Arkib Tag: toyota avanza

Perodua Alza 2022 kini dibuka untuk tempahan! Tiga varian, dari RM62k, ASA, 1.5 dengan D-CVT

PERODUA hari ini secara rasmi membuka tempahan untuk Alza 2022 serba baharu yang akan menggantikan model sebelumnya yang telah berada dalam pasaran sejak 2009.

Alza baharu dengan namakod D27A ini hadir dengan penambahbaikan ketara dari segi spesifikasi dan teknologi.

Menurut risalah rasmi yang dikongsi Perodua, Alza 2022 ini ditawarkan dengan pilihan tiga varian, iaitu X, H dan AV manakala harga tentatif adalah antara RM62,000 hingga RM75,000. Harga adalah untuk Semenanjung Malaysia, tanpa insurans dan cukai jalan.

Tentatif harga ini juga nampaknya serupa dengan imej yang tular awal pagi ini iaitu RM62,000 untuk X, RM68,000 untuk H, dan RM75,000 untuk AV.

Alza 2022 akan menawarkan ruang lebih besar berbanding model terhadulu, terutamanya di barisan ketiga, serta dilengkapi dengan pendingin hawa di barisan ketiga.

Untuk ruang kargo, Alza 2022 mempunyai kapasiti sebanyak 137 liter. Tetapi dengan tempat duduk barisan ketiga dilipat, ruang ini ditambah menjadi 498 liter.

Seperti dijangka sebelum ini, Perodua Alza D27A 2022 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter Dual VVTi dan kotak gear D-CVT sama seperti Myvi 2021.

Padanan powertrain ini mampu memberikan penjimatan sehingga 22km/liter untuk Alza, lantas memberikan MPV ini penarafan EEV.

Ciri-ciri terkini bagi model Perodua termasuk Panoramic View 360⁰, Electronic Parking Brake dengan Auto Hold, brek cakera belakang, dan mod pemanduan (Normal, Eco, Power).

Ciri keselamatan lain adalah standard untuk semua varian seperti 6 beg udara, ABS dengan EBD, kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dengan bantuan brek dan sensor belakang untuk membantu meletakkan kereta.

Ciri Advanced Safety Assist (ASA) juga standard, yang merangkumi Pre-collision Warning, Pre-Collision Assist Brake (untuk kenderaan dan pejalan kaki), Mis-pedal Operational Control dan Front Departure Alert.

Semua varian juga mempunyai sistem Lane Departure Warning dan Lane Departure Prevention. Sebagai bonus tambahan, semua varian juga akan dilengkapi dengan fungsi Leaving Home Headlamp Assist dan Hill-start Assist.

Perodua Alza 2022 didatangkan dalam 5 warna: Ivory White, Glittering Silver, Garnet Red, serta dua warna baharu iaitu Elegant Black dan Vintage Brown.

“Kami mengambil masa dalam merekabentuk model baharu ini kerana kami benar-benar ingin memahami kehendak para pelanggan kami, dan Perodua Alza baharu disasarkan untuk memenuhi permintaan itu,” kata Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Salah satu daripada permintaan mereka adalah pengalaman pemanduan yang lebih baik, dan untuk itu, kami telah menambahbaik ground clearance (kelegaan tanah) Perodua Alza baharu kepada 160mm yang mana pada penilaian kami, ianya adalah ketinggian terbaik untuk pemanduan Malaysia yang menyenangkan untuk sebuah MPV,” tambahnya.

“Perubahan model penuh ini mewakili usaha terbaik kami setakat ini dari segi penawaran produk kerana ciri yang disertakan adalah yang terbaik dalam kategori harganya,” kata Dato’ Zainal.

Berminat? Anda boleh mula membuat tempahan dengan mengunjungi mana-mana 188 bilik pameran Perodua seluruh negara atau layari laman web rasmi untuk maklumat lanjut.

Perodua Alza 2022 D27A kini dibuka untuk tempahan, harga bermula RM69k?

PERODUA Alza serba baharu dijangka dilancarkan tahun ini bagi menggantikan model sedia ada yang telah berada dalam pasaran kira-kira 13 tahun.

Satu posting dalam kumpulan Facebook mendakwa bahawa tempahan untuk MPV baharu dengan nama kod D27A itu telah mula dibuka, dan tiga varian ditawarkan iaitu X, H dan AV.

Posting itu juga mendakwa pelancaran akan dilakukan sekitar Jun ini dengan harga permulaan sekitar RM69,000.

Untuk pengetahuan, pihak Perodua belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan pelancaran, harga, mahu pun penawaran varian.

Engear juga berhubung dengan wakil Perodua untuk pengesahan dan ya, tiada sebarang maklumat rasmi yang diketahui berkenaan dakwaan siaran Facebook itu.

Jika hendak berspekulasi, boleh dikatakan penawaran tiga varian dan pelancaran pada Jun itu nampak masuk akal.

Dari segi harga, agak signifikan lebih mahal dari model sedia ada. Sebagai perbandingan, Perodua Alza sedia ada dijual pada harga sekitar RM50k hingga RM61k dan jika benar harga Alza 2022 bermula pada RM69k, ia harus dijustifikasi dengan penambahan ciri yang benar-benar mantap.

Apa pun, sebelum adanya sebarang kenyataan rasmi, anda harus berhati-hati sebelum membuat sebarang transaksi tempahan. Ya, kami faham ini satu model menarik dan ramai yang menantikannya.

Yang pasti, Perodua Alza D27A akan dibina dari platform DNGA (Daihatsu New Global Architecture) yang menjadi asas kepada Ativa serta Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia terbaharu.

Dijangkakan Alza 2022 akan dipacu enjin 1.5-liter 2NR-VE naturally-aspirated dengan 106hp dan 138Nm tork, dipadankan dengan kotak gear CVT buat pertama kali. Ianya merupakan unit D-CVT sama seperti terdapat pada Myvi baharu.