Bersempena dengan acara Beijing Auto Show 2026, iCaur memperlihatkan model SUV V27 versi pemanduan sebelah kanan (RHD).
Dalam masa yang sama, pihak iCaur Malaysia turut mengesahkan model ini bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi.
iCaur V27 debut buat kali pertama di Dubai pada Ogos 2025, dan berikut merupakan perincian tentang SUV off-road ini berdasarkan model pasaran tersebut.
Dimensi
V27 merupakan sebuah SUV saiz pertengahan, dengan ukuran dimensi yang jauh lebih besar berbanding 03 dan V23.
Ia berukuran sepanjang 5,045 mm, lebar 1,976 mm, tinggi 1,894 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,900 mm, hampir menyamai saiz Land Rover Defender.
Jarak kelegaan tanah setinggi 224 mm, selain menawarkan sudut pendekatan 24 darjah dan sudut pelepasan 23 darjah.
Ruang kargo adalah sebesar 715 liter dan boleh mencapai sehingga 1,818 liter.
Casis
Nampak gagah, tapi sebenarnya V27 menggunakan binaan casis unibodi dan senibina papan selaju.
Suspensi pula terdiri daripada tetapan suspensi topang MacPherson di depan dan tetapan multi-link di belakang.
Prestasi
iCaur V27 merupakan sebuah SUV REEV (Range Extender) yang digerakkan oleh motor elektrik 248 hp/300 Nm yang memacu roda, atau tetapan dua motor elektrik yang memacu semua roda berkuasa 449 hp/505 Nm.
Enjin 1.5 liter turbo berkuasa 154 hp/220 Nm itu hanyalah bertindak sebagai unit pengecas bateri semata-mata.
Bateri dan jarak pandu
Terdapat dua pilihan pek bateri Lithium Iron Phosphate, iaitu 20.47 kWh atau 34.31 kWh.
Jarak pandu sifar emisi boleh mencecah sejauh 200 km (data CLTC).
Dengan bantuan tangki minyak penuh 60 liter, jarak pemanduan keseluruhan boleh mencapai sehingga 1,230 km.
V27 turut menyokong pengecasan AC 6.6 kW atau pengecasan pantas DC 60 kW di mana bateri boleh dicas sepantas 30 minit dari 20-80 peratus.
Terdapat juga fungsi V2L (vehicle-to-load) sehingga 6 kW.
Ciri luaran dan dalaman
V27 membawakan reka bentuk kotak dengan rujukan elemen rekaan daripada SUV popular, seperti Toyota Land Cruiser 70 Series dan Land Rover Defender.
Antara ciri luaran V27 termasuklah:
- lampu utama LED serta lampu DRL bulat
- rekaan bampar agresif
- lampu membelok asing
- gerbang roda lebar
- lampu belakang LED
- tayar simpanan pada pintu tailgate
- tiang D yang agak tebal
Ruang kabin pula menempatkan kelengkapan seperti:
- skrin kluster digital 8.88 inci
- skrin tengah 15.4 inci
- sistem audio (8/15 pembesar suara)
- slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W
- kawalan iklim dua zon automatik
- corong udara baris kedua
- penapis udara PM2.5
- sokongan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar
Lebih banyak info bakal kita ketahui menjelang pengenalan rasmi iCaur V27 di tanah air dalam masa terdekat.
