Arkib Tag: treler

Harimau belang mati dilanggar treler di Lebuhraya PLUS

Seekor harimau belang ditemui mati dipercayai dilanggar sebuah treler di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Hentian Sebelah Gua Tempurung, Ipoh pada Rabu.

Menurut Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim, maklumat kejadian itu diterima pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak sekitar jam 12.30 tengah malam.

“Karkas harimau berkenaan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai untuk tindakan lanjut.

“Kita percaya harimau belang berusia antara lapan hingga 10 tahun itu adalah haiwan yang dilaporkan sebelum ini menyerang ternakan dan menimbulkan kegusaran penduduk sekitar Kampar,” katanya dalam satu kenyataan.

Kok Lim berkata, kes-kes harimau berkeliaran di kawasan hutan atau kampung yang dilaporkan baru-baru ini adalah disebabkan kekurangan sumber makanan.

Punca utama akibat wabak demam babi Afrika (ASF) yang menyebabkan populasi babi hutan turun mendadak.

“Harimau ini akan merayau hingga ke pinggir kampung mengesan lembu orang kampung yang dibiarkan bebas dalam ladang sawit atau pinggir hutan,” katanya.

Kok Lim berkata, pemerhatian dijalankan Perhilitan Perak bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan mendapati populasi babi hutan itu masih berkurangan.

“Potensi binatang buas ini untuk kembali semula ke hutan tebal kekal rendah dan menjadikan lembu milik penduduk sebagai diet baharu yang mudah diserang,” katanya.

Mengulas kejadian itu, Kok Lim bersedih akan kehilangan seekor lagi harimau belang yang kini diancam kepupusan.

Bowlus Heritage Edition – RV mewah gaya retro, paling ringan di dunia

Bowlus merupakan syarikat yang menghasilkan treler pelancongan (RV) antara paling mewah di dunia. RV dengan rupa retro yang kemas ini juga antara paling mahaldalam pasaran, harganya boleh melebihi USD300,000 (RM1.3 juta) jika dipasang dengan kelengkapan kustom yang anda mahu.

Untuk 2023 pula, Bowlus memperkenalkan model permulaan yang dikatakan ‘paling murah’ dari barisan model lain yang ditawarkan. Heritage Edition hadir dengan rupa mill finish dengan warna perak satin, sedikit berbeza dengan warna polished aluminium pada model-model lebih mahal.

Bentuk RV Bowlus yang ikonik dihasilkan dari aluminium rivet dengan pembinaan monocoque, sama seperti pesawat. Tetapi buat pertama kali, Bowlus menawarkan pilihan balutan (wrap) untuk Heritage Edition, membolehkan anda pilih warna hitam matte atau kelabu satin.

Bowlus menekankan bahawa berat RV baharu ini cuma bermula sekitar 1,315kg sahaja – dimana mereka mendakwa ianya merupakan RV paling ringan yang dihasilkan di dunia buat masa ini.

Bowlus juga menjanjikan lebih 80 peratus jarak pemanduan apabila kenderaan elektrik (EV) menundanya, sama seperti model Terra Firma dan Volterra.

Setiap unit Bowlus Heritage Edition hadir dengan pek bateri 2kWh, manakala Power Package I memberikan anda tambahan 2kWh, inverter 2,000watt, kuasa solar, pemantauan kuasa Bluetooth, dan penyaman udara off-grid untuk empat jam.

Bagi Power Package II pula, kelengkapan ditambah menjadi inverter 3,000 watt, pek bateri 6kWh, panel kuasa skrin sesentuh, dan penyaman udara off-grid sehingga lapan jam. Bowlus berkata pilihan ini membolehkan anda tinggal secara off-grid sehingga seminggu setengah.

Walauapun Heritage Edition merupakan produk asas Bowlus, ia tetap mempunyai semua keperluan anda untuk tinggal lebih seminggu. Kabinnya mampu memuatkan empat orang dewasa berserta satu katil saiz King.

Anda juga boleh membuat tempahan kustom untuk susunan katil dan bumbung luar. Tempahan Heritage Edition kini dibuka dengan pembiayaan bermula USD1,027 sebulan (RM4,475 sebulan).

Pemandu, kelindan maut treler bawa bongkah batu terbabas

DUA individu maut selepas treler muatan bongkah batu yang dinaiki terbabas dalam satu kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak, semalam.

Laporan polis mendedahkan dua mangsa maut merupakan pemandu dan kelindan treler terbabit.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler tersebut yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bentong hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan.

Mayat kedua mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat.

Kes disiasat menurut Seksyen  41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.