Arkib Tag: Trans Borneo Railway

Brunei nafi terlibat dalam projek Trans Borneo Railway

Berbeza dengan apa yang dilaporkan sebelum ini, kerajaan Brunei Darussalam semalam (4 April) menafikan penglibatan negara itu dalam cadangan pembinaan projek Trans Borneo Railway.

Menurut laporan Astro Awani, dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan menerusi laman Facebook GOVBN menjelaskan kerajaan Brunei tidak pernah melantik mana-mana syarikat tempatan atau luar negeri untuk mengendalikan projek berkenaan.

 

 

Pihak Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Brunei turut memaklumkan tiada sebarang perbincangan rasmi diperingkat kerajaan berkenaan perkara tersebut.

Berdasarkan laporan Utusan Borneo beberapa hari lepas, sebuah syarikat swasta Brunergy Utama mengumumkan cadangan projek Trans Borneo Railway merentasi tiga negara, iaitu Malaysia, Brunei dan Indonesia.

 

 

Projek kereta api berkelajuan tinggi itu merangkumi laluan sepanjang 1,620 km, selain mampu mencapai kelajuan operasi 300-350 km/j.

 

Projek Trans Borneo Railway diumumkan, jarak 1,620 km, kelajuan cecah 350 km/j

Brunergy Utama Sdn Bhd mengumumkan projek kereta api berkelajuan tinggi Trans Borneo Railway (TBR) yang pertama di Borneo, melibatkan laluan sepanjang 1,620 km.

Menurut laporan Utusan Borneo, projek TBR itu akan dibina dalam dua fasa, di mana fasa pertama menghubungkan bandar-bandar utama bermula dari Pontianak, Kalimantan Barat dan berakhir di Kota Kinabalu, Sabah.

Brunergy menambah, laluan fasa pertama ini akan melalui bandar raya seperti Mempawah, Singgawang, Sambas, Kuching, Sri Aman, Sibu, Bintulu, Miri, Bukit Panggal, Limbang, Bangar, Lawas, Sipitang, Beaufort dan Kimanis/Papar.

 

 

Laluan fasa kedua pula akan menghubungkan Bukit Panggal, Brunei menuju ke Balik Papan di Selatan Borneo, melalui beberapa stesen termasuklah Long Seridan, Bakelalan, Long Bawan, Malinau, Tanjung Selor, Tandjungredeb, Pengadan, Lubuk Tutung, Bontang, dan Samarinda.

Secara purata jarak laluan antara setiap stesen ialah 150 km, dengan kelajuan purata mampu mencecah 300-350 km/j.