terhadap mangsa kemalangan tren LRT semalam.

Pada masa sama, beliau mengarahkan semua mangsa cedera diberi rawatan menyeluruh memandangkan negara berada dalam gelombang pandemik Covid-19.

Muhyiddin turut mengarahkan MOT dan Prasarana Malaysia Berhad melakukan siasatan penuh selain mengambil tindakan tegas dengan segera.

Sekilas fakta kemalangan LRT laluan Kelana Jaya

  • Berlaku kelewatan jadual tren LRT laluan Kelana Jaya
  • Penumpang merungut di media sosial berhubung kelewatan tren
  • Pengendali akaun Twitter Prasarana Malaysia Bhd berkata terdapat masalah teknikal
  • Dua tren nombor 40 dan 81 bertembung pada jam 8.45
  • Tren bertembung antara Stesen LRT Kampung Baru dan KLCC
  • 47 penumpang cedera parah, 166 yang cedera ringan
  • Mangsa tercedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut
  • Insiden pertama kali berlaku sejak 23 tahun LRT beroperasi
Pasukan bomba dan paramedik memberi bantuan kepada penumpang tercedera.